BUNG MOHKTAR MINTA SPRM SIASAT PROJEK ‘DIRECT NEGO’ SSM

1.4k
SHARES
7.8k
VIEWS

Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Sri Bung Moktar Bin Radin di Dewan Rakyat kelmarin menggesa pihak kerajaan terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana telah memberi satu projek secara rundingan terus ataupun ‘direct nego‘ kepada sebuah syarikat.

Projek tersebut adalah bagi membangunkan satu Sistem Laporan Perniagaan Malaysia ataupun Malaysian Business Reporting System (MBRS) yang bernilai RM16.5 juta.

Menurut Bung lagi, projek tersebut yang pada awalnya ditawarkan secara tender terbuka dan syarikat tersebut iaitu Formis Network Sdn Bhd tersenarai di tangga ke-6 namun akhirnya mereka diberikan tender tersebut oleh SSM secara rundingan terus.

Bung membuat gesaan tersebut kerana di sebalik laungan kerajaan ingin menghapuskan rasuah dan komitmen Kementerian Kewangan bagi mengamalkan prinsip tender terbuka dan tiada lagi projek secara rundingan terus, namun masih terdapat lagi ketirisan sebegini.

Bung menambah, apa yang lebih malang, sistem itu yang sepatutnya dijalankan oleh SSM selepas dibangunkan, namun syarikat yang sama diberi kontrak selama 10 tahun iaitu 5 tahun dengan tambahan 5 tahun secara mandatori, tanpa merujuk sama ada sistem yang mereka bangunkan boleh berfungsi ataupun tidak.

Selain itu, menurut Bung lagi, syarikat tersebut akan menikmati 10% atau RM40 juta daripada anggaran yang diperolehi kerajaan iaitu sebanyak RM400 juta setahun, hanya dengan duduk memantau sistem yang juga telah dibayar oleh SSM untuk dibangunkan.

Bung berkata dalam 5 tahun maka pihak kerajaan akan kerugian sebanyak RM200 juta dan apa yang lebih meragukan, menurut beliau ialah sistem ini dilaksanakan pada 1 November lalu dan setiap setiausaha syarikat dimandatorikan untuk memfailkan permohonan mestilah secara ‘online‘.

Bung juga berkata, kaunter-kaunter di Kuala Lumpur dan Selangor telah ditutup, tanpa ada sebarang latihan dan konsultansi buat mereka yang terlibat. Sekiranya berlaku kesilapan dalam memasukkan butiran maklumat maka setiausaha syarikat akan dikenakan saman sebanyak RM300 tanpa kompromi.

Bung menggesa agar pihak kerajaan melakukan siasatan kerana perkara yang berlaku ini amat serius yang melibatkan sebuah badan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

(Artikel ini merujuk kepada video Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Sri Bung Moktar Bin Radin yang membangkitkan perkara tersebut ketika berbahas di Dewan Rakyat, kelmarin)

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts