LEKANYA MELAYU DIULIT K-POP

469
SHARES
2.2k
VIEWS

Oleh Ahmad Ali Karim

K-WAVE 3 Music Festival yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor beberapa bulan lepas menampilkan tujuh buah kumpulan K-Pop dari Korea Selatan. Walaupun konsert tersebut bermula pada pukul lapan malam namun laporan Facebook menunjukkan orang ramai sudah mula membanjiri tapak pesta itu sejak tengahari lagi.

Menurut laporan Utusan Online, pihak penganjur telah menawarkan pakej tiket Alpha Youth khas untuk remaja yang berusia antara 15 hingga 17 tahun. Apa yang sangat mengejutkan saya ialah pakej itu telah habis dijual dalam tempoh seminggu sahaja selepas jualan tiket dibuka kepada orang ramai, sedangkan majoriti remaja di lingkungan umur tersebut belum bekerja dan belum dapat menjana pendapatan sendiri. Setiap pakej tiket kecuali Alpha Youth dijual dengan harga daripada RM98 kepada RM498, dan hari ini semua pakej-pakej tiket yang ditawarkan telahpun habis dijual.

Peminat-peminat K-Pop sanggup membayar sehingga RM498 semata-mata untuk menghadiri konsert.

Peminat K-Pop yang membeli tiket merasa berbaloi melepaskan duit yang sebanyak itu hanya untuk menyaksikan persembahan hiburan yang mereka minati. Apakah mereka merasakan nilai duit kita sekarang sudah begitu rendah sehingga duit sebanyak itu tidak lagi bermakna kepada mereka dan boleh di’buang’ begitu sahaja? Padanlah artis-artis K-Pop kaya-raya dan dapat hidup dengan mewah di negara mereka.

Umat Islam sepatutnya membelanjakan duit untuk tujuan berfaedah.

Melihat statistik demografik rakyat Malaysia bahawa orang Islam adalah 60% daripada seluruh warganegara Malaysia, kita boleh anggarkan ramai di antara penonton konsert itu terdiri daripada orang-orang Islam. Mengikut sejarah konsert K-Pop sebelum ini, itulah hakikatnya. Saya tidak tahu berapakah jumlah nilai kutipan hasil penjualan pakej tiket tersebut kepada umat Islam, tetapi saya yakin jumlahnya besar.

Kenapa tidak duit itu didermakan kepada masjid-masjid atau agensi-agensi Islam supaya kita dapat mengumpul dana untuk menegakkan agama Allah atau membantu umat Islam dan anak-anak yatim yang memerlukan belanja untuk terus hidup atau meneruskan pengajian mereka? Jangan pula untuk sumbangan ‘fi sabilillah’, yang dikeluarkan hanyalah wang kertas yang berwarna biru tua; dan kalau terkeluar dari dompet duit yang berwarna hijau, disimpan balik dengan secepat mungkin.

Masalah ini bermula dari sikap orang-orang muda sekarang, yang akan menjadi lebih parah jika tidak dibendung.

Hari ini ramai orang-orang muda yang semakin taksub dengan fahaman hedonisme dan materialisme. Ada yang kurang peduli akan kehidupan rohani dan hanya mementingkan perkara-perkara yang bersifat materialistik sahaja. Mereka lebih mementingkan hiburan dan keseronokan, seolah-olah itulah keperluan hidup yang utama. Ada yang merasakan tanpa itu semua, mereka akan menghadapi kemurungan, ibarat hidup sudah tidak bermakna lagi. Maka kerana itulah mereka sanggup membayar hingga RM498 hanya untuk menyaksikan artis-artis dari Korea Selatan yang melompat-lompat di atas pentas Stadium Malawati, sambil menyanyikan lagu yang kemungkinannya kita langsung tidak faham.

Jangan menjadi penderhaka, seperti apa yang pernah berlaku lebih 500 tahun dahulu.

Kita mempunyai satu sejarah tamadun Melayu yang hebat dan gemilang. Puncak kegemilangan kita adalah apabila Kesultanan Melayu Melaka berdiri teguh sebagai satu empayar yang menjadi pusat perdagangan yang terkenal di dunia. Kesultanan Melayu Melaka adalah sebuah kerajaan thalassokrasi yang amat maju pada zaman itu. Antara teras utama dalam kehidupan rakyat Melaka ketika itu ialah agama Islam iaitu agama bagi Kesultanan Melayu. Kerana ketaatan rakyat kepada agama dan raja, maka terbentuklah ukhuwah dan kesatuan, hasilnya kerajaan Melayu Melaka berjaya menjadi negara yang kuat dan maju. Jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka bukanlah kerana tentera Portugis itu lebih kuat, tetapi kerana adanya rakyat yang tidak taat kepada Sultan Melaka dan bertindak menjadi dalang kepada Portugis.

Hilangnya ketaatan, hilangnya ketamadunan.

Lekanya hidup orang muda kita diulit fahaman hedonisme dan hilangnya semangat ‘fi sabilillah’ dan ‘ukhuwah Islamiyyah’ akan menjadikan umat Islam lemah dan senang dipengaruhi oleh musuh. Apabila hilangnya kepedulian orang Melayu tentang agama Allah, bangsa dan tanah air, maka dengan perlahan-lahan akan terhakislah ketamadunan kita ini.

Apabila terhakisnya ketamadunan Melayu ini maka akan rebahlah satu lagi bangsa yang amat kuat akidah Islamnya.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts