ATLET ISRAEL: JANGAN U-TURN LAGI. APA PULA PENDIRIAN ANWAR DAN DAP?

390
SHARES
2.3k
VIEWS

Oleh Anuar Shaari

19 Januari 2019

1. Kerajaan Malaysia pimpinan Tun Mahathir bertegas enggan membenarkan atlet Israel masuk ke Malaysia bagi menyertai kejohanan renang paralimpik pada bulan Julai nanti di Kuching, Sarawak. Tahniah diucapkan kepada kerajaan Malaysia. Kita amat berharap jangan ada ‘u-turn’ tentang keputusan ini kerana sehingga 14 Januari 2019, memang tiada atlet renang Israel yang layak menyertai kejohanan tersebut mengikut piawaian kejohanan.

2. Kita perlu berasa sangsi kerana telah banyak kali pemimpin kerajaan PH ini membuat pusingan ‘U’ dalam keputusan-keputusan mereka. Tambahan pula telah ada petunjuk bahawa atlet Israel dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menyertai kejohanan sukan antarabangsa sebelum ini di bawah pemerintahan Perdana Menteri ke-4.

3. Pada bulan April 1997, pasukan kriket Israel dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menyertai kejohanan Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) di Kuala Lumpur. Kali kedua, pasukan ping-pong Israel dibenarkan masuk ke Malaysia bagi menyertai kejohanan ping-pong Dunia berpasukan pada 19-26 Febuari 2001 di Bukit Jalil KL.

4. Tanggal 4/4/97, kemuncak perhimpunan aman telah dibuat oleh Dewan Pemuda PAS di Masjid Ar Rahman berhadapan pintu masuk Universiti Malaya menyaksikan beberapa pimpinan Pemuda PAS ketika itu telah ditangkap setelah FRU menyuraikan perhimpunan tersebut dengan gas pemedih mata. PM ke-4 ketika itu juga adalah Menteri Dalam Negeri yang menjaga hal ehwal polis.

5. Bantahan terhadap kemasukan pasukan ping-pong Israel pula digerakkan oleh mahasiswa pada 19/4/2001. Ketika ini negara masih dipimpin oleh PM ke-4 lagi. Walaupun tiada tangkapan oleh pihak polis semasa perhimpunan aman tersebut, mahasiswa telah bertindak berani dengan membakar replika patung pemimpin Israel.

6. Kerana itulah kita amat berharap tiada pusingan ‘U’ dari Perdana Menteri ke-7 sepertimana yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri ke-4. 1997 juga menyaksikan ramai menteri mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan PM ke-4 itu termasuklah DS Anwar yang menghentam PAS yang disifatkan berundur ke belakang kerana berhimpun membantah kemasukan atlet Israel.

7. Apakah Anwar menyokong keputusan Tun Mahathir tidak membenarkan atlet Israel masuk ke Malaysia kali ini? Apakah Anwar masih berpegang kepada kenyataannya yang mempertahankan keselamatan negara Israel pada 2012 semasa temubual dengan The Wall Street Journal? Anwar menyatakan “I support all efforts to protect  the security of the state of Israel“. Anwar juga menyokong “penyelesaian dua negara (two state solution)” yang bakal mendaulatkan negara haram Israel di bumi Palestin.

8. Masih terpakaikah segala kenyataan oleh Anwar seperti yang dibidas ketika itu oleh anak Perdana Menteri sekarang? Rujuk https://www.thestar.com.my/news/nation/2102/02/22/anwar-recognises-israel-as-a-state-says-mukhriz/ .

9. Bagaimana pula pendirian DAP dalam isu ini? Chong Zhemin, Ketua Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak pada tahun 2015 telah menyelar Menteri Belia dan Sukan ketika itu kerana menyekat atlet luncur angin Israel daripada masuk ke Malaysia dan menyertai kejohanan tersebut di Langkawi. Pendirian ahli DAP ini ketika itu ialah “sukan sepatutnya melampaui sempadan politik dan perlu berkecuali daripada politik”.

10. Masih terpakaikah pendapat dari pemimpin DAP ini walaupun kenyataanya telah ditarik balik kerana mendapat kecaman luas dari rakyat Malaysia. Malahan Mufti Perlis Dr. MAZA menyifatkan penarikan balik a.k.a ‘u-turn’ tersebut tidak ikhlas dan hanya dibuat kerana mahu meredakan kemarahan umat islam. Ini kerana walaupun pemimpin lain dalam DAP menjarakkan diri dari Chong,  tetapi ia dilihat mencerminkan pendirian DAP.

11. Sebagai rakyat Malaysia, kita berhak merasa curiga. Lihat sahaja pendirian kerajaan mengenai ICERD. Huru-hara dan akhirnya tiada jaminan ICERD tidak akan dilaksanakan.

Marilah kita sama-sama berdoa agar tiada pusingan ‘U’ dalam soal ini dan kita tetap membela nasib Palestin dengan kapasiti kita dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts