ANUAR SHAARI: TOK PA MENCATUR ATAU DICATUR?

395
SHARES
2.3k
VIEWS

Tok Pa: Mencatur atau dicatur?

Oleh Anuar Shaari

19 September 2018

1. Malaysia heboh apabila seorang lagi MP UMNO bertindak meninggalkan parti. Namun kali ini melibatkan seorang MP senior yang berkedudukan tinggi dalam hierarki UMNO. Bekas menteri kanan dan ahli MT nombor 1.

2. Umum mengetahui Tok Pa bukanlah sorang ‘strategist‘ atau ‘political animal‘. Beliau adalah seorang pekerja parti dan kerajaan yang sangat taat dan setia. Peribadinya juga baik dan sangat dihormati kawan dan lawan.

3. Bila beliau bertindak keluar parti, ramai yang menduga puncanya melibatkan Tun Daim (mentor Tok Pa) samada secara langsung atau tidak langsung. Ianya memang rahsia terbuka bahawa Tok Pa amat setia kepada Tun Daim.

4. Tun Daim turun ‘berkempen’ untuk Tok Pa pada PRU yang lalu. Gambaran Tun Daim terhadap Tok Pa adalah  yang baik-baik sahaja walau Tun Daim memburukkan parti yang diwakili Tok Pa ketika itu.

5. Semua kawasan Parlimen yang Tun Daim turun, BN kalah kecuali Jeli yang diwakili Tok Pa. Adakah ianya kebetulan, atau ‘sengaja’ dimudahkan Tok Pa menang di situ dengan tujuan tertentu, oleh orang tertentu.

6. Terkini heboh khabar angin bahawa DS Anwar bakal bergabung dengan komponen BN, PAS dan beberapa sekutu PH bagi menjatuhkan Tun Mahathir. Tiada angin masakan pokok akan bergoyang.

7. Kesetiaan DS Zahid kepada DS Anwar bakal memungkinkan ini terjadi biarpun DS Anwar menafikannya. Penafian DS Anwar adalah semata-mata penafian kabur kerana politik berkait rapat dengan strategi dan seni bertindak.

8. Apakah tindakan Tok Pa keluar UMNO dicaturkan bagi menghalang penggabungan PKR, komponen BN dan PAS? Pastinya akan menyebabkan seseorang hilang jawatan sebagai PM dan pencatur politik Malaysia.

9. Keghairahan DS Anwar mahu segera kembali berkuasa amat jelas biarpun beliau menafikannya. DS Anwar tidak pernah percaya PM sekarang biarpun diberi jaminan beliau adalah pengganti PM ke-7 (selepas terlepas peluang sebagai PM ke-4).

10. Bagi DS Anwar, mempercayai PM sekarang ibarat menoreh luka lama agar kembali berdarah. Bagi PM sekarang dan Tun Daim, meletakkan DS Anwar sebagai PM adalah ibarat meletakkan telur di hujung tanduk.

11. Bila-bila masa mereka, keluarga dan kekayaan (yang tak habis makan) akan dilenyapkan oleh DS Anwar. Maka itu, Tok Pa digerakkan sebagai bidak catur menghalang DS Anwar.

12. Jika DS Anwar mendakwa ada bilangan cukup bagi merealisasikan hasratnya, Tun Mahathir dan Tun Daim juga pasti ada perkiraan bagi menjadikan hasrat DS Anwar hanya tinggal impian sahaja.

13. Tok Pa bagi Tun Daim adalah ibarat DS Zahid bagi DS Anwar. Kedua-dua pencatur ini akan menggerakkan bidak mereka sebaik mungkin. Bila dan berapa yang perlu digerakkan, itu yang paling penting dalam seni politik Malaysia.

‘Drama’ Tok Pa ini hanyalah permulaan dari permusuhan yang tidak pernah tamat. Banyak lagi tindakan susulan dari kedua-dua belah pihak bagi membunuh impian satu sama lain. Rakyat Malaysia bakal dihidangkan ‘cerpantik‘ (cerita panjang politik) teragung abad ini.

Sama-sama kita nantikan….

Anuar Shaari
Pemerhati politik Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts