ANAK BOSS SSM TAMPIL DI SPRM

416
SHARES
2.4k
VIEWS

Anak kepada seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tampil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini ekoran kes siasatan skandal SSM.

Difahamkan, lelaki berusia 20-an itu menyerahkan dokumen berkaitan kes tersebut, yang terbongkar baru-baru ini.

Menurut sumber, lelaki berkenaan dipercayai dapat membantu siasatan dalam skandal projek bernilai RM500 juta melibatkan SSM.

Perkembangan tersebut merupakan episod baharu dalam siasatan SPRM ke atas SSM yang kini menjadi perhatian umum untuk mengetahui kesudahannya nanti. Sumber-sumber tidak menolak kemungkinan akan berlaku tangkapan selain pendakwaan sekiranya terdapat bukti mencukupi.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai melibatkan dakwaan skandal tersebut di Ibu pejabat SSM, Menara SSM, Jalan Stesen Sentral 5, Kuala Lumpur.

Difahamkan, kesemua dokumen tersebut dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus. Ia dikatakan mengakibatkan kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

Selain di ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu tiga lagi syarikat di ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.

Menurut sumber, dokumen yang dirampas melibatkan perjanjian sejak 2009 hingga tahun lalu, seperti yang dilaporkan oleh media.

Editor Malaysia sebelum ini turut melaporkan ucapan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada November tahun lepas yang mendedahkan isu tersebut.

Beliau menggesa pihak kerajaan terutamanya SPRM menyiasat SSM kerana telah memberi satu projek secara rundingan terus ataupun ‘direct nego‘ kepada sebuah syarikat.

Projek tersebut adalah bagi membangunkan satu Sistem Laporan Perniagaan Malaysia ataupun Malaysian Business Reporting System (MBRS) yang bernilai RM16.5 juta.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts