HIMPUNAN 812: SYABAS JABATAN AMAL MALAYSIA!

2.1k
SHARES
3.1k
VIEWS

Himpunan 812 semalam berjalan dengan lancar di mana seluruh NGO dan parti yang terlibat buat pertama kali dalam sejarah negara mampu bekerjasama dan bergandingan atas maksud yang sama iaitu demi AGAMA, BANGSA dan NEGARA.

Himpunan yang dianjurkan oleh NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) turut dihadiri oleh pelbagai NGO lain serta pimpinan PAS dan UMNO, namun semua yang hadir tersebut bukan kerana politik.

Kehadiran mereka disatukan atas maksud mempertahan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Ini yang membuatkan himpunan semalam dilihat jauh lebih ‘cool‘ berbanding BERSIH dan REFORMASI yang berpaksikan politik.

Perbezaan antara Himpunan 812 dan BERSIH serta REFORMASI ialah;

  • HIMPUNAN 812 lahir dari sifat ingin MEMPERTAHAN hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan – jika dipertahan maka hak semua rakyat akan terpelihara
  • REFORMASI lahir dari sifat ingin MEMPERTAHAN individu yang dipecat, atas dasar ketidakadilan terhadap beliau – jika dipertahan maka beliau kembali aktif di persada politik negara, malah bakal menjadi Perdana Menteri
  • Himpunan BERSIH lahir dari KEKECEWAAN pembangkang yang merasakan pilihanraya tidak adil sepanjang masa – jika dipertahan maka suatu hari kelak parti yang disukai akan memenangi pilihanraya

Himpunan 812 semalam adalah kejayaan semua yang terlibat, baik parti politik mahupun NGO-NGO yang turut bersama termasuklah peserta himpunan yang hadir dari seluruh pelusuk negara.

Selain kehadiran yang melebihi jangkaan 500,000 peserta, malah ada yang berkata melebihi 1 juta yang dikira mengikut bilangan “peserta:kaki persegi”, lebih kurang 99.5 peratus peserta yang hadir adalah kaum Melayu Bumiputera, yang mempertahan Perlembagaan Persekutuan demi menjaga hak semua rakyat di negara ini.

Himpunan semalam wajar dipuji atas kelancaran ia diuruskan sehinggalah kebersihanpun dijaga sebaik mungkin.

Namun di sebalik kejayaan tersebut, siapa individu dan kumpulan di belakangnya yang membantu kejayaan tersebut sehingga dipuji ramai dalam dan luar negara?

Siapa yang paling awal hadir dan paling akhir pulang daripada peserta dengan mengamalkan prinsip “First man in, last man out?”

Justeru Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS wajar diberikan pujian.

Ketika semua peserta bersurai sekitar jam 5 petang, kumpulan ini masih berdiri tegak mengawasi dan memberikan arahan kepada peserta-peserta untuk pulang dengan lancar ke destinasi masing-masing. Sehinggalah Dataran Merdeka sebagai tapak Himpunan  812 lapang daripada peserta, mereka dibariskan untuk mendengar ucapan dari pimpinan masing-masing.

Pentas yang sebelum ini dikhaskan buat pimpinan PAS dan UMNO serta NGO-NGO yang terlibat memberikan kata-kata ucapan, kini dibarisi pula oleh pimpinan JAM untuk menyampaikan amanat kepada anak buah mereka.

JAM segak dengan seragam maroon, berdisiplin namun sentiasa tersenyum

Begitu tertib, berdisiplin dan segak dengan seragam maroon masing-masing. Muslimat JAM juga berbaris di sebelah kanan hadapan pentas untuk menerima amanat sebelum bersurai.

Tugasan utama mereka adalah untuk memastikan kelancaran setiap program yang menggunakan khidmat profesional mereka. Patuh seperti tentera namun mesra berkhidmat dengan hemah dan senyuman.

Anggota JAM ditugaskan di 4 Kawalan Zon

Bagi memudahkan tugas, anggota-anggota terlatih JAM dipecahkan mengikut kawalan zon masing-masing iaitu Zon Sogo, Zon Masjid Negara, Zon Masjid Jamek dan Zon Dataran Merdeka yang dibezakan mengikut warna ‘armband’ di lengan masing-masing bagi memudahkan pengecaman antara mereka.

Sebagai contoh, Zon Masjid Jamek dikawal oleh anggota dari JAM Selangor dan Wilayah Persekutuan serta lain-lain zon pula dikawal selia oleh anggota-anggota JAM dari negeri-negeri lain. Di bawah setiap Kawalan Zon ini mengandungi platun masing-masing iaitu bagi mengawal keselamatan, trafik dan perubatan (medic).

Pasukan perubatan yang dianggotai oleh anggota yang terlatih, turut dilengkapi dengan dua biji ambulans bagi memudahkan urusan sekiranya berlaku sebarang kes kecemasan.

Platun Semboyan

Manakala unit terpenting yang dikenali sebagai Platun Semboyan pula mempunyai tugas terpenting iaitu bertanggungjawab terhadap komunikasi antara Kawalan Zon dengan menggunakan radio amatur. Setiap anggota yang mengendalikan radio ini mempunyai lesen pengendali radio amatur daripada Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).

Briged Muslimat JAM

Briged ini berperanan terutamanya bagi urusan mengendalikan keselamatan dan perubatan peserta muslimat selain mengiringi VIP muslimat yang hadir ke himpunan.

JAM membantu pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran program

JAM sebagai sebuah organisasi yang amat teratur, membantu pihak polis yang hadir mengawal keadaan serta mereka turut dibenarkan membuat tangkapan awam untuk diserahkan kepada pihak polis sekiranya wujud sebarang provokasi atau kekacauan sepanjang himpunan berlangsung.

Menurut Pengarah JAM Selangor, En. Shehdi, bagi Himpunan 812 dilangsungkan, pihak JAM telah bermesyuarat sebanyak 4 kali dengan pihak polis dan diberikan kebenaran sepenuhnya untuk mengawal himpunan.

Hasil himpunan kali ini yang dikawal selia oleh pihak JAM adalah amat baik sekali dan turut mendapat pujian ramai termasuk pihak polis.

En. Jihadi bersama En. Shehdi, Pengarah JAM Selangor (kanan)

Hasil terbaik yang diutamakan

Ini kerana menurut mereka, apa yang paling utama adalah hasil yang memuaskan bagi setiap program yang diawasi dan dikawal selia oleh anggota JAM tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas petugas dan peserta.

Sebagai rekod, tiada sebarang insiden kekacauan ataupun provokasi serta kemusnahan harta benda yang tercetus dari himpunan yang diadakan semalam melainkan terdapat beberapa peserta yang pengsan.

JAM turut membantu kebersihan

Apa yang amat mengejutkan ialah arahan terakhir yang diberikan kepada anggota JAM yang berbaris sebelum bersurai ialah agar mereka bergerak mengikut zon masing-masing bagi memastikan kebersihan Dataran Merdeka kembali seperti sedia kala.

Jabatan Amal Malaysia yang diwujudkan di bawah Dewan Pemuda PAS ini wajar menjadi contoh bagi anak muda negara ini dan juga badan-badan keselamatan lain yang seumpama.

Sekalung tahniah diucapkan buat seluruh anggota JAM dan pimpinan mereka. Syabas!

__________________

Turut membantu temu bual:

En. Mohammad B. Yatim dari JAM Shah Alam

En. Naquib dari JAM Johor

En. Daniel dari JAM Johor

En. Adam dari JAM Hulu Selangor

          

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts