ALUMNI MPPK GESA PENGUATKUASAAN TEGAS, PENDIDIKAN NILAI MENYELURUH TANGANI ISU LGBT

64
SHARES
208
VIEWS

Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memandang serius perkembangan terkini berkaitan isu LGBT di Malaysia dan menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuh serta dilaksanakan secara konsisten, berhemah dan selaras dengan ketetapan perundangan serta sensitiviti masyarakat Malaysia.

1. PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG PERLU KONSISTEN DAN TEGAS

Alumni MPPK menegaskan bahawa sekiranya undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menangani isu LGBT secara tuntas, maka proses menggubal atau meminda undang-undang perlu dilaksanakan segera dan teratur. Langkah ini penting bagi memperkukuh kerangka pencegahan, penyeliaan dan penguatkuasaan agar seiring dengan cabaran semasa.

Pada masa yang sama, Alumni MPPK menyokong usaha pihak berkuasa memperkemas pelaksanaan undang-undang sivil dan Syariah secara profesional, berhemah dan tanpa prejudis. Penguatkuasaan yang konsisten, jelas dan berasaskan bukti amat perlu bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat serta memastikan belia tidak terdedah kepada gaya hidup yang bercanggah dengan nilai budaya dan perundangan negara.

2. PENDIDIKAN NILAI & KETAHANAN DIRI BELIA PERLU DIPERKUKUH

Isu LGBT tidak wajar dilihat sebagai isu penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya isu pendidikan nilai dan pembentukan karakter. Alumni MPPK menyarankan agar elemen pendidikan jati diri, moral dan akhlak diperkukuh di sekolah serta IPT, di samping penekanan terhadap literasi digital dan kesihatan mental. Kurikulum pembangunan karakter serta modul kepimpinan nilai juga perlu diperluas bagi memastikan belia mempunyai asas yang kukuh dalam menghadapi cabaran sosial semasa.

Belia memerlukan bimbingan yang menyeluruh, berasaskan fakta dan berpaksikan nilai bukan polemik atau retorik yang hanya menambah kekeliruan dan menjejaskan proses pembinaan jati diri generasi muda.

3. MENOLAK NORMALISASI TINGKAH LAKU YANG BERTENTANGAN DENGAN NILAI AGAMA & BUDAYA

Malaysia mempunyai asas perundangan, prinsip moral dan kefahaman agama yang konsisten dalam menolak normalisasi LGBT. Alumni MPPK menegaskan bahawa platform akademik, media sosial dan aktiviti belia tidak wajar menjadi saluran promosi gaya hidup yang bercanggah dengan nilai negara.

Kebebasan individu tidak boleh diletakkan mengatasi kepentingan sosial lebih besar, khususnya apabila ia memberi implikasi kepada pembinaan identiti dan jati diri generasi muda.

4. PERANAN MEDIA DALAM MENYAMPAIKAN MAKLUMAT TEPAT MENGENAI ISU LGBT

Media arus perdana dan digital diseru untuk mengelakkan pemberitaan yang sensasi atau mengelirukan. Laporan berkaitan isu LGBT perlu disampaikan secara berfakta, beretika dan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.

Peranan media sangat besar dalam membentuk persepsi rakyat. Oleh itu, laporan yang diterbitkan mestilah jelas, tepat dan tidak menimbulkan kekeliruan, terutama dalam isu yang melibatkan nilai dan moral negara.

5. PENDEKATAN MENYELURUH KERJASAMA KELUARGA, IPT, AGENSI AGAMA & KOMUNITI

Pendekatan menangani isu sosial memerlukan penglibatan pelbagai pihak. Keluarga berperanan menjadi institusi asas pembentukan sahsiah, IPT sebagai pusat pemantapan nilai generasi muda dan agensi agama sebagai panduan moral masyarakat.

Alumni MPPK komited menjadi suara dalam memelihara nilai negara dan menyokong usaha bersepadu bagi membendung salah faham serta penularan tingkah laku yang tidak selari dengan asas budaya Malaysia.

Malaysia memerlukan generasi muda yang teguh nilai dan jelas pedoman moral. Alumni MPPK menegaskan bahawa pendidikan nilai, kefahaman moral dan perlindungan belia daripada pengaruh yang bercanggah dengan budaya serta perundangan negara perlu menjadi keutamaan. Pendekatan berfakta dan berasaskan peraturan ialah asas kepada kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

MUHAMMAD AMIR ASYRAF BIN MOHD SABRI

Presiden

Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK)

Related Posts