Kompleks MADANI Teluk Kumbar adalah lambang pendekatan baharu Kerajaan MADANI yang memberi penekanan pembangunan yang memberi impak segera pada rakyat.
Projek bernilai RM25 juta ini menyediakan ruang niaga, dewan komuniti, dan kemudahan asas yang inklusif, khususnya buat peniaga kecil dan rakyat terbanyak yang majoritinya memilih makan di warung dan di gerai-gerai. Ini wajah sebenar pembangunan yakni membela yang ramai, tidak hanya segelintir yang kaya.
Begitulah keadannya di Kuala Lumpur bahawa kerajaan jangan terlalu menumpukan pada mercu tanda dan gedung-gedung perkasa pencakar langit semata, kerana realitinya majoriti rakyat tidak makan di restoran-restoran mewah. Sebaliknya mereka memilih untuk makan di warung-warung kecil dan sederhana.
Ini pendekatan pembangunan baharu yang cuba diolah semula oleh kerajaan agar maksud sebenar pembangunan yang insani dan manusiawi dapat dijelmakan.
Justeru, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Anwar Ibrahim tegaskan beliau memilih untuk hadir dan merasmikan projek ini kerana impaknya terus kepada rakyat. Teluk Kumbar dan Balik Pulau telah sekian lama menantikannya dan kehadiran beliau adalah komitmen untuk menyantuni serta mendengar denyut nadi rakyat di pinggir kota. YAB Perdana Menteri juga umumkan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta yang akan dibelanjakan tahun ini juga untuk memperkukuh kemudahan asas kawasan sekitar.
Sementara itu, dalam lanskap dunia yang semakin tegang dan runcing, Malaysia kekal sebagai negara yang stabil, diyakini dan dihormati. Ketika dunia memberi perhatian pada Malaysia dan limpahan pelaburan dari Infineon, Google dan Nvidia, YAB Perdana Menteri tetap memilih untuk hadir ke sini hari ini kerana bagi beliau projek kecil yang membawa manfaat besar dan segera adalah keutamaannya.
Menurutnya, kerajaan tidak pernah berganjak dari tumpuan yang telah digariskan. Kerajaan telahpun menaikkan gaji penjawat awam yang telah lama tidak disemak, sedang perluaskan TVET dan juga menaikkan gaji minimum. Adakah cukup dan memadai? Masih belum, namun apa yang pasti kerajaan akan terus bekerja.