ALASAN MUJAHID PEMBERIAN SUBSIDI BUKAN KEWAJIPAN TABUNG HAJI DAN KINI MENJADI BEBAN?

510
SHARES
2.7k
VIEWS
Di sebalik kontroversi kerajaan menarik balik subsidi terhadap bakal jemaah Haji yang menjadi pengiring dan mereka yang merayu untuk dipercepatkan giliran menunaikan haji, kini Menteri Agama, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa berkata subsidi tersebut selama ini bukan wajib atas Tabung Haji untuk melaksanakannya, seperti yang dipetik oleh portal The Malaysian Insight.
Sebaliknya menurut Mujahid, usaha agensi itu adalah bagi meringankan beban pencarumnya menampung kos menunaikan rukun Islam kelima itu.
Menurut beliau lagi, tanggungan subsidi itu tidak jadi masalah ketika perniagaan Tabung Haji berkembang dan kedudukan ekonomi dalam keadaan baik seperti sebelum ini.
Jika begitu yang Mujahid maksudkan seperti yang dipetik oleh portal berita tersebut, secara tidak langsung Mujahid mengakui kegagalan Pakatan Harapan ketika ini, setelah hampir 10 bulan mengambil alih kerajaan.
Ia juga memberi maksud jika mengikut logik Mujahid, di bawah pemerintahan Barisan Nasional sebelum ini, perniagaan Tabung Haji dan ekonomi berada dalam keadaan yang baik sehingga subsidi tersebut mampu ditawarkan.
Namun apabila Pakatan Harapan memerintah, keadaan berlaku sebaliknya iaitu perniagaan Tabung Haji tidak berkembang dan merosot, seiring dengan kejatuhan ekonomi negara kerana kegagalan Pakatan Harapan memerintah, maka subsidi tersebut terpaksa dibatalkan.
Mujahid juga berkata dengan pemberian atau tanggungan subsidi itu kini menjadi beban ketika kedudukan kewangan bermasalah dan kerana itu Tabung Haji sedang menimbang dasar subsidinya untuk jemaah yang merayu untuk dipercepatkan giliran menunaikan haji, yang turut dipetik oleh beberapa portal lain.
“Bila masa senang bolehlah (beri subsidi), sekarang masa susah. Bukan benda itu (subsidi) wajib.”
“Wajib (menunaikan haji) dekat kamu (jemaah) bila ada kemampuan.”
Kerajaan Barisan Nasional yang kerap dituduh  mengamalkan kleptokrasi dan rasuah sebelum ini tidak pernah sekalipun mengungkit pemberian subsidi sebagai beban dan berusaha untuk menawarkannya sebaik mungkin.
Serta tidak beralasan seperti Mujahid, Menteri Agama yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik buat umat Islam di Malaysia.
Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya mengekalkan perkara yang membantu dan bermanfaat untuk rakyat dan bukan mengungkitnya sebagai beban atau berhelah mengatakannya sebagai bukan kewajipan atau tanggungjawab mereka, seiring dengan laungan mereka sebelum ini yang ingin mengutamakan rakyat.
Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts