MELAYU DAN INDIA PALING TINGGI DIDISKRIMINASI DI SEKTOR SWASTA

512
SHARES
2.9k
VIEWS

Beberapa tahun dahulu saya pernah menyatakan bahawa graduan-graduan Melayu dan India sukar mendapatkan pekerjaan di Malaysia sebab masalah diskriminasi di sektor swasta.

Resume-resume dengan nama Melayu dan India mendapat panggilan temuduga yang terendah berbanding resume-resume dengan nama lain.

Apabila orang-orang Melayu dan India sukar untuk mendapatkan pekerjaan, hal ini mendatangkan masalah sosio-ekonomi di mana jurang pendapatan dan kekayaan di antara kaum akan meningkat dan ia menyebabkan ketidak-stabilan sosial dan politik di Malaysia.

Pada tahun 2003 terdapat satu kajian oleh dua orang profesor ekonomi di Chicago dan Harvard bernama Marianne Bertrand dan Sendhil Mulainathan yang bertajuk “Are Emily and Greg More Employable than Lakisha and Jamal? A Field Experiment on Labor Market Discrimination” (Adakah Emily dan Greg lebih mudah diambil kerja berbanding Lakisha dan Jamal? Eksperimen lapangan berkenaan diskriminasi dalam pasaran pekerjaan).

Semasa saya di Amerika Syarikat pada tahun 2010, saya telah membaca kertas kajian di atas dan berpendapat masalah yang sama berlaku di Malaysia.

Saya telah menulis berkenaan perkara ini dalam buku saya “Malaysia Beyond 2020: Ideologies and Institutions for Growth” (Malaysia Pasca 2020: Ideologi dan Institusi untuk Kemajuan), (2013), dan “Hala tuju Melayu dan UMNO Pasca 9 Mei” (Jun 2018), (Buku kedua ini boleh dimuat-turun percuma secara online).

Beberapa tahun kemudian selepas kajian di Amerika tersebut, perkara ini dibuktikan melalui satu kajian empirikal tempatan oleh UKM pada tahun 2013 yang menunjukkan resume-resume dengan nama Melayu dan India mendapat panggilan temuduga 4 kali ganda lebih rendah berbanding kaum yang selalu dipilih oleh sektor swasta.

Baru-baru ini terdapat satu lagi kajian oleh satu badan bebas iaitu Centre for Governance and Policy Studies yang menunjukkan perkara yang sama.

Ini membuktikan masalah diskriminasi berlaku di pasaran kerja di Malaysia oleh kerana prejudis dan bias terhadap kaum dan warna kulit di Malaysia terutama di sektor swasta.

Sektor swasta di Malaysia merangkumi 90 peratus pasaran kerja, oleh itu apabila diskriminasi berlaku di sektor ini maka kesannya adalah amat signifikan.

Keadaan ini akan menjadi lebih teruk apabila sektor kerajaan dikecilkan dan membuang lebih ramai lagi penjawat-penjawat awam.

Ini akan menyebabkan berlaku perlambakan pencari kerja atau penganggur di sektor swasta di mana mereka ini akan bersaing pula dengan graduan-graduan yang baru keluar universiti.

Masalah diskriminasi di atas akan lebih menerukkan keadaan ini di mana orang-orang yang dibuang kerja oleh kerajaan adalah yang paling ramai didiskriminasi di sektor swasta.

Cadangan Perdana Menteri Tun Mahathir supaya penjawat-penjawat awam yang dibuang kerja mencari kerja di sektor swasta adalah satu cadangan yang cetek dan umpama melepas batuk di tangga.

Sebab itu sebelum ini saya pernah cadangkan bahawa sekiranya Kerajaan PH serius untuk menangani masalah diskriminasi, mereka perlu lihat di sektor swasta dan pasaran kerja dahulu iaitu sektor di mana masalah ini berleluasa dan tidak terkawal, dan bukan mempersoal dasar tindakan afirmatif yang sebenarnya adalah tindakan pembetulan terhadap diskriminasi yang berlaku di sektor swasta.

Ini bukan soal perkauman, ia adalah soal dasar yang kritikal yang perlu dibincang dan ditangani dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia untuk kestabilan sosial, ekonomi dan politik dan untuk mengelakkan malapetaka seperti yang pernah berlaku dahulu.

Kerajaan juga perlu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengembangkan ekonomi; bukannya menguncupkan ekonomi, menjual aset dan membuang orang kerja, dan memaksa graduan-graduan membayar PTPTN pula.

Jika graduan tidak ada kerja oleh kerana peluang pekerjaan yang sempit akibat ekonomi merudum dan diskriminasi di pasaran kerja, bagaimana mereka hendak bayar PTPTN?

ISHAM JALIL

Presiden

SUKARELAWAN MALAYSIA

8 Mac 2019

https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/03/07/race-more-important-than-skills-when-it-comes-to-jobs-study-finds/#GLVGOKrjePblIOGy.41

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts