GENAP SETAHUN REKOD BURUK PAKATAN HARAPAN

28
SHARES
308
VIEWS

Sejak setahun yang lepas, tiada yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia dengan rekod pemerintahan Pakatan Harapan.

Apa sahaja inisiatif yang baik semuanya adalah dijenamakan semula dari inisiatif yang dijalankan atau ditetapkan oleh kerajaan sebelumnya.

Idea yang ada dicadangkan dan dijalankan ketika ini semuanya tidak memberi manfaat lebih baik kepada rakyat atau kerajaan akan membuat u-turn semula.

Walaupun seseminggu ini media yang dikuasai oleh kerajaan begitu gigih memanipulasi pendengar dan penonton dengan ‘kejayaan setahun’ Pakatan Harapan yang sebenarnya merupakan cubaan mengalihkan perhatian rakyat daripada perkara yang lebih merungsingkan yang berlaku dalam negara setiap hari.

Di mana rakyat semakin runsing dengan ekonomi yang semakin buruk, hubungan kaum yang semakin keruh, agama Islam serta Institusi Raja-Raja semakin terbuka dikecam.

Ia bukannya seperti apa yang digambarkan oleh Pakatan Harapan mengenai kejayaan setahun yang dibanggakan, yang dicanang setiap hari kononnya berjaya membanteras rasuah dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Mungkin kejayaan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada kejayaan melepaskan seramai mungkin pemimpin dan aktivis Pakatan Harapan daripada pelbagai pertuduhan, hanya menjadi bahan jenaka terkini, yang jelas memanfaatkan peluang memerintah dengan membebaskan rakan-rakan mereka.

Jika kejayaan yang dimaksudkan adalah pembanterasan rasuah, maka kenapa sehingga kini Lim Guan Eng masih belum disiasat sedangkan terbukti dokumen SPRM yang dibocorkan menunjukkan beliau mempunyai ‘penglibatan istimewa’ dalam kes terowong yang disiasat SPRM tersebut.

Selain itu, kenapa beliau dibebaskan oleh Pejabat Peguam Negara sedangkan kes masih dijalankan di mahkamah dalam isu pembelian banglo di bawah harga pasaran yang dijual oleh Phang Li Koon yang juga mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang ketika Guan Eng masih menjadi Ketua Menterinya?

Jadi di manakah rasionalnya Perdana Menteri berkata kerajaan Pakatan Harapan hari ini dibenci atau tidak disukai kerana tindakan tegas dan kejayaan mereka membanteras rasuah, sedangkan pendakwaan terpilih dan witch hunt seteru politik diamalkan sepanjang masa?

Malah adakah strategi bacul yang digunakan di mana seteru politik “diikat tangan ketika bertarung” dengan membekukan beratus-ratus akaun mereka, yang sehingga kini masih belum ada sebarang pertuduhan dikenakan juga sebagai  antara kejayaan setahun Pakatan Harapan?

Justeru ‘rule of law’ yang kononnya dicanang  berjaya ditegakkan hanyalah retorik semata-mata kerana dakwaan terpilih yang diamalkan dan bukan secara menyeluruh.

Manakala sesiapa sahaja yang melibatkan diri dengan Pakatan Harapan pula, secara tiba-tiba “berjaya disucikan daripada segala kesalahan” dan tidak akan disiasat lagi.

Maka hari ini genaplah setahun rekod buruk Pakatan Harapan yang cuba menjadi lebih baik dari Barisan Nasional yang dibencinya namun masih gagal setelah setahun berlalu.

Bak ‘rayuan’ Tan Sri Rafidah Aziz, berikan tempoh 5 tahun bagi rakyat menilai semula Pakatan Harapan, walaupun sebelum ini mereka sendiri meminta 100 hari dan kemudiannya meminta waktu setahun untuk dinilai.

Maka jangan terkejut jika selepas ini kerajaan Pakatan Harapan akan meminta waktu tambahan lagi sepenggal dan selepas 10 tahun barulah rakyat boleh menilai kejayaan mereka.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend