TRANSFORMASI UMNO SATU REALITI – DEMI PERJUANGAN YANG LUHUR

359
SHARES
2.1k
VIEWS

Shah Alam

9 Mei 2019

Semalam seorang Senator dari Barisan Nasional mengutarakan pandangan bahawa sekiranya UMNO gagal membuat transformasi terhadap hala tuju parti dalam tahun hadapan (2020), Pakatan Harapan akan memperbaiki cara mereka mentadbir negara ini dan parti DAP juga berkemungkinan besar boleh menawan hati pengundi-pengundi Melayu.

Senator BN itu berkata, transformasi yang dilakukan oleh UMNO semenjak Pilihanraya Umum ke-14 sangat minimal (sedikit).

UMNO dilihat lebih mengharapkan kepada kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan bukannya berusaha untuk menjenamakan (re-branding) semula UMNO.

Senator tersebut juga mencadangkan UMNO seharusnya terus membina semula UMNO (restructuring), membenteras politik wang, menghindarkan diri dari memberi kesetiaan secara membabi buta (blind loyalty) dan menghindarkan diri dari mengutarakan pendapat-pendapat yang keterlaluan (extreme opinion).

TRANSFORMASI UMNO YANG SEBENARNYA:

Agak menghairankan apabila seorang Senator BN mengutarakan pandangan bahawa UMNO hanya membuat transformasi yang minimal semenjak PRU ke-14.

Lebih menghairankan, apabila Senator berkenaan tidak menghuraikan secara terperinci apakah perkara-perkara yang perlu ditransformasikan oleh UMNO?

Sebenarnya UMNO telah dan sedang melakukan Transformasi Secara Besar-Besaran.

UMNO kini sudah mula membina dirinya semula, Re-Branding dan Restructuring.

Transformasi yang telah dilakukan oleh UMNO adalah seperti berikut:

1. Selepas kekalahan BN dan UMNO di dalam PRU ke-14, UMNO telah melakukan transformasi yang pertama iaitu Presiden UMNO, Najib Razak telah meletakkan jawatan Presiden kerana mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan tersebut.

Ini adalah kali pertama UMNO kalah di dalam PRU di peringkat Persekutuan.

2. Transformasi kedua, UMNO mengadakan pemilihan Presiden, Timbalan, Naib-Naib dan ahli MKT yang baru.

UMNO membuka seluas-luasnya untuk sesiapa sahaja bertanding sebarang jawatan di dalam UMNO.

Jawatan Presiden sahaja, 3 calon menawarkan diri. Ahli-ahli parti memilih Zahid Hamidi.

3. Transformasi ketiga, Zahid Hamidi bercuti dan menyerahkan tugas kepada Tok Mat Hasan, agar beliau boleh menumpukan masa terhadap kes-kesnya dan memberi peluang kepada Tok Mat untuk menjenamakan semula UMNO.

4. Transformasi keempat, UMNO dan BN meletakkan seorang ‘calon langsung’ (Direct Candidate), di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands. Manakala di Semenyih, UMNO meletakkan calon biasa di kalangan ahli parti yang berwibawa untuk bertanding.

Reformasi pemikiran cara memilih calon-calon BN menyebabkan BN dan UMNO menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

5. Transformasi kelima, masalah Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara (Senator), yang melompat keluar dari UMNO sudah selesai. Yang melompat adalah Ahli Parti yang tidak setia dan mempunyai kepentingan peribadi.

UMNO dilihat lebih selesa sekarang dengan Ahli-ahli Parlimen yang setia sahaja.

6. Transformasi yang keenam, Persidangan Tahunan UMNO di peringkat Bahagian telah selesai dengan sempurna tanpa sebarang masalah.

Ini amat berbeza dengan PPBM yang masih di peringkat penaja dan belum berjaya melakukan pemilihan kepimpinan tertinggi parti tersebut.

7. Gabungan UMNO dengan PAS adalah satu transformasi politik terbaik dan terbesar di dalam dekad ini.

Gabungan dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini telah mengubah landskap politik negara ini.

Kebijaksanaan pemimpin-pemimpin politik UMNO dan PAS telah berjaya menjadikan ini satu transformasi terbesar politik negara.

Strategi politik yang mantap ini, boleh memenangkan UMNO dan PAS di lebih 29 kerusi-kerusi Parlimen yang mereka kalah pada PRU ke-14.

Ini merunsingkan Kerajaan Gabungan Pakatan Harapan.

KESIMPULANNYA:

Kesimpulannya, transformasi dan penjenamaan semula UMNO sedang berjalan dan mempunyai hala tuju yang tepat.

Yang penting, pemimpin-pemimpin UMNO kini dan pemimpin-pemimpin yang terdahulu, perlu bekerjasama memperkukuhkan lagi parti UMNO dan bukannya mengkritik UMNO secara keterlaluan, demi untuk mencari populariti.

Kita perlu berdiri teguh di belakang Tok Mat Hasan dan meneruskan langkah kehadapan demi PERJUANGAN YANG LUHUR INI.

Salam.

DSBA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts