“Dahulu, BN luluskan ECRL untuk memberi peluang kepada kawasan Pantai Timur membangun seiring dengan Pantai Barat. Mereka dah lama ketinggalan.”

“Pengoperasiannya bukan tempat cari untung. Ia adalah pemangkin ekonomi. Kita akan untung pekerjaan, pembangunan dan aktiviti ekonomi.”

Sebelum itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sidang akhbar di Beijing, China pada Selasa lalu memberitahu, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP).

Hari ini, Perdana Menteri dalam wawancara dengan Malaysiakini mengakui tidak mudah untuk membatalkan projek mega dibiayai negara China yang telah dipersetujui dan ditandatangani.

Kata beliau, apa yang telah beliau lakukan adalah menetapkan prinsip tentang bagaimana untuk bergerak ke hadapan tetapi sama ada projek itu akan dibatalkan, ditangguhkan atau diselesaikan melalui cara lain, belum dapat ditentukan lagi.