20 ISU DAN PERKARA BERKAITAN RUSUHAN DI KUIL SRI MARIAMMAN

440
SHARES
1.7k
VIEWS

Beberapa isu dan perkara perlu diselesaikan atau sekurang-kurangnya menuntut penjelasan untuk dijawab oleh pihak berkaitan, dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Seafield. Selagi isu dan perkara tersebut tidak dijelaskan, masyarakat tetap akan membuat spekulasi dan terjemahannya sendiri.

Berikut adalah senarai isu dan perkara tersebut;

1. Isu kuil ‘ikut suka hati pacak’ tanpa kebenaran atas tanah milik persendirian atau kerajaan

Pihak yang ingin membuat sebarang rumah ibadat perlu melalui proses terperinci bermula dari mengenalpasti tanah (pemilik tanah disahkan oleh pejabat tanah), memohon kebenaran membina dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan dan seterusnya menunjukkan dana ataupun sumbangan untuk membuktikan sumber kewangan yang mencukupi bagi membina rumah ibadat tersebut. Pihak berwajib boleh menambah senarai ini namun yang paling utama ialah berkaitan pemilikan tanah.

Bukannya sekali isu kuil dibina atas tanah milik individu ataupun kerajaan malah terlalu kerap berlaku tanpa sebarang kawalan.

2. Isu keputusan mahkamah yang tidak dipatuhi

Kenapa ketika ini pelbagai pihak tidak merujuk kepada perintah mahkamah terhadap tapak kuil tersebut? Walaupun ada Menteri yang akan membantu untuk menangguhkan pemindahan tanah tersebut sehingga ‘semuanya diselesaikan’, bukankah semua pihak sepatutnya mematuhi perintah mahkamah?

Sebagai rekod, mahkamah hari ini menolak dengan kos permohonan menangguh pengambilalihan tapak kuil tersebut.

3. Kumpulan yang membantah pemindahan kuil telahpun setuju dan akur pada tahun 2014

Berdasarkan siasatan pihak polis, terdapat dua kumpulan penganut agama Hindu dalam kes ini yang mana satu daripadanya bersetuju untuk berpindah dan satu kumpulan lagi tidak bersetuju.

Sebagai penyelesaian kepada pertikaian yang berlaku sejak sekian lama ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014 telah merekodkan penghakiman persetujuan bahawa kuil tersebut akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang disediakan oleh pihak pemaju dan tapak asal kuil diserahkan kepada syarikat pemaju yang merupakan pemilik tanah.

Pihak kuil juga menerima pampasan sekitar RM1.5 juta untuk tujuan pemindahan dilakukan.

Namun demikian, penghakiman persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana pihak kedua membantah penghakiman tersebut walaupun telah bersetuju sebelumnya.

Sepatutnya pihak berkuasa bertegas dengan pihak yang tidak bersetuju semenjak kejadian ini bermula.

4. Isu kerajaan negeri ingin mengambil alih tanah daripada pemaju

Adakah kerajaan ingin meletakkan penanda aras baru iaitu sebarang pertikaian melibatkan kuil atau rumah ibadat lain jika dibantah atau ada pihak merusuh maka kerajaan akan membeli tanah tersebut? Kemudiannya menyerahkan kembali kepada pihak yang membantah atau merusuh tersebut?

Ini bukanlah jalan penyelesaian yang cerdik kerana perkara ini akan merumitkan perintah mahkamah yang lain.

Bagaimana dengan demonstrasi oleh penduduk-penduduk yang rumahnya dirobohkan atas perintah mahkamah? Adakah selepas ini penduduk dibenarkan untuk membantah dan merusuh sebagai jalan untuk kerajaan membeli dan memberikannya kembali kepada penduduk?

5. Jangan rai perusuh dan tuntutan mereka

Pihak berkuasa juga jangan melayan tuntutan perusuh yang menghalang kuil ini dipindahkan kerana pentadbiran kuil sendiri bersedia berpindah pada bila-bila masa mengikut perintah mahkamah.

Jika pihak kerajaan tetap melayan tuntutan mereka maka terjemahan ‘Rule of Law’ Malaysia Baru dengan mengiktiraf tuntutan perusuh ini hanya akan menyusahkan semua pihak di masa hadapan apabila wujud pula perusuh lain menuntut tanah yang bukan milik mereka.

Semua pihak tidak mengira pihak berkuasa, pemaju, pemilik kuil dan penganut agama Hindu wajib menghormati prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

6. Isu pemaju menggunakan samseng upahan

Tiada alasan ataupun cara yang bertentangan dengan undang-undang dibenarkan berlaku walaupun terhadap pemilik yang sah dan masing-masing wajar mengikut saluran perundangan dan tidak menggunakan ‘jalan belakang’ untuk menghalalkan cara mereka.

Banyak persoalan timbul di sini antaranya pemilik tanah kuil tersebut, pemilik tanah iaitu One City Development, anak syarikat kepada MCT Berhad, yang saham terbesarnya dimiliki oleh Ayata Land Inc, sebuah konglomerat dari Filipina yang sepatutnya juga mematuhi perintah mahkamah dan menyelesaikan masalah dengan undang-undang.

Namun apabila tidak berlaku seperti yang diinginkan, maka pihak One City mengupah peguam yang kemudiannya mengupah samseng, seperti yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kenyataan akhbar semalam.

7. Dua firma guaman yang mewakili One City nafi penglibatan

Firma guaman Skrine menafikan mereka terlibat dan tiada mana-mana peguam syarikat itu ditahan oleh polis dan firma berkenaan tidak tahu langsung mengenai isu mengupah samseng serta satu lagi firma guaman, Tetuan Thomas Philip, berkata syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development sejak 2015.

Tentunya perkara ini dinafikan oleh pihak One City, walaupun Muhyiddin berkata, dua peguam syarikat itu adalah antara 21 individu yang telah ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

8. One City berhak ke atas tanah tapak kuil namun cara mendapatkannya salah

Walaupun One City berhak ke atas tanah tersebut namun mereka cuba mendapatkan hak mereka yang sekian lama tertangguh itu melalui cara yang tidak betul.

Lebih memburukkan keadaan, peguam One City tersebut meminta bantuan samseng Melayu untuk ‘mengawal’ kuil penganut Hindu.

9. Isu siapa dua peguam One City dan kenapa beliau menggunakan samseng-samseng Melayu?

Pihak polis sedang menahan mereka dan kita mengharapkan dua peguam tersebut tidak mempunyai agenda untuk melaga-lagakan orang Melayu dan India dengan menggunakan sensitiviti perkauman dan keagamaan.

Walaupun masih menjadi tanda tanya namun hasilnya tetap mencetuskan ketegangan kaum selama beberapa hari yang tentunya tidak akan reda dengan mudah.

10. Isu samseng-samseng Melayu yang diupah oleh peguam One City

Mereka ini perlu dikenakan hukuman bersesuaian dengan apa yang mereka lakukan. Walaupun kenyataan pihak kuil yang mempamerkan sijil silat samseng Melayu tersebut agak mencurigakan kerana mustahil mereka ke sana untuk membuat kacau membawa sijil-sijil seperti ingin ditemuduga.

Namun setiap pesalah perlu dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira agama ataupun bangsa mereka.

11. Pertubuhan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur nafi terlibat

Dalam beberapa mesej yang ditularkan, beberapa individu dan kumpulan yang dikaitkan dengan samseng Melayu itu termasuk kumpulan ‘Kucing Merah’. Namun melalui kenyataan rasmi di Laman Facebook mereka, Pertubuhan Kebajikan Kucing Merah Kuala Lumpur (PKMKL) pada 26 November telah menafikan perkara tersebut dan pihak mereka sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

12. Isu Exco Selangor dari DAP menuduh ‘sekumpulan Islam’ yang membuat kacau

Kenapa siaran awal Ganabatirau Veraman di FB beliau terus meletakkan kesalahan ‘atas agama’? Apa agenda beliau dan DAP? Adakah ini cubaan beliau mengalihkan isu ICERD yang mendapat bantahan menyeluruh dari umat Islam di Malaysia?

Tidakkah beliau sedar, tindakan beliau ini adalah provokasi bagi sesiapa yang membacanya dan beliau patut disiasat?

Jika menggunakan logik beliau maka adakah insiden pergaduhan antara pemuda Melayu dan Cina di Low Yat suatu ketika dahulu boleh dikatakan sebagai pergaduhan antara sekumpulan Buddha dan sekumpulan Muslim?

Sebagai rekod, beliau telah membuat kenyataan maaf namun kenapa beliau tidak mahu berfikir sebelum membuat sesuatu dan juga terdapat laporan polis terhadap kenyataan beliau tersebut.

13. Isu Menteri Perpaduan menyalahkan pihak polis membuat ‘false statement

Bagaimana seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional boleh menyalahkan pihak polis sedangkan beliau sepatutnya belajar daripada pihak polis untuk mengawal keadaaan dan mengelakkan panik serta keresahan dalam masyarakat.

Jika terlalu bongkak untuk berterima kasih kepada mereka sekurang-kurangnya jangan meletakkan kesalahan atas pihak polis yang berkorban menjaga ketenteraman awam.

P. Waytha Moorthy juga wajar disiasat bahkan telah ada laporan polis dibuat ke atas beliau mengenai isu ini.

14. Siapa pencetus awal rusuhan?

Apakah penyebab kepada tercetusnya idea untuk kaum India berkumpul pada hari kedua dan merusuh sehingga mencederakan anggota bomba, penunggang motorsikal, menghalang laluan dan membakar kenderaan? Termasuk menghalang kenderaan dan pihak polis serta FRU menjalankan tugas pada hari kejadian.

15. Pengakuan Pengerusi Kuil Hindu Malaysia mengenai individu dan pihak yang bertanggungjawab

Terdapat satu video yang diviralkan di mana seorang individu bernama Manimaran Manikam, Pengerusi Kuil Hindu Malaysia mengatakan dua individu bernama ‘Kovakaran King’ dan ‘King Kong’ bertanggungjawab membuat kekacauan dan menjadi dalang dalam rusuhan tersebut termasuk siapa yang mencederakan anggota bomba yang sedang bertugas.

Beliau turut memohon semua pihak membantu beliau menularkan video tersebut untuk membantu pihak berkuasa mengesan dan menangkap dalang yang bertanggungajawab.

16. Isu kaum India merusuh sehingga merosakkan harta benda dan mencederakan

Perusuh tidak kira apa bangsa dan agamapun perlu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan, selain kerana merusuh, mereka menimbulkan keresahan awam dan boleh menjadi punca ketegangan kaum.

Sebagai rekod, pihak polis kini mewujudkan pasukan khas bagi memburu suspek kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, dalam usaha mengesan suspek mencederakan dua penjawat awam dalam insiden berkenaan.

Kerosakan harta benda setakat ini yang direkodkan ialah kenderaan yang dibakar, dirosakkan dengan cara membaling objek keras, memecahkan cermin di Menara MCT, melakukan kecederaan dengan niat membunuh terhadap petugas awam serta pengguna jalan raya.

17. Adakah benar anggota bomba dilanggar dan bukannya diserang?

Tidak timbul isu anggota bomba tersebut dilanggar oleh kereta bomba sendiri seperti kenyataan sami kuil Sri Mariamman kerana telah dinafikan oleh pihak bomba serta kenyataan sebenar oleh anggota bomba yang kononnya ‘dilanggar’.

18. Isu perusuh yang menyerang Adib mempunyai niat untuk membunuh

Bahkan kenyataan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkata bahawa “serangan terhadap anggota bomba oleh perusuh disifatkan mempunyai niat untuk membunuh”, yang jelas menyangkal pandangan mana-mana pihak termasuk sami kuil yang mendapat maklumat salah ataupun cubaan untuk menutup isu serangan tersebut.

Dalang wajib ditangkap dan dikenakan hukuman setimpal.

19. Isu kaum Melayu berkumpul untuk ‘mengawal’ rusuhan di kuil

Beberapa video yang diviralkan melalui media sosial termasuk Whatsapp menunjukkan beberapa kumpulan pemuda Melayu mula berkumpul namun perkara ini sepatutnya dielakkan agar tidak mencetuskan ketegangan kaum.

Negara tidak memerlukan sebarang provokasi walaupun sekumpulan kaum India merusuh, membakar kenderaaan dan mencederakan orang awam dalam isu kuil Sri Mariamman.

Biar pihak berkuasa sahaja yang melakukan tugas mereka bagi membanteras penjenayah dan perusuh ini.

20. Bantu salurkan maklumat dan bukannya mengeruhkan keadaan

Lebih baik semua pihak tanpa mengira agama dan kaum membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya dalang yang membuat rusuhan serta mengecam Menteri ataupun ahli politik yang mengambil kesempatan atas insiden ini dengan menyebarkan kebencian kaum.

Dari berkumpul kononnya untuk mengawal rusuhan lebih baik bersatu berkumpul pada 8 Disember untuk Perhimpunan Aman Menyokong Kerajaan Tidak Meratifikasikan ICERD.

Iktibar dari kejadian

Semua pihak wajar bersatu menolak individu atau sebarang kumpulan dan parti tertentu yang ingin mengadu domba masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan memanipulasi isu Kuil Sri Mariamman ini yang jelas bermula sebagai pertikaian antara pemaju dan dua pihak pentadbiran kuil.

Sebarang pergaduhan kaum pasti tidak akan menguntungkan mana-mana pihak yang bertelagah kecuali pihak yang mempunyai agenda dan mendapat untung di sebalik kekacauan ini.

Maka sewajarnyalah rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama bersatu menolak mereka yang dikenali sebagai ‘musuh Perlembagaan’.

Fokus agenda lebih utama iaitu isu mencabar Perlembagaan Persekutuan termasuk melalui ICERD

Umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya tanpa mengira agama dan kaum wajar memberikan tumpuan terhadap usaha mencemar Perlembagaan negara melalui Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan lain-lain agenda selepas ini yang tidak akan berhenti selagi hak-hak kaum asal tidak dirampas oleh mereka.

Kerajaan wajar bertegas

Kerajaan pula wajar bertindak tegas terhadap mereka yang mencari peluang mengubahsuai Perlembagaan melalui perjanjian dan apa cara sekalipun yang dimulakan oleh Barat. Warga Malaysia yang berbilang kaum wajar dididik kembali menghormati Perlembagaan, Raja-Raja Melayu, hak-hak kaum Melayu dan anak Sabah dan Sarawak yang dijamin Perlembagaan.

Termasuk isu pihak polis dikatakan kurang bertegas dalam mengawal isu ini sehingga merebak sehingga dua tiga hari lamanya yang juga wajar diteliti oleh Kementerian Dalam Negeri.

(Sumber setiap isu dan perkara berada dalam setiap pautan yang disediakan dan pihak kami boleh dimaklumkan sekiranya terdapat sebarang keraguan ataupun kesalahan fakta)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on email
Email
Share on telegram
Telegram
Share on whatsapp
WhatsApp

Artikel Berkaitan

Send this to a friend