PEGUAM NEGARA SENYAP, SEOLAH-OLAH MAHU MEWUJUDKAN KRISIS PERLEMBAGAAN?

437
SHARES
2.6k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

2 Februari 2019

1. Saya pernah menulis artikel dengan tajuk “Malaysia ini masih ada Peguam Negarakah?” Saya bertanya di manakah kelibat Peguam Negara dalam kes-kes berprofil tinggi yang menagih kepakaran Tommy Thomas selaku Peguam Negara. Beliau dikatakan sangat layak dan mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

2. Tommy muncul beberapa bulan lepas semasa pendakwaan pusingan pertama terhadap Datuk Seri Najib. Ketika itu Tommy baru sahaja dilantik ke jawatan tersebut. Namun apabila mahu membaca kenyataan tentang kes tersebut di sidang media, Tommy menerima ‘pukulan’ kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

3. Beliau tergamam lalu membatalkan sidang media tersebut lalu berjanji akan memperbaiki bahasa kebangsaan beliau. Insiden ini telah berlalu lebih dari enam bulan. Sebaik mana bahasa kebangsaan Tommy sekarang agaknya?

4. Baru-baru ini kelibat Tommy dilihat dalam klip video menari dengan lagu bahasa Inggeris. Jika lagu itu dalam bahasa kebangsaan, kita dapat membuat kesimpulan taraf bahasa kebangsaan Tommy mungkin bertambah baik berdasarkan kesungguhan beliau menghayati senikata dan menari pada malam tersebut.

5. Hingga kini, Tommy jarang kelihatan di mahkamah walaupun melibatkan kes-kes yang berprofil tinggi dan menagih kepakaran Tommy. Kebanyakan kes-kes berprofil tinggi akan di’swasta’kan kepada peguam-peguam persendirian, tidak diberi tanggungjawab mendakwa kepada kakitangan Jabatan Peguam Negara.

6. Tommy juga tidak lagi mengendalikan sidang media secara terbuka. Beliau lebih selesa mengeluarkan kenyataan rasmi yang bersifat satu hala dan mendiamkan diri selepas itu. Ini terjadi dalam isu penubuhan tribunal menyiasat salah laku Timbalan Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya sebelum ini.

7. Hakim mempersoalkan kredibiliti Jabatan Peguam Negara kerana gagal memberi fakta bahawa mereka semua telah meletak jawatan. Peguam yang dilantik mewakili Tommy berhujah cadangan penubuhan tribunal ini bersifat akademik. Tommy mengeluarkan kenyataan memecat peguam yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

8. Selepas itu Tommy pun senyap dan seolah-olah membiarkan penubuhan tribunal ini menjadi polemik besar. Sebagai ketua, Tommy wajar menjelaskan secara rasmi fakta-fakta mengapa Jabatan Peguam Negara mempertahankan penubuhan tribunal ini. Bukan membiarkan para peguam persendirian yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mewakili Peguam Negara.

Jika Tommy enggan mengulas lanjut tentang insiden beliau menari bersungguh-sungguh pada malam kejadian, kita faham. Mungkin beliau malu dan kesipuan kerana telah mendedahkan kepakaran beliau kepada kawan dan lawan.

Tetapi kes tribunal ini jika tidak diuruskan dengan betul, ia bakal mewujudkan krisis perlembagaan kerana ia bersabit kuasa langsung pihak bertanggungjawab mengurus pilihan raya di Malaysia.

Maka itu, bersuaralah Tommy… (jika dalam bahasa kebangsaan, ianya lebih baik)…..

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts