KEDAULATAN MELAYU MELETAKKAN ISLAM SEBAGAI GOVERNAN TERTINGGI

575
SHARES
493
VIEWS

Kedaulatan merupakan penguasa agung yang padanya terletak sumber perundangan tertinggi dalam sistem politik sebuah kerajaaan; menetapkan ciri kedaulatan dan prinsip Perlembagaan untuk mendasari penggubalan undang-undang dan prinsip tadbir urus yang baik.

Dalam struktur Alam Melayu selepas kedatangan syariat Nabi Muhammad SAW, kedaulatan itu terletak pada Raja Melayu sebagai pemegang amanah kuasa agung berposisi sebagai wakil Allah SWT di atas muka bumi yang meneruskan ajaran Islam sebagai ad-Din.

Prinsip di atas meletakkan ajaran Islam sebagai governan tertinggi untuk menilai keabsahan adat Melayu yang merupakan amalan tradisi warisan kerajaan dan masyarakat purba di Tanah Melayu.

Bersandarkan pada hakikat bahawa Alam Melayu ialah tanah dan laut bernama Melayu, diperintah oleh Raja-Raja Melayu, sekalian yang diperintah mereka adalah rakyat Raja-Raja Melayu maka itulah asas kepada ketuanan Melayu, begitu juga frasa kedaulatan Melayu, iaitu kedaulatan Raja dan kerajaan Melayu. Kedaulatan Melayu adalah frasa yang menunjukkan jati diri rantau ini, bukan istilah rasis bersifat diskriminasi yang menindas mana-mana pihak.

Kedaulatan Melayu memberi satu konotasi bahawa tanah air ini tidak boleh tidak, mesti mendaulatkan Institusi Raja dan Islam sebagai governan tertinggi di samping kelestarian elemen-elemen watan yang berakar umbi sejak ratusan tahun.

Dari sudut sejarah perundangan, prinsip asal kuasa adalah bersumberkan ajaran Islam. Hal ini kerana ajaran agama Islam diturun pada awalnya kepada Nabi Adam AS mendahului kelahiran adat masyarakat. Perutusan Nabi Muhammad SAW membawa risalah terakhir yang mengharmonikan adat masyarakat dengan syariat akhir zaman.

Oleh kerana Laporan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan 1946 menjelaskan kedaulatan Negeri-negeri Melayu hendaklah kekal seperti sebelumnya pada Raja Melayu di setiap Negeri Melayu mengikut adat Melayu, itu mengabsahkan posisi Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Negeri-negeri.

Dari sudut prinsip, syariat menjernihkan adat Melayu sekaligus melestarikan adat sejauh mana adat itu patuh syariah.

Prinsip tersebut menggariskan prerogatif Raja-Raja Melayu yang kini sebahagian besar kuasa mereka di peringkat Persekutuan didelegat kepada Yang di-Pertuan Agong. Fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan oleh tiga cabang utama; Legislatif, Eksekutif dan Badan Kehakiman, atau pihak yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan.

Namun begitu selaras dengan prinsip ketatanegaraan Malaysia yang terpasak pada KEDAULATAN RAJA-RAJA DAN KELUHURAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, maka terdapat penggubalan dan pindaan undang-undang tertakluk pada persetujuan Majlis Raja-Raja.

Itulah pada hakikatnya KEDAULATAN MELAYU.

Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Penasihat Gabungan MI’RAJ

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend