KENAPA HINA AGAMA SEMAKIN MENJADI-JADI?

1.5k
SHARES
8.6k
VIEWS

(Surat pembaca)

Tindakan menghina agama Islam di media sosial semakin menjadi-jadi. Terbaru, seorang pemuda Cina, Alvin Chow menghina Rasulullah SAW secara keterlaluan dan Andrew Ng Koon Dah pula melakukan provokasi antaranya menggesa agar dimansuhkan Jabatan Agama Islam. Dia juga dengan biadap mempersoalkan mengapa perlunya solat Jumaat.

Lalu timbul pertanyaan kenapa perbuatan menghina agama Islam termasuk Nabi Muhamad SAW berleluasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan?

Ternyata kerajaan Pakatan Harapan dilihat lesu dan kurang komited dalam membendung dan mengatasi gejala tersebut. Ini antara lain kerana pemimpin utama seperti Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terlalu menjaga hati sekutunya daripada kalangan bukan Islam terutama DAP.

Selain itu kerajaan sudah diresapi aliran liberalisme sebagaimana terpancar pada Menteri Agama, Mujahid Yusof Rawa, Mohamad Sabu, Maszlee Malik dan Khalid Samad. Kemarahan umat Islam ke atas mereka tidak boleh diambil mudah.

Peguam Negara, Tommy Thomas gagal bertindak tegas dengan segera mendakwa mereka yang menghina Islam. Ia memberikan isyarat yang salah seolah-olah menghina Islam bukan kesalahan yang serius. Isu anggota Bomba, Muhammad Adib yang mati diserang perusuh ekstremis Hindu sampailah kepada isu penghinaan Islam, Peguam Negara disifatkan berat sebelah, pilih kasih dan rasis.

Tiada harapan buat umat Islam boleh disandarkan kepada Tommy Thomas yang pernah menjadi peguam kepada pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng selain peguam kepada Lim Guan Eng ketika beliau menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Tommy Thomas juga diketahui menyokong kuat DAP sebelum dilantik sebagai Peguam Negara.

Para pemimpin DAP yang mempunyai ramai penyokong kalangan bukan Islam tidak pernah mengeluarkan kenyataan lantang mengutuk keras perbuatan menghina agama Islam. DAP yang kononnya mendakwa parti pelbagai agama dan kaum sebaliknya bersikap bias dan tidak adil terhadap Islam. Malah ada beberapa kenyataan dan tindak tanduk menunjukkan parti itu seperti membela mereka yang menghina Islam.

Sudah sampai masanya pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng menyatakan pendirian mereka dalam isu ini. Apatah lagi beberapa individu yang menghina Islam dan Rasulullah adalah ahli dan penyokong tegar DAP. Lim dan anaknya Guan Eng harus tampil mengendurkan ketegangan sekarang dengan langkah sewajarnya. Ini juga bagi mengelakkan DAP daripada dianggap bersubahat dan mempunyai niat serong. DAP tidak boleh melenting jika hal ini dibangkitkan kerana itulah persepsi ramai.

Tentera siber anti-Islam seperti Red Bean Army (RBA) turut memburukkan keadaan dengan komen-komen awal dan komen balas yang negatif, provokatif dan mencela Islam dalam media sosial. Pasukan RBA ini yang ditaja oleh parti cauvinis Cina tertentu dan ramai tauke besar memang mahu melemahkan Islam dan Melayu.

Selagi polis dan SKMM gagal menjejak dan melumpuhkan RBA ini selagi itulah perbuatan menghina Islam dan juga Raja- Raja Melayu akan terus berleluasa. Tentera siber ini banyak menggunakan akaun FB palsu termasuk atas nama orang Islam dan Melayu serta menggunakan Bahasa Kebangsaan.

Pertubuhan dan persatuan agama bukan Islam meliputi Kristian, Hindu dan Buddha juga harus tampil bersama mengeluarkan kenyataan keras menolak perbuatan menghina Islam. Semua agama melalui para penganut mesti mempunyai persefahaman bersama menentang perbuatan menghina agama. Begitu juga badan-badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh akademik dan tokoh masyarakat selain pemimpin politik perlu ke hadapan dalam pendirian mereka mengutuk gejala menghina agama.

Media perlu melaporkan sebagai bahan berita utama mana-mana individu yang menghina agama. Malangnya media arus perdana yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan apatah lagi media bahasa ibunda tertentu sekadar melepaskan batuk di tangga atau acuh tidak acuh dalam laporan mereka. Media berkenaan terikut-ikut rentak pemikiran kerajaan Pakatan Harapan, yang kononnya tidak mahu membesar-besarkan gejala menghina agama atas kepentingan politik.

Sudah sampai masanya individu yang menghina agama Islam, dilabelkan pengganas yang jauh lebih bahaya daripada militan atau pengganas bersenjata.

Ini kerana penghina agama membawa mudarat lebih besar kepada keharmonian masyarakat dan mencetuskan ancaman besar kepada negara seperti pergaduhan antara agama.

Memandangkan golongan kaduk naik junjung ini bertambah ramai dan sentiasa cuba menangguk di air keruh maka pesalah menghina agama dan Raja Melayu wajar dikenakan hukuman lebih keras. Ini termasuk melucutkan hak warganegara dan hukuman penjara lebih lama.

Oleh Farith Zulkifli

5 Mac 2019

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts