PERPADUAN UMNO – PAS SATU REALITI BUKAN PROPAGANDA POLITIK

962
SHARES
2.3k
VIEWS

MAHDZIR KHALID

Naib Presiden UMNO Malaysia

Perbincangan yang paling hangat sebulan ini ialah mengenai perpaduan dan kerjasama politik antara UMNO dengan PAS.

Agak menghairankan apabila kerjasama antara dua parti terbesar Melayu Islam ini membawa pelbagai komen dan tafsiran.

Ada pemimpin DAP yang menyatakan bahawa sekiranya kerjasama UMNO – PAS ini menjadi realiti, dan mereka menang di dalam PRU-15, negara Malaysia akan menjadi sebuah negara seperti negara Taliban.

Mana mungkin, Malaysia boleh disamakan dengan negara Afganistan yang huru-hara itu.

Ini semua taktik pemimpin DAP yang terus-menerus cuba menakut-nakutkan rakyat berbangsa Cina dan India. Agar mereka terus menyokong perjuangan DAP yang rasis dan kelihatan seperti anti-Islam.

Manakala, Lim Guan Eng pula mengeluarkan kenyataan bahawa perpaduan antara UMNO – PAS ini seumpama pengisytiharan perang.

Adalah amat penting untuk rakyat berbilang bangsa, agama dan kaum memahami apa sebenarnya perpaduan ummah yang dibentuk oleh parti UMNO – PAS ini.

PERPADUAN UMMAH ini bukan sahaja di dalam bentuk kerjasama politik tetapi juga di dalam segala bentuk kerjasama lain iaitu:

(i). Demi kepentingan serta mempertahankan hak orang-orang Melayu Islam di negara ini, di samping tidak mengenepikan hak orang-orang bukan Islam terhadap hak mereka untuk menganut agama lain selain daripada agama Islam;

(ii). Demi melahirkan satu negara yang makmur, sejahtera serta aman untuk didiami oleh semua rakyat pelbagai kaum dan bangsa;

(iii). Demi memastikan ekonomi negara berada di platform yang kukuh, agar ekonomi negara terus subur untuk ahli-ahli perniagaan berniaga di dalam negara ini;

(iv). Demi memastikan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) sentiasa terpelihara agar rakyat negara ini berasa selamat berada di dalam negara;

(v). Demi terus-menerus memastikan keselamatan, pendidikan, kesihatan dan sosio-budaya pelbagai bangsa dan kaum negara ini terus dipelihara dan dipupuk ke arah kesejahteraan dan kebaikan.

Parti PAS kali pertama bergabung dengan UMNO untuk memupuk satu gerakan perpaduan ummah ialah pada ketika selepas peristiwa 13 Mei 1969.

PAS menyertai Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional pada tahun 1973/74. PAS sedar bahawa peristiwa berdarah 13 Mei 1969, pertembungan bersenjata antara orang Melayu dengan Cina, menyebabkan PAS ketika itu terpanggil untuk merapatkan barisan di kalangan orang-orang Melayu Islam.

PAS meninggalkan BN pada tahun 1978, ketika berlaku perselisihan faham akibat krisis kepimpinan Menteri Besar Kelantan.

Kini selepas 41 tahun, PAS kembali menjalinkan kerjasama dengan UMNO/BN, demi perpaduan ummah dan rakyat Malaysia yang tertekan dengan tindak tanduk Kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah negara ini selama 10 bulan.

Hanya ahli-ahli politik yang tidak matang, buta sejarah dan takut kepada bayang-bayang sahaja, yang perlu merasa takut kepada kerjasama UMNO/BN dengan PAS ini.

Kegembiraan orang-orang Melayu Islam tidak dapat dibendung lagi. Mereka merasakan ini merupakan satu hikmah daripada Allah SWT kepada negara ini.

Di sebalik awan mendung, rupa-rupanya kini timbul satu cahaya menerangi bumi bertuah, bersama sang pelangi, yang menjanjikan sesuatu yang indah untuk negara Malaysia ini.

Salam,

Ahli Parlimen Padang Terap

28 Mac 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts