POLIS BUAT SIASATAN TERBUKA KES MUATNAIK VIDEO TRANSKRIP CRT MAHKAMAH – ISHAM JALIL

413
SHARES
2.4k
VIEWS

Saya telah dimaklumkan bahawa setakat petang semalam tiada report polis telah dibuat berkenaan tindakan saya memuatnaik video transkrip CRT mahkamah kelmarin dan semalam.

Oleh itu pihak polis mungkin telah diarah untuk membuat siasatan terbuka tanpa ada report polis.

Saya akan memberi kerjasama sebab saya faham bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas mereka, dan saya juga pernah berkhidmat bersama-sama mereka semasa bertahun-tahun saya dalam kerajaan dahulu.

Minggu depan saya akan ke Bukit Aman untuk membuat kenyataan.

Walaupun ada pihak-pihak PH yang sebelum ini menggertak untuk membuat report polis, mereka telah menarik diri semalam mungkin kerana penyokong-penyokong dan peguam-peguam PH yang sebelum ini seronok menyerkap jarang dan mengatakan yang perkara tersebut salah dan menghina mahkamah kini sedar yang mereka telah tersilap langkah dan tidak mahu terus memalukan diri sendiri.

Saya jangka esok lusa mungkin mereka akan buat report polis juga sebab untuk sekadar menjaga air muka mereka supaya tidak digelar pengecut oleh penyokong-penyokong mereka sendiri.

Namun dalam keadaan terdesak, ada juga penyokong-penyokong PH ini yang masih cuba menegakkan benang yang basah.

Dalam media sosial, mereka telah memuatnaik salinan borang kosong permohonan video transkrip CRT kepada mahkamah untuk kegunaan awam.

Dalam borang tersebut ada menyatakan suatu akujanji pemohon supaya tidak mengedarkan, menyalin atau memuatnaik rakaman kepada apa jua bentuk.

Oleh itu, kepada penyokong-penyokong PH ini, ini membuktikan yang ada undang-undang dan peraturan undang-undang mahkamah bahawa rakaman CRT adalah dokumen rahsia dan tidak boleh diedarkan dan dimuatnaik dan jika ia dibuat maka ianya menyalahi undang-undang.

Saya cuma ada dua komen kepada “pakar” undang-undang PH ini:

PERTAMA, apabila ada borang permohonan untuk orang awam atau peguam untuk memohon salinan video transkrip video CRT mahkamah, maka ini bermakna video tersebut bukanlah dokumen rahsia.

Jika ianya dokumen rahsia, mana mungkin ada borang untuk orang awam memohonnya dan bayar CD RM10 sekeping untuk membelinya.

KEDUA, akujanji bukanlah undang-undang atau peraturan undang-undang mahkamah.

Sesiapa sahaja boleh membuat atau menulis akujanji di atas borang tetapi ini tidak bermakna ia menjadi undang-undang atau peraturan undang-undang.

Untuk menggubal undang-undang, sesuatu rang perlu dibawa ke Parlimen untuk dilulus dan diwartakan.

Jika boleh tulis akujanji di atas borang dan ia menjadi undang-undang, tidak perlulah ada Parlimen; dan bayangkan jika ini berlaku maka “pakar-pakar” undang-undang papan kekunci PH ini pun boleh jadi penggubal undang-undang. Tuhan selamatkanlah kita jika ini berlaku.

Semalam juga Menteri Undang-undang PH menyatakan bahawa pada “takrifan” beliau sendiri, memuatnaik video transkrip CRT mahkamah adalah suatu kesalahan undang-undang.

Apabila seorang Menteri Undang-undang menggunakan perkataan “takrifan”, ini bermaksud beliau dan pegawai-pegawai undang-undang beliau telah cuba mencari dalam undang-undang di mana dinyatakan bahawa hal memuatnaik video transkrip CRT ini adalah suatu kesalahan undang-undang, namun beliau dan orang-orang beliau tidak jumpa perkara ini, oleh sebab itu mungkin beliau terpaksa menggunakan perkataan “takrifan”.

Dalam undang-undang, perkataan “takrifan” ini adalah sesuatu yang sensitif dan apabila kita menuduh seseorang dengan “takrifan” undang-undang kita sendiri ianya adalah sesuatu hujah yang amat lemah.

Ini kerana sesiapa pun boleh membuat takrifan dan ia tertakluk kepada pelbagai pandangan.

Sebab itu terutama dalam kes jenayah, akta dan kanun adalah spesifik tentang perbuatan jenayah untuk mengurangkan kebergantungan kepada takrifan mana-mana pihak.

Jika tidak, risiko untuk menganiaya orang yang tidak bersalah adalah tinggi dan undang-undang akan menjadi zalim.

Ada juga pihak yang mencadangkan supaya saya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak PH yang telah membuat kenyataan tidak benar terhadap saya dalam hal memuatnaik video transkrip CRT tersebut.

Saya sedang memikirkan hal ini.

ISHAM JALIL

21 April 2019

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/445685556186974?sfns=mo

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts