RARA & DAP SENDIRI KURANG SETUJU ECRL DIBATALKAN?

398
SHARES
2.3k
VIEWS

Langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membatalkan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebaik sahaja pulang daripada lawatan ke China beberapa hari lepas mengundang pelbagai reaksi yang ketara termasuk daripada Pakatan Harapan sendiri.

Antaranya portal yang menjadi lidah rasmi DAP iaitu roketkini.com sendiri menyiarkan pandangan oleh Young Syefura Osman atau lebih dikenali sebagai Rara, alumni sekolah Demokrasi DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, kerusi yang dimenanginya pada PRU-14 lepas, yang bertanggungjawab terhadap 23,000 penduduk Bukit Tinggi, Sungai Dua dan berhampiran Genting Highlands.

Beliau turut melampiaskan keresahan apabila ECRL akan dibatalkan oleh YAB Tun Mahathir di mana beliau risau akan nasib 2000 rakyat tempatan yang akan kehilangan pekerjaan termasuk 1000 daripada adalah rakyat tempatan Bentong sendiri.

“Pihak Kerajaan perlu sedar bahawa pembatalan projek ini secara langsung telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan. Amatlah dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 orang pekerja terdiri daripada warga Malaysia dan anak tempatan Bentong sendiri.”

Walaupun Rara menimbulkan isu pembatalan ECRL kerana kos dan bebanan semasa kerajaan yang tinggi namun beliau juga seolah-olah menempelak Tun Mahathir apabila menimbulkan isu ‘kesan rantaian’ (chain reaction) yang akan berlaku ekoran pembatalan tersebut.

Beliau menegaskan mengenai kesan yang akan berlaku kepada ekonomi tempatan serta terhadap alam sekitar termasuk bencana alam kerana kerja-kerja pembinaan telah disiapkan antara 13-14 peratus di mana bukit bukau sudah ditarah, kawasan diterangkan dan penebangan hutan telah dilaksanakan.

Beliau turut menimbulkan isu kebajikan seperti nasib terhadap mereka yang kehilangan pekerjaan termasuk pampasan yang perlu diberikan serta menggesa pihak berwajib melakukan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak-tapak pembinaan yang akan ditinggalkan.

Artikel penuh beliau boleh dibaca seperti di bawah:

Berikutan pembatalan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), pihak kerajaan digesa memberi perhatian kepada kebajikan pekerja tempatan yang kehilangan sumber pendapatan dan menjalankan langkah-langkah mitigasi terhadap kawasan pembinaan yang bakal ditinggalkan.

Baru-baru ini Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan projek ECRL. Perkara ini tidaklah mengejutkan kerana, Pakatan Harapan memang berjanji dalam Manifesto PRU14 untuk menyemak semula projek-projek mega yang melibatkan berbillion dana kerajaan dan juga pinjaman antarabangsa.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa projek ECRL dapat memberi kebaikan kepada pertumbuhan ekonomi kawasan Bentong, tindakan pembatalan disokong berdasarkan kos projek yang terlampau tinggi dan beban kewangan semasa Kerajaan yang tinggi.

Pihak Kerajaan perlu sedar bahawa pembatalan projek ini secara langsung telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan. Amatlah dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 orang pekerja terdiri daripada warga Malaysia dan anak tempatan Bentong sendiri.

Pihak kerajaan perlu memberi perhatian yang khusus kepada kebajikan pekerja tempatan yang terkesan daripada pembatalan projek ini termasuklah memastikan mereka diberi pampasan kewangan yang sewajarnya dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan yang baru.

Kerja-kerja pembinaan projek ECRL di kawasan Genting dan Bentong dikatakan telah mencapai kemajuan antara 13 dan 14 peratus setakat ini. Terdapat kawasan hutan yang sudah ditebang, tanah yang sudah diterangkan dan bukit yang sudah dikorek untuk pembinaan rel dan terowong. Jika tapak-tapak pembinaan ini ditinggalkan begitu sahaja sejurus pemberhentian projek, ia akan membawa kesan yang buruk kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan bencana alam pada masa hadapan.

Pihak Kerajaan perlu memastikan bahawa pihak kontraktor atau mana-mana pihak berwajib melakukan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak-tapak pembinaan yang akan ditinggalkan dengan secepat mungkin. Tapak-tapak pembinaan yang ada sekarang berada di kawasan-kawasan kritikal bagi alam semulajadi kawasan Bentong. Amatlah dikhuatiri sekiranya sebarang bencana berlaku terutamanya ketika fasa monsun Pantai Timur yang akan tiba kelak.

Pihak Kerajaan perlu peka bahawa selepas pembatalan dan pemberhentian projek pembinaan yang besar seperti ECRL, ada juga langkah-langkah penting yang perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

(Dipetik daripada Roketkini.com)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts