JABATAN PERDANA MENTERI MEMPUNYAI UNIT PERISIKAN ALA CIA, MOSSAD, FSB?

891
SHARES
5.2k
VIEWS

Pertengahan bulan Mei lepas berlakunya satu serbuan terhadap sebuah rumah milik ‘Ketua Ejen Perisikan’ Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak di Seri Kembangan, Selangor berikutan pencarian dokumen penting berkaitan 1MDB.

Setiap laman web menyatakan bahawa unit ini bertindak hanya di bawah arahan Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak di mana mereka melakukan kerja-kerja memantau dan mencari pengkritik kerajaan dalam dan luar negara. Netizen pula semberono mengkritik agar ditutup dan tangkap seluruh ahli unit perisikan ini kononnya.

Hakikatnya semua pihak perlu bertenang dan berfikir secara rasional. Setiap negara di dunia mempunyai unit perisikannya sendiri dan bertanggungjawab melaporkannya terus kepada Ketua Negara masing-masing. Amerika Syarikat sendiri mempunyai pelbagai cabang perisikan dalam dan luar negara. Begitu juga dengan Singapura, Indonesia, Australia, Israel, China, Russia dan lain-lain negara yang bertujuan untuk menyalurkan dan berkongsi maklumat kepada negara masing-masing. Mereka juga bertanggungjawab berkongsi maklumat risikan yang difikirkan wajar dengan agensi-agensi perisikan yang lain.

Tujuan mereka hanya satu, mematah dan memintas ancaman luar ke atas negara masing-masing dan sekiranya ancaman tersebut berjaya menyusup ke dalam negara maka pihak polis dan t,entera pula akan mengambilalih. Unit perisikan asing pula akan menghubungi agensi perisikan negara untuk berkongsi atau menyalurkan maklumat serta meminta bantuan yang segalanya dilakukan secara rahsia atau tidak melalui hebahan awam.

Sebagai contoh, serangan ke atas World Trade Centre pada September 2001 adalah contoh kegagalan pihak perisikan memintas serangan selain daripada teori sabotaj untuk menyalahkan dunia Islam. Selain itu, siri pongeboman berani mati mutakhir ini ke atas setiap negara Barat seperti UK dan Perancis oleh militan Daesh di mana kegagalan risikan mengumpul maklumat tepat menjadi punca utama serangan tersebut berjaya dilaksanakan.

Realiti kini kegiatan perisikan negara-negara besar telah berubah apabila mereka menggunakan agensi perisikan masing-masing untuk menguasai ekonomi dan mencatur pemimpin sesebuah negara yang akan mereka kuasai untuk tujuan mendapatkan keuntungan di masa hadapan. Ejen mereka akan melakukan kegiatan intipan, merekrut aset termasuk pemimpin utama termasuklah mencatur perjalanan politik individu di sesebuah negara yang ingin mereka kuasai serta berhubung dengan kumpulan rakyat tempatan yang bertentangan dengan pemimpin tersebut sebagai pelan kontingensi.

Tidak seperti Interpol, senarai penjenayah dikehendaki akan diumumkan untuk meminta bantuan pengesanan di setiap negara yang menganggotainya. Ketika ini 192 negara menganggotai Interpol dan semua negara mempunyai akses kepada data penjenayah setiap negara anggota. Bagaimana pula jika sesebuah negara ingin mengesan mereka yang menggunakan pengaruh diplomatik untuk keluar masuk dan tiada data daripada setiap negara yang menjadi anggota Interpol? Mereka menggunakan kabel diplomatik bahkan mereka itu sendiri adalah diplomat yang ditempatkan di setiap kedutaan masing-masing di seluruh dunia.

Negara-negara kuasa besar akan menempatkan ejen risikan masing-masing di setiap kedutaan di setiap negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan mereka. Ejen risikan ini akan dihantar dan menjawat jawatan tidak penting di kedutaan masing-masing agar tidak terikat dengan tugas-tugas di kedutaan dan kebiasaannya sebagai Setiausaha, Setiausaha Kedua ataupun jawatan lainnya yang di kedutaan. Tugas mereka adalah untuk mencari aset tempatan untuk membantu mereka menjalankan tugas-tugas risikan mengikut arahan yang diberikan, mencari dan mengumpul maklumat serta menjalankan operasi. Lebih mencabar senario politik sesebuah negara maka lebih mencabarlah tugasan mereka.

Jika negara kuasa besar, mereka mempunyai dua kategori ejen risikan iaitu ‘Offical Cover Up (OC)’ dan ‘Non Offical Cover Up (NOC)’. Di Malaysia hanya mempunyai satu iaitu OC sahaja kerana Malaysia tiada keperluan untuk mempunyai NOC. Jika bernasib baik OC yang ditugaskan di kedutaan ini akan mampu merekrut aset di setiap negara mereka ditempatkan untuk tujuan membantu mereka mendapatkan maklumat kelak.

Lupakan kisah dongeng di setiap filem yang kita lihat di layar kaca kerana segalanya dipenuhi dengan operasi-operasi tidak masuk akal namun ada sebahagiannya yang menepati kisah sebenar ejen risikan namun tidak seindah yang diperkatakan. Jika CIA di Amerika Syarikat, di UK ada SIS atau Secret Intelligence Service atau lebih dikenali sebagai MI6, MOSSAD di Israel, maka di Malaysia dikenali sebagai ‘Unit Penyelidikan’ atau dikenali sebagai ‘Research Department’ sahaja.

Tujuannya sama, menangani ancaman anasir luar ke dalam negara dan mempunyai petugas dari kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), polis dan tentera. Unit ini telah lama wujud sebelum zaman Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dimulakan oleh Tun Mahathir. Ketika ditanya oleh wartawan dalam tahun 1980-an ketika beliau ingin memulakan unit tersebut, beliau ditanya adakah unit tersebut sama seperti KGB, MOSSAD, CIA, beliau menjawab, “Lebih kurang begitulah.”

Justeru adakah kewujudan unit ini diperlukan atau releven pada masa kini? Jawapannya tentulah releven dan sangat diperlukan kerana ia akan membuat hubungan dengan agensi perisikan lain demi untuk menjaga kepentingan negara daripada dicerobohi secara keganasan, ketenteraan ataupun tekanan politik.

Mereka akan melaporkan terus kepada Ketua Pengarah Unit Penyelidikan yang akan menyalurkan maklumat kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan. Ia sama seperti negara-negara lain cuma fungsi Unit Penyelidikan ini tidaklah meluas seperti CIA, MOSSAD ataupun FSB (dahulunya dikenali sebagai KGB) kerana unit perisikan Malaysia tidak pernah mempunyai matlamat untuk menguasai atau mencatur politik negara lain, seperti negara-negara besar tersebut.

Maka tidak perlulah kita untuk melatah dan meminta kerajaan memansuh atau menutup unit ini kerana kononnya mereka adalah ‘orang Najib’, bahkan setiap Perdana Menteri memerlukan mereka untuk membuat hubungan dengan agensi perisikan asing di luar negara untuk tujuan keselamatan bersama. Unit ini tidaklah rahsia seperti yang kita sangka kerana dunia mengetahui siapa itu CIA, MOSSAD dan FSB, maka seperti itulah Research Department, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang tidak ada keperluan untuk dirahsiakan unit dan fungsinya. Memang benar ibupejabatnya di JPM dan terdapat rumah ‘berhantu’ di Jalan Bellamy untuk tujuan latihan.

Cukup dengan sekadar membebaskannya daripada pengaruh politik untuk tujuan manfaat individu ataupun parti kerana Ketua Pengarah Unit Penyelidikan ini perlu mempunyai integriti dan matlamat jelas untuk mengelakkannya menjadi bersifat kepartian.

Mungkin lebih baik ada cadangan untuk diletakkan di bawah Parlimen berbanding sekarang ini Unit Penyelidikan bertanggungjawab melaporkannya terus kepada Perdana Menteri. Namun selagi Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Unit Penyelidikan mampu mengasingkannya daripada bersifat kepartian, selagi itulah ia releven di bawah JPM.

Justeru kerajaan perlu menambahbaik kemudahan dan latihan, memperkasakan unit dan fungsinya serta mejadikan unit ini berstatus elit untuk tidak dipergunakan oleh sesiapa dan dihormati oleh agensi risikan lain di seluruh dunia. Kitapun sudah lupa bila kali terakhir diadakan latihan bersama ataupun mereka diberi latihan untuk menambahnilai setiap anggota bersesuaian dengan senario politik dunia yang semakin mencabar.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts