ADAKAH TAN SRI MUHYIDDIN YASIN SEDANG MENGUMPUL KEKUATAN? SIAPA YANG INGIN BELIAU CABAR KALI INI?

1.4k
SHARES
5.2k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

1. Sejak Pakatan Harapan menerajui negara, suasana politik negara sentiasa panas. Segala ‘sampah’ yang disapu ke bawah karpet tidak boleh diselindung lagi. Terbaru, Presiden PPBM TS Muhyiddin Yasin semakin mencengkam bagi mengukuhkan kedudukan beliau dalam PPBM. Andaian umum yang TS Muhyiddin sekadar ‘puppet‘ mengikut segala kehendak Tun Mahathir tidak terpakai lagi.

2. Selain DS Anwar yang tidak pernah padam cita-citanya menjadi Perdana Menteri, itulah juga cita-cita TS Muhyiddin Yasin sekian lama. Cuma ia tidak dizahirkan secara jelas seperti DS Anwar. TS Muhyiddin tidak pernah berputus asa bertanding Naib Presiden UMNO walaupun pernah tewas. TS Muhyiddin juga adalah ‘panglima’ dalam UMNO yang menggerakkan usaha menjatuhkan Pak Lah Badawi sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

3. Ketika itu TS Muhyiddin bukanlah Naib Presiden terkanan. TS Muhyiddin tahu jika Pak Lah berjaya dijatuhkan, beliau adakah calon popular bagi menjawat jawatan nombor dua negara setelah TPM ketika itu naik menjadi PM. TS Muhyiddin tahu beliau perlu membuat ‘breakaway‘ meninggalkan kelompok Naib Presiden yang disandang beliau sekian lama. Peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau.

4. Setelah menjawat jawatan nombor dua negara, TS segera melafazkan ikrar taat setia dan berjanji mahu menjadi timbalan yang baik kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Malangnya ia tidak kekal lama. Apabila persepsi-persepsi negatif menghimpit kredibiliti Perdana Menteri ketika itu, mungkin TS Muhyiddin sudah mula mengimpikan jawatan nombor satu negara, cita-cita beliau sekian lama.

5. Namun langkah TS Muhyiddin dimatikan apabila beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ‘dicutikan’ dari tugas Timbalan Presiden UMNO. Setelah dipecat dari UMNO, cita-cita TS Muhyiddin tidak pernah padam. TS Muhyiddin sekali lagi menggunakan Tun Mahathir bagi merealisasikan cita-cita beliau. Kali ini cuba menggunakan PPBM dan PH dan mereka berjaya. Dikhabarkan TS Muhyiddin mendesak agar diberikan jawatan TPM namun gagal. PM diwakili dari PPBM, takkan TPM pun hendak diberikan dari PPBM.

6. Dalam PH dan PPBM, tumpuan lebih banyak terarah kepada Tun Mahathir yang juga Pengerusi PPBM. Ini memudahkan TS ‘menjalankan’ gerak kerja beliau di bawah radar. Sewaktu detik peralihan wakil rakyat BN di Sabah dan Semenanjung sedang tercari-cari arah, mereka telah ditemui oleh TS Muhyiddin dan TS Muhyiddin memberi gambaran kepada mereka bahawa beliau ‘in control‘ dalam PPBM dan PH.

7. Setelah pengunduran Datuk Osman Sapian sebagai MB Johor, belang TS Muhyiddin semakin terdedah. Kali ini TS Muhyiddin telah menggunakan kuasa beliau sebagai Presiden PPBM mengawal dan menentukan pelantikan Menteri Besar baharu dan barisan Exco-nya. Dalam diam, TS Muhyiddin tidak memberi peluang campur tangan luar dalam pembentukan barisan Exco Johor yang baharu.

8. Sebagai orang politik, ini barulah betul-betul Presiden PPBM. Orang yang berkuasa juga harus pandai menggunakan kuasa yang ada padanya. Jika tidak, kuasa yang ada padanya tidak memberi sebarang makna. TS Muhyiddin sudah mula menunjukkan kukunya. Mungkin kuku tajam beliau akan dikeluarkan lebih panjang semasa pemilihan PPBM nanti. Jika dahulu PH menjadikan Johor sebagai pangkalan menjatuhkan UMNO dan BN, tidak mustahil kali ini TS Muhyiddin menjadikan Johor sebagai pangkalan meluaskan kuasa dan pengaruh beliau dalam PPBM dan PH.

9. Cuma dalam realiti politik, gerak kerja tidak boleh dibuat berseorangan. Jeneral politik perlukan sekutu serta askar bagi mencipta kejayaan. Siapakah pilihan TS Muhyiddin bagi merealisasikan cita-cita beliau menjadi Perdana Menteri?

Adakah Anwar, yang juga memasang impian yang sama? Mungkin juga TS Muhyiddin membunuh dua ekor burung menggunakan sebiji batu?

Membiarkan Mahathir-Anwar berlawan dan TS Muhyiddin mungkin akan mengambil kesempatan dari perseteruan ini?

10. Atau memberi laluan sementara kepada Anwar dan hanya bertindak setelah Anwar berjaya menjadi PM?

Atau TS Muhyiddin setia menunggu dan menggunakan kekuatan Tun Mahathir sepenuhnya bagi memusnahkan Anwar?

Atau juga TS Muhyiddin memilih Azmin sebagai gandingan lama dan baru demi meraih populariti dan sokongan?

Semuanya serba berkemungkinan kerana berdasarkan perkembangan terkini, nama-nama yang disebut mampu merealisasikan atau menghalang cita-cita TS Muhyiddin menjadi Perdana Menteri…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts