PENYELESAIAN POLEMIK PERLEMBAGAAN DENGAN MENUBUHKAN MAHKAMAH PERLEMBAGAAN

365
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

28 Januari 2019

Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangan Perkasa Malaysia

1. Satu artikel yang ditulis berkenaan mewujudkan Mahkamah Perlembagaan yang disebut Tengku Razaleigh dalam bual bicaranya di Royal Perak Golf Club adalah satu idea yang sangat dinamik dan menarik minat PERKASA untuk menyatakan pandangan.

Cadangan itu sangat jelas tujuannya bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang kini kerap dipolemikkan. Penubuhan mahkamah ini tidak perlu diasingkan dan ianya mesti ditubuhkan di bawah sistem kehakiman sedia ada cuma dikhususkan untuk membincangkan hak dan undang-undang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

2. Dalam negara yang mengamalkan Perlembagaan bertulis mahkamah adalah badan bebas berperanan besar untuk menjaga dan memelihara Perlembagaan. Mahkamah juga bertanggungjawab mentafsir Perlembagaan. Dalam melaksanakan peranan memelihara dan menjaga Perlembagaan tersebut, terutamanya mentafsir Perlembagaan, mahkamah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kesemua prinsip Perlembagaan ‘dihidupkan’ dengan ‘diberikan nyawa’ dengan sebaik mungkin.

3. Ketika ini banyak perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan dibincang secara terbuka di saluran media sosial terutama laungan reformasi yang jelas mahu merobah dan meminda banyak perkara yang menyentuh asas Perlembagaan Negara. Kebanyakan yang dibincang oleh golongan muda hari ini lebih kepada pandangan tanpa fakta dan kefahaman yang baik. Seterusnya mereka dengan lantang mempersoal dan mempertikai perkara-perkara yang seharusnya tidak boleh dipertikai dan bertegas mahu kerajaan meminda perkara-perkara tersebut seperti kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Hal ini akan memberi impak negatif dalam pembangunan negara masa hadapan jika anak muda kini berterusan tidak memahami teras persetujuan Perlembagaan Persekutuan ditandatangani.

4. Sudah banyak isu-isu bersangkutan dengan pencabulan kepada Perlembagaan Persekutuan. Hak sama rata beragama dan menafikan agama Islam sebagai agama persekutuan, pemberian dana kerajaan kepada kolej swasta (Kolej Universiti New Era), pengabaian dan peminggiran penggunaan Bahasa Kebangsaan secara perlahan-lahan dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu seperti biasiswa pendidikan, jawatan dalam kerajaan dan bantuan ekonomi yang memberi ruang kepada orang Melayu untuk menempatkan diri dalam bidang perusahaan.

5. Tambahan lagi, penubuhan Mahkamah Perlembagaan ini dapat membantu dalam mengekalkan keharmonian negara di samping meningkatkan kefahaman dan sensitiviti di antara rakyat Malaysia dalam menghormati perkara berteraskan kontrak sosial yang termaktub sejak dahulu lagi. Segala perihal yang menyentuh sensitiviti Perlembagaan Persekutuan harus didakwa sekiranya ia menimbulkan ketegangan antara warganegaranya. Misalnya mantera yang digunakan oleh DAP iaitu prinsip ‘Malaysian Malaysia’ jelas melanggar undang-undang berikutan menyentuh beberapa perkara keistimewaan kepada Bumiputera dan Islam yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hasrat itu dilihat lebih bermotifkan kepentingan politik dengan alasan kononnya menolak dasar serta amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum atau agama.

6. Justeru, PERKASA menyokong penuh cadangan ini supaya kerajaan meminda Perlembagaan bagi menubuhkan Mahkamah Perlembagaan demi mengekalkan kestabilan dan keamanan negara daripada polemik berkenaan. Dengan Mahkamah Perlembagaan ini juga dapat memelihara dan memastikan kerukunan hidup bersama pelbagai kaum dapat dinikmati.

Sekian.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/01/524492/kerajaan-perlu-wujudkan-mahkamah-perlembagaan-ku-li

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts