ANUAR SHAARI: ‘ROAD MAP’ DATUK SERI ANWAR KE PUTRAJAYA – 1

371
SHARES
2.2k
VIEWS

‘ROAD MAP’ DATUK SERI ANWAR KE PUTRAJAYA – 1

Oleh Anuar Shaari

15 Oktober 2018

1. Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun menang di Port Dickson (PD) serta bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pagi ini. Kemenangan bergaya di PD menyaksikan DS Anwar meraih kemenangan di kelima-lima DUN di dalam Parlimen Port Dickson. DS Anwar meraih kepercayaan pengundi dari DUN yang diwakili oleh UMNO, PKR dan DAP. Sokongan kepada beliau jelas semakin kuat.

2. Namun sebagai Ahli Parlimen berjawatan Ketua Umum Pakatan Harapan serta Presiden PKR, DS Anwar kini ibarat Jeneral tanpa kuasa. Kegagahan namanya tidak melambangkan kuasa eksekutif yang beliau patut miliki. DS Anwar tahu situasi ini dan sesuatu perlu dilakukan. Adakah DS Anwar akan memulakan tindakan drastik memulakan langkah ke Putrajaya berdasarkan sokongan besar di Port Dickson?

3. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, naratif perjalanan DS Anwar ke Putrajaya telahpun dirangka. DS Anwar menyatakan beliau memenangi PRK PD tanpa mengumpan janji-janji manis seperti yang dilakukan PH sebelum ini. Adakah DS Anwar menyindir Tun M yang mengetuai PH? Di satu pihak yang lain pula, Tun Mahathir berhempas pulas dan berterus terang mengakui janji manis PH di dalam manifesto mereka hanyalah janji kosong yang tidak dapat ditunaikan.

4. DS Anwar dilihat cuba lepas tangan dan memulangkan kepada Tun M jika ada yang menuntut janji-janji PH sebelum ini. Dalam keadaan ekonomi yang sukar di bawah pemerintahan Tun M, sudah ada cakap-cakap di dalam pasaran bahawa ekonomi negara akan lebih baik jika Anwar segera mengambil alih pemerintahan negara. Hubungan Anwar yang baik dengan dunia luar seperti Amerika dan Eropah dijadikan sandaran kuat Anwar perlu segera menjadi PM! Sekurang-kurangnya itulah kata mereka.

5. Desakan menuntut Tun M berundur telah mula kedengaran di kalangan penyokong PKR. Mereka menggunakan alasan rakyat mahukan Anwar sebagai PM dengan kadar segera. Kemenangan Anwar di PD adalah kerana Anwar, bukan faktor Tun M. Malahan ada yang mengatakan Anwar boleh mendapat majoriti lebih besar jika Tun M tidak turun ke PD tempohari. Kumpulan pro Rafizi dalam pemilihan PKR menggunakan hujah ini dalam kempen mereka.

6. Di Parlimen nanti, DS Anwar akan giat mempromosi dirinya. Ini dinyatakan beliau sebelum ini bahawa beliau mahu ‘membetulkan’ Parlimen. Kenapa mahu membetulkan Parlimen? Bukankah Parlimen telah ada strukturnya dan ketua ‘backbenchers‘-nya. Adakah DS Anwar mahu menguasai bilangan ahli Parlimen yang cukup agar boleh melakukan sesuatu bagi membolehkan beliau ke Putrajaya dengan segera?

7. DS Anwar juga ada menyatakan, beliau akan mengetuai Parlimen, Tun M akan mengetuai kerajaan. Ini ialah langkah taktikal DS Anwar. DS Anwar tahu dengan menguasai Parlimen, beliau boleh mengubah kerajaan.

Dengan kejayaan besar semasa PRK Port Dickson dan kini telah memasuki Parlimen, kita tonton sahaja drama “Anwar The Boss” meniti perjalanan ke Putrajaya…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts