PENDEDAHAN LEISSNER: SEJAUH MANA PENGLIBATAN TENGKU ZAFRUL DAN HAKIM NAZLAN?

465
SHARES
2.7k
VIEWS

Sebelum ini Roger Ng yang dikaitkan dan dituduh terlibat bersama Tim Leissner mengakui akan menunjukkan bukti bahawa bekas Perdana Menteri keenam Dato Sri Mohd Najib Tun Razak tidak terlibat langsung dengan skandal 1MDB. Malangnya apabila dokumen yang diminta oleh pihak peguam bela Najib tidak dibenarkan oleh DOJ Amerika Syarikat, maka pelbagai dokumen sulit dan penting yang boleh menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak terlibat tidak dapat diperolehi.

Kemudiannya muncul secara tiba-tiba pendedahan polis Singapura bahawa akaun melibatkan suami dan anak Tan Sri Zeti Akhtar Aziz telah dibekukan dan ia terbukti benar apabila ada dokumen pengakuan mengenai perkara tersebut daripada peguam mereka. Malangnya akaun Zeti di Malaysia tidak pula dibekukan atau dilayan seperti Najib, di mana kediaman beliau dan anaknya diserbu pihak berkuasa. Lebih teruk rumah arwah ibunya Tun Rahah juga diserbu polis – yang menunjukkan intimidasi berterusan dan kemuncak penganiayaan terhadap Najib walaupun mahkamah masih belum menjatuhkan hukuman bersalah terhadap beliau.

Sepatutnya, atas logik yang sama rumah Zeti dan ahli keluarganya wajar diserbu kerana jawatan Gabenor Bank Negara tidak mungkin lebih tinggi statusnya daripada jawatan Najib selaku Perdana Menteri. Jika Najib sendiri tidak diberikan sebarang keistimewaan maka harta dan aset Zeti serta keluarganya wajar disita oleh pihak berkuasa. Tidak wujud intimidasi melampau selagi rumah kedua ibu bapa Zeti atau Tawfiq Ayman suaminya tidak diserbu polis seperti kediaman Tun Rahah.

Tambah mengejutkan apabila selepas itu Leissner memberi kenyataan di mahkamah menyebut dua nama individu penting di negara ini iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul dan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang kini dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Februari 2022. Jika Zafrul mungkin tidak terkait secara langsung dalam perbicaraan kes Najib sebagai saksi namun jawatan Nazlan selaku Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Najib menimbulkan banyak keraguan.

Keraguan melampau yang timbul terhadap Hakim Nazlan ini wajar diperbetulkan. Persepsi buruk terhadap beliau yang hadir sebagai General Counsel bagi Maybank ketika itu wajar dijelaskan secara tuntas. Adakah wujud dokumen atau pengisytiharan oleh beliau sebelum ini mengenai penglibatannya dengan 1MDB yang sepatutnya diketahui oleh kerajaan? Atau mungkin lebih wajar jika beliau menarik diri dan bukannya terlibat secara terus dalam perbicaraan sekaligus menjatuhkan hukuman ke atas Najib – agar tidak menimbulkan persepsi buruk seperti yang berlaku ketika ini. 

Selain itu, rata-rata rakyat negara ini tertanya-tanya kenapa seolah-olah mereka yang terlibat dengan 1MDB ini seperti mendapat ‘reward‘ jawatan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional? Jika skandal 1MDB ini memalukan negara dan kerajaan benar-benar inginkan keadilan dicapai maka sesiapa sahaja yang terlibat 1MDB sepatutnya diketepikan daripada awal. Bukankah undang-undang itu bukan sahaja perlu adil malah ia juga wajar terlihat adil? Dalam konteks skandal 1MDB dan Najib ini rakyat tidakpun melihatnya sebagai adil. Ditambah dengan pendedahan demi pendedahan, memperlihatkan ada sesuatu atau wujud “rahsia gelap” individu tertentu yang ingin disembunyikan. 

Hakikatnya terlalu banyak ‘puzzle‘ dan kerumitan dalam perbicaraan Najib. Setelah empat tahun perbicaraan berlangsung rakyat hanya melihat ia sebagai ‘persecution’ dan bukannya ‘prosecution‘. Jika tidak, tentunya nama-nama seperti keluarga Zeti tidak akan muncul. Tentu Hakim Nazlan atau Tengku Zafrul sendiri tidak sanggup diperlakukan seperti Najib apabila ‘star witness‘ dalam kes masing-masing tidak dapat dibawa ke mahkamah, keterangan saksi mengaku menerima habuan daripada Jho Low, wujud tanda tangan palsu yang tidak didedahkan SPRM, malah terbukti bahawa keluarga Gabenor Bank Negara terlibat dengan Jho Low sejak belajar di luar negara.

Terdedah juga bukti arahan Jho Low meminta pegawai bank Joanna Yu agar menyorok maklumat akaun daripada Najib dan Pejabat Perdana Menteri yang bukan sahaja menimbulkan keraguan melampau malah jelas wujud satu konspirasi besar ke atas Najib yang juga melibatkan Gabenor Bank Negara sendiri. Tentu Hakim Nazlan dan Tengku Zafrul malah sesiapa sahaja akan rasa dianiaya jika perbicaraannya dilayan seperti Najib. Atau mungkinlah Najib terpaksa ‘dikambing-hitamkan’ demi menutup salah laku dan rahsia gelap sesetengah individu yang bersalah menerima habuan daripada Jho Low. Pada pendapat mereka mungkin dengan cara Najib dipenjarakan maka mereka akan dapat melepaskan diri. 

Justeru, kita mengharapkan Leissner sekadar menyebut penglibatan Tengku Zafrul dan Hakim Nazlan dalam rundingan dan tiada rahsia gelap seperti keluarga Zeti. Kita nantikan sahaja apakah ‘drama’ seterusnya dan siapa lagi agaknya selepas ini yang akan disebut oleh Leissner. Apapun sama-sama kita tunggu dan lihat apakah kesudahannya bagi konspirasi besar peringkat tertinggi yang sedang berlaku ini. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts