BUZZE AZAM MENJAWAB 3 SOALAN KONTROVERSI BERKAITAN STATUT ROM

471
SHARES
2.7k
VIEWS

Oleh Mohd. Khairul Azam Bin Abdul Aziz

1) Betulkah Statut Rom ini mengelirukan rakyat dan Raja-Raja Melayu? Mana fakta kerajaan tidak jelaskan kepada Raja-Raja Melayu dan rakyat serta kesan sebenarnya?

Jawapan:

Saya tidak setuju jika dikatakan Statut Rom ini mengelirukan rakyat. Hanya dengan carian mudah di laman Google, semua rakyat boleh membaca terlalu banyak ulasan dan penulisan dari pakar undang-undang dan juga tokoh politik.

Pastinya terdapat perbezaan antara kesemua pandangan ini berdasarkan tahap keilmuan, pemahaman dan kecenderungan politik masing-masing. Namun perbezaan ini harus diraikan secara matang, berteraskan neraca ilmu kenegaraan bukan secara emosional seperti yang dilakukan Tun Dr Mahathir semalam.

Isu ini kembali hangat apabila secara tiba-tiba DYAM Tunku Mahkota Johor telah memuatnaik status Facebook Baginda pada 2 April 2019 bahawa tindakan kerajaan meratifikasi Statut Rom ini adalah tindakan yang tidak berpelembagaan kerana tidak terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Ini isu sebenar mengapa Kabinet memutuskan untuk menarik balik ratifikasi. Peguam Negara Tommy Thomas telah gagal menasihatkan Kerajaan bahawa mengikut perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa:-

“Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”

Jadi untuk menyelamatkan maruah kerajaan yang tidak mendapat nasihat yang betul daripada Peguam Negara Tommy Thomas, sebelum Majlis Raja-Raja mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana melanggar Perlembagaan Persekutuan, maka adalah selamat untuk Perdana Menteri menarik balik ratifikasi berkenaan sebelum Majlis Raja-Raja bertindak mengikut undang-undang.

Bukan kerana Rakyat keliru berkaitan Statut Rom, tetapi ini berkaitan kerajaan Malaysia yang telah dikelirukan oleh Peguam Negara yang gagal memberikan nasihat yang betul kepada kerajaan sebelum meraktifikasi Statut Rom.

2) Apa sebenarnya Statut Rom ini dan kenapa ditentang?

Jawapan:

Terdapat 2 isu berbeza yang perlu difahami terlebih dahulu berkaitan persoalan ini iaitu:-

i) Isu proses sebelum meraktifikasi Statut Rom iaitu kewajipan mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja,

ii) Isu isi kandungan Statut Rom

Kegagalan membezakan kedua-dua isu ini akan menyebabkan kekeliruan yang lebih besar.

Sebenarnya tiada banyak penentangan berkaitan isu kedua iaitu kandungan Statut Rom. Dalam keadaan Malaysia mustahil melakukan 4 jenayah utama dalam Statut Rom, jenayah perang (war crime), jenayah pencerobohan (agression crime), jenayah kemanusiaan (humanity crime), jenayah pembunuhan beramai-ramai (genocide, mass killings) maka kelihatan tidak mungkin YDPA selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera boleh didakwa di ICC.

Namun isu kedua pertikaian ini tidaklah sebesar isu pertama yang dipertikaikan oleh Majlis Raja-Raja kerana isu pertama pertikaian inilah yang menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa menarik balik ratifikasi berkenaan.

Namun Perdana Menteri dalam sidang media penuh emosi petang semalam telah mengelak untuk mengulas berkaitan isu pertama ini sebaliknya telah membuat lencongan (diversion) isu dengan menyindir (innuendo) TMJ dengan isu-isu lain sebagai manifestasi kemarahan beliau terhadap TMJ yang mula-mula mencetuskan isu pertikaian pertama ini sehingga mendapat perhatian utama dalam agenda Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Kesipuan Perdana Menteri yang gagal menjawab isu pertikaian pertama di atas di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah menyebabkan Perdana Menteri terpaksa mengambil jalan selamat dengan menarik balik ratifikasi berkenaan.

3) Siapa Tun maksudkan pihak yang membuat gerakan batalkan statut itu? Sama ada orang dalam komponen PH atau kerabat Raja? Tun nampaknya tidak maksudkan parti-parti politik?

Jawapan:

Tun maksudkan gerakan ini di cetuskan oleh TMJ dan kelihatan ada beberapa kumpulan profesor undang-undang, peguam dan aktivis masyarakat berpengaruh yang telah menyambut lontaran status Facebook TMJ berkenaan.

Disebabkan gerakan ini berteraskan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan yang memberi kelebihan kepada Majlis Raja-Raja maka PM percaya kesipuan kerajaan yang tidak mendapat nasihat yang betul dari Peguam Negara Tommy Thomas ini tidak mampu dipertahankan.

Maka bagi mengelak keadaan bertambah parah, maka adalah selamat Perdana Menteri menarik balik ratifikasi berkenaan sebagai tanda akur dengan nasihat Majlis Raja-Raja.

Mohd Khairul Azam Bin Abdul Aziz

Peguambela & Peguamcara

0129770412

(Beliau juga dikenali sebagai Buzze Azam, syarikat beliau ialah Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts