USTAZ MARZUK SHAARY: KELANTAN MISKIN KERANA PERDANA MENTERI SEPERTI MAHATHIR

377
SHARES
2.2k
VIEWS

Kelantan Miskin Kerana Perdana Menteri Seperti Mahathir

Oleh Ahmad Marzuk  Shaary

3 September 2018

Dr Mahathir dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara menyalahkan kerajaan PAS dalam soal kemiskinan Kelantan kerana masih mengharapkan bantuan kerajaan pusat. Tapi Mahathir gagal menyalahkan diri sendiri yang bertanggungjawab memiskinkan negeri Kelantan. Padahal sebenarnya Kelantan miskin kerana adanya pemimpin seperti Mahathir.

Ratusan tahun lalu, tatkala Abdullah Munsyi melawat Kelantan, ia melihat kemiskinan dan kemelaratan rakyat Kelantan. Lalu beliau menyimpulkan “salah pimpin”. Bagi Abdullah Munsyi, kezaliman dan kelemahan pemerintahlah yang menyebabkan kemiskinan dan kemelaratan rakyat.

Di saat negeri negeri lain masih alpa menyokong pemerintahan BN, Kelantan menjadi negeri terawal menolak pemerintahan BN yang dipimpin oleh Mahathir, melalui Pilihan Raya Umum 1990, dengan kepimpinan Tok Guru.

Sejak bila Kelantan dikaitkan dengan kemiskinan? Bukankah Kelantan dikaitkan dengan emas ribuan tahun lamanya. Hingga tercatat dalam pelbagai catatan purba sebagai sebahagian semenanjung emas.

Bukankah Kelantan mencatatkan kehadiran Ibnu Batuttah dalam kunjungannya kepada kegemilangan pemerintahan Putri Urduja seperti yang dipamerkan dalam Muzium Kuala Krai.

Bukankah Kelantan, negeri pilihan hijrahnya Sayyid Hussain Jamadil Kubra, moyang kepada wali songo, yang sangat mempengaruhi agama, politik, budaya dan ekonomi rakyat Kelantan, ratusan tahun lamanya.

Dan istimewanya Kelantan, ia bukan setakat terkenal dengan wanita berniaga serunding, tetapi ia sebuah negeri yang diberi gelaran negeri Che Siti Wan Kembang.

Maka kenapa Mahathir bila ditanya pasal Kelantan, tiada yang lain yang keluar dari benak fikirannya melainkan menyalahkan PAS Kelantan.

Padahal Laporan Audit Negara 2016 sendiri mengiktiraf bahawa Kelantan merupakan negeri terbaik prestasi pengurusan kewangannya dengan mendapat markah 99%

Mahathir tetap Mahathir. Belitnya cuba menutup apa yang diperlakukan sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab memiskinkan Kelantan.

Senarai perilaku dan diskriminasinya panjang, tapi jauh lebih panjang derita dan pengorbanan yang ditanggung oleh rakyat Kelantan.

Senarainya bermula dengan isu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, kronisme, nepotisme, penipuan pilihan raya, pembentukan kerajaan dalam kerajaan melalui JPP, menidakkan MB sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, penafian baja subsidi, sekatan mesyuarat MB, penolakan wakil kerajaan negeri, penangguhan dan penarikan geran, penafian infra penting seperti pelabuhan, lapangan terbang antarabangsa,lebuhraya dan pendaratan gas. Begitu juga dengan soal bayaran royalti, pertukaran guru hinggalah kepada sekatan bantuan kebajikan akibat campurtangan politik BN.

Malahan Husam Musa pernah menyatakan bahawa Mahathir adalah pengkhianat melayu, antara sebabnya adalah kerana pendaratan minyak dan gas ke Songkla, yang sengaja dan terancang dibuat bagi menafikan hak Kelantan.

Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan membutirkan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri. Senarai 1- Senarai Persekutuan sejumlah 27 perkara,
Senarai 2-Senarai Negeri sejumlah 20 perkara dan Senarai 3-Senarai Bersama sejumlah 18 perkara.

Manakala secara perbandingan belanjawan tahunan kerajaan pusat adalah RM280 billion, manakala negeri Kelantan hanyalah RM1 bilion.

Sudah tentu dalam isu kemiskinan sesebuah negeri, kerajaan pusatlah yang perlu lebih bertanggungjawab sesuai dengan senarai 1,2 dan 3, Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan sebesar RM280 billion setahun.

Kebimbangan ramai pihak kini adalah kemunculan semula watak Mahathir dahulu, yang kini bertopengkan Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Ahmad Marzuk Shaary
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
3 September 2018

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts