UCAPAN SEMBAH TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA PERKASA

211
SHARES
514
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PERKASA MALAYSIA

Oleh : Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangan PERKASA Malaysia

24 Januari 2019

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa biHi Nastai’n.

Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad, wa A’la A-li Saidina Muhammad.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Didahulukan segalanya, seraya mengangkat puji-pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah memberi izin dan limpahan kurnia-Nya kepada seluruh rakyat Malaysia sehingga Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memilih Yang di-Pertuan Agong yang ke-16 telah berjalan dengan lancar dan memperoleh keputusan yang bijaksana.

Ampun Tuanku,

Presiden bersama Kepimpinan Peringkat Pusat dan Negeri serta warga Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) seluruh negara mengambil kesempatan ini untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas pelantikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Betapa rakyat jelata berasa gembira dan sukacita, dengan perlantikan Tuanku selaku Yang di-Pertuan Agong, yang muda serta penuh bertenaga.

Selaku Pertubuhan Pribumi yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, PERKASA merasa bangga dan bertuah di atas pelantikan Tuanku.

Sesungguhnya, Institusi Yang di-Pertuan Agong ini adalah unik, kerana ia bukanlah amalan di negara-negara beraja lain di dunia. Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan melainkan penggiliran dari kalangan 9 Raja-Raja Melayu yang dipilih setiap 5 tahun sekali.

Daeng berlima dari Makassar,
Di Tanah Melayu membuka negeri,
Menjadi Raja membangun bangsa,
Gagah pertiwi menjadi besar,
Kasihnya rakyat tiada terperi,
Daulatlah Raja sepanjang masa.

Tuanku juga merupakan seorang Raja yang diibaratkan pepatah Melayu, telah jauh berjalan dan luas pengalaman serta telah menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari institusi pendidikan dalam mahupun luar negara dalam memperlengkapkan diri menjadi seorang Raja.

In sya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah SWT kepada Tuanku, rakyat Malaysia akan terus bersatu, makmur, maju dan aman damai dengan agama Islam selaku agama Persekutuan mengambil tempat yang selayaknya.

Ahli Dewan Tertinggi PERKASA dan sekalian ahlinya ingin menyembah taat setia Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan memperbaharui ikrar mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan.

Selagi ada bulan dan matahari, begitulah kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara kekal abadi.

Institusi Raja Melayu bagaikan sauh, agar bahtera bangsa tidak dihanyutkan oleh taufan dan badai.

Sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia juga amat tertib menurut lunas-lunas yang ditetapkan, di atas roh juga semangat bahawa Raja dan rakyat berpisah tiada.

Atas sebab itu, PERKASA akan seiringan dan bersama mempertahan serta memelihara kemuliaan Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah pimpinan Tuanku.

Petik pauh di tepi sawah,
Buah terlerai di hujung tangga;
Sanggup kami bermandikan darah,
Demi kedaulatan Islam dan Negara.

Turut gembira dan bersyukur atas pelantikan Tuanku Sultan selaku Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baru.

Perkenan kekanda Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Perak selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

PERKASA penuh yakin, Ke Bawah Duli Tuanku mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negara ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik, berjiwa agama dan berdedikasi.

PERKASA juga merakamkan junjungan kasih yang tidak terhingga Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ke-15, Tuanku Sultan Muhammad V atas khidmat baginda yang cemerlang.

Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan ‘afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan. Seterusnya memberikan ganjaran atas khidmat baginda dengan ganjaran yang berlipat ganda.

Asam paya buah di hutan,
Ambil pelepah dibuat lidi;
Tuanku berbakti kepada watan,
Jasa dikenang hingga abadi.

Akhirul kalam, PERKASA memohon ke hadrat Allah S.W.T semoga Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Agong dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negara Malaysia yang tercinta ini dengan segala kemuliaan.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend