Lihat sahaja bagaimana beberapa kementerian berebut untuk meletakkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah kementerian masing-masing ibarat kanak-kanak yang berebut gula-gula atau panglima berebut harta rampasan perang.

Ada menteri yang membuat dan melontar idea yang menimbulkan kemarahan dan kekeliruan rakyat.

Pada masa ini walaupun rakyat masih bersabar kerana terlalu awal untuk membuat penilaian pencapaian kerajaan baharu ini, tetapi jika tidak diberi perhatian sewajarnya akan menimbul kebimbangan dan akhirnya membawa kepada kebencian.

Ada yang terlalu ghairah membicarakan hal ehwal agama, institusi raja dan kaum tanpa memikirkan sensiviti bakal timbul serta boleh mencetuskan perbalahan tidak sepatutnya.

Majoriti barisan Kabinet juga belum dapat menyesuaikan diri sebagai pihak kerajaan, tetapi masih berkelakuan sebagai pembangkang ketika di dalam gelanggang Parlimen.

Jika portfolio masing-masing mereka belum mahir, janganlah pula berbicara dengan hubungan dengan pihak-pihak berkepentingan khususnya mereka yang mewakili industri terlibat.

Mereka terdiri daripada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Majlis ini diketuai oleh Tun Daim Zainuddin yang sebelum ini adalah Menteri Kewangan. Bertindak sebagai sekretariat pula ada pakar ekonomi, Dr Muhammad Abdul Khalid, manakala tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi telah meletakkan jawatan akibat kontroversi dengan pihak istana dan kini menjadi penasihat media kepada Perdana Menteri.

Jadi tidak hairanlah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih memerlukan khidmat majlis penasihat yang dianggotai mereka yang dihormati di dalam bidang masing-masing selain mampu mempengaruhi pemain utama industri terbabit.

Jika situasi ini berlarutan mungkin khidmat majlis berkenaan akan diperlukan dengan lebih lama bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan yang baharu berusia 100 hari ini.

Oleh itu jika hendak membicara janji di dalam manifesto Pakatan Harapan yang belum ditunaikan memang masih jauh kerana barisan Kabinet yang ada terlalu banyak kepincangan dan perlu diseimbangkan.

Sebagai rakyat kini hanya mampu berharap dan berdoa kerajaan yang telah dipilih ini cepat matang dan tidak tergelincir daripada landasan yang diletakkan untuk memantapkan kewangan negara dan meningkatkan integriti jentera kerajaan serta sistem pentadbiran keseluruhannya.

(Dipetik dari Utusan Online)