SENARAI KEBOCORAN MELAMPAU DI MEIO, SHUBLEE WAJAR BERTANGGUNGJAWAB

940
SHARES
5.5k
VIEWS

(Disiarkan pada 8 Februari 2019)

Telah tersebar beberapa minggu lepas, melalui Facebook Ramesh Rao Krisnan Naidu pada 16 Januari mengenai rancangan menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan ‘bersara wajib’ pada Mei 2020 (penggunaan ‘bersara wajib’ digunakan kerana ini janji bersama dalam Pakatan Harapan Presidential Council).

Apa yang memualkan, plot atau rancangan menjatuhkan Anwar ini didalangi oleh agensi perisikan rahsia kerajaan yang kini tidak rahsia lagi iaitu Jabatan Penyelidikan ataupun Malaysian External Intelligence Organisation (MEIO).

Rahsia apanya jika pelantikan Ketua Pengarah barunya, Datuk Ahmad Shublee Othman disiarkan di Malaysiakini dan media lainnya. Malaysiakini tahu maka satu duniapun tahu.

MEIO sendiripun sepatutnya diberi nama lain dan dijenamakan kembali kerana sejak Pakatan Harapan mengambil alih, MEIO ini kerap bocor dan memalukan di bawah Ketua Pengarahnya, Shublee.

Belum pernah terjadi ‘serious breach‘ sejak ditubuhkan pada tahun 60-an bahkan Tun Mahathir sendiri nafikan kewujudannya dan berkata;

“MEIO tiada sewaktu 22 tahun pemerintahannya sebagai Perdana Menteri ke-4.”

Ahmad Shublee sepatutnya letak sahaja jawatan dari menanggung malu berterusan kerana beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku sejak beliau mengambil alih.

Jika jabatan sendiripun tidak mampu dijaga, bagaimana beliau mampu menjaga keselamatan negara?

Kerajaan pula seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum melantik Ketua Pengarah MEIO kerana sebaik sahaja beliau dilantik, perkara pertama yang berlaku ialah surat CIA dibocorkan.

Jika hendak maklum kepada Perdana Menteri sekalipun mengenai surat tersebut, wajar dilakukan secara rahsia serta sulit dan bukan secara ‘Surat Cordova’ yang meluas di media, yang hanya mengundang jenaka awam.

Berilah alasan apapun, jelas ini ‘kerja orang dalam’ kerana akses kepada surat tersebut tentulah Ketua Pengarah dan pegawai-pegawai kepercayaannya.

Jika beliau hendak membalas dendam sekalipun, kepentingan negara sepatutnya diutamakan dan kualiti ini tiada pada Shublee dan pegawai-pegawainya ketika ini.

Kebocorannya memberi persepsi bahawa walau rahsia besar kerajaan di jabatan paling rahsia sekalipun boleh bocor begitu sahaja.

Namun implikasi lebih besar ialah agensi perisikan negara lain akan memandang rendah keupayaan negara dan tidak mahu bekerjasama kerana gagal dalam menjaga rahsia negaranya sendiri.

Mereka akan ragu-ragu membuat hubungan dengan MEIO dalam menjaga kerahsiaan antara negara kerana jelas ia dibocorkan oleh orang dalam yang masih tidak disiasat sehingga sekarang.

Apa jaminan rahsia risikan antara negara tidak akan dibocorkan kelak?

Kita teliti kronologi kebocoran maklumat yang serius di MEIO yang diterajui oleh Ahmad Shublee dan dibantu oleh juak-juak kepercayaannya.

Kebocoran Satu – Tersebarnya ‘Surat CIA’ oleh orang dalam MEIO sendiri

Perkara ini tidak perlu diulas panjang lebar lagi kerana semua telah sedia maklum apa yang berlaku. Cuma persoalannya kenapa dalang kebocoran tidak disiasat kerana tidak wajar surat rahsia oleh organisasi rahsia kepada agensi rahsia negara lain yang dihantar juga secara rahsia boleh bocor ke tangan media.

Ini akan ‘jeopardize‘ hubungan agensi Malaysia dan lain-lain negara di mana mereka akan ragu-ragu bagaimana surat sulit antara negarapun boleh tersebar.

Kebocoran Dua – MEIO melatih parti Bersatu di ‘safe house‘ Bellamy

Program latihan oleh MEIO kepada ahli Bersatu. Tidak dapat dipastikan latihan mengenai apa, mungkin cara-cara menyimpan rahsia agar tidak bocor.

Namun program latihan bersepadu oleh parti PPBM dan MEIO ini bocor juga akhirnya.

Forte‘ terkini MEIO yang wajar dibanggakan oleh mereka ketika ini ialah ‘apa-apa sahaja akan bocor’.

Didedahkan dan diviralkan oleh beberapa Facebook yang kemudiannya tular melalui Whatsapp.

Nama penulisnya Umar Mukhtar.

Beliau turut menyertakan senarai nama mereka terlibat dalam ‘latihan bersama’ tersebut.

Kebocoran Tiga – Aduan kepada KSN mengenai Ketua Pengarah MEIO berlagak dan ugutan menggunakan pistol

Pendedahan oleh pegawai-pegawai MEIO sendiri yang membuat aduan kepada Ketua Setiausaha Negara pada 1 Januari mengenai salah laku Ahmad Shublee selaku Ketua Pengarah MEIO yang membawa pistol ketika mesyuarat dan meletakkan pistol atas meja seolah-olah mengancam.

Walau apapun niatnya, mungkin hanya ingin menayangkan jenama pistol yang digunakan, namun ia mengundang keresahan pegawai-pegawai dan mereka terasa diancam.

Menurut aduan itu lagi, walaupun peraturan MEIO sendiri jelas menghalang pistol dalam pejabat selepas berlaku insiden tertembak yang menyebabkan kematian sebelum ini, ia juga menyalahi akta penggunaan senjata api, mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api.

Kebocoran Empat – Pendedahan MEIO digunakan untuk menggagalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8

Laman Facebook Ramesh Rao Krisnan Naidu membuat pendedahan mengenai komplot menggagalkan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tun Mahathir dengan menggunakan satu watak budak lelaki muda.

Skrip lama tahun 1998 yang dikitar semula kononnya Anwar Ibrahim mempunyai skandal seks di luar tabii.

Ironinya pertuduhan liwat beliau diakhiri dengan pemenjaraan selama enam tahun pada 1999 atas  empat tuduhan rasuah kerana menyalah gunakan kuasa.

Jika benar tuduhan ini maka kerajaan kini masih menggunakan kaedah yang sama, di bawah Perdana Menteri yang sama iaitu Tun Mahathir, yang berbeza cuma kerajaannya adalah Pakatan Harapan.

Carian menunjukkan Ramesh Rao membuat siaran yang berkaitan komplot ini bertarikh seawal 15 Januari dan beliau membuat tiga siaran semuanya.

 

Juga pendedahan di portal anotherbrickinwall yang bertajuk “Time for Anwar to make his move” membuat pendedahan mengenai perkara yang sama dilaporkan oleh Ramesh Rao yang disiarkan pada 16 September.

Carian menunjukkan portal ini mengambil ayat daripada siaran Ramesh Rao yang bertarikh 16 Januari,  disiarkan pada jam 1.22 pagi.

Kebocoran Lima – Agensi Perisikan Dalang Menjatuhkan DSAI

Tersebar artikel dengan tajuk yang sama di atas di Facebook, antara yang dapat dilihat diviralkan bermula seawal 15 Januari.

Antara laman Facebook yang menyiarkan pendedahan yang sama, serta terdapat imej screenshot dari Whatsapp menggunakan nama Datuk Johari Abdul, bertarikh 17 Januari, diambil dari Twitter, #mahazalimreturn, namun telah dinafikan oleh Johari keesokan harinya di Twitter yang sama, bahawa beliau adalah penulisnya.

Selain itu khabarnya MEIO kini semakin huru-hara, pegawai sendiri tidak berpuas hati dengan sikap angkuh Shublee yang suka menayang pistolnya, selain melantik pegawai-pegawai kepercayaannya yang tidak tahu membuat kerja.

Maka jangan pelik jika selepas ini akan berlaku lagi kebocoran melampau yang lain jika Shublee masih menerajui MEIO.

Tun Mahathir wajar menggantikan beliau secepat mungkin dengan Ketua Pengarah lain kerana segala  kebocoran melampau yang berlaku ini tidak boleh dikompromi dan boleh menyebabkan keselamatan negara tergugat.

Carian terkini mengenai Shublee di laman web Jabatan Perdana Menteri menunjukkan nama dan alamat emel beliau tidak lagi boleh dijumpai.

Tidak dapat dipastikan kenapa carian tidak lagi menunjukkan maklumat asas mengenai beliau, mungkin terlalu banyak kebocoran berlaku sehinggakan namanya dipadamkan ataupun disembunyikan atas maksud tertentu.

Jadikanlah insiden ini sebagai iktibar dengan melantik mereka yang betul-betul mahir dengan keselamatan negara dan bukan hanya tangkap muat seperti ini.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts