SOP MASJID: ELAK FITNAH ATAS AGAMA?

372
SHARES
2.2k
VIEWS

Gelombang Omicron tercetus sebagai salah satu varian terkini selepas varian Delta. Di sebalik kekalutan beberapa negara termasuk Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sendiri masih samar-samar dengan kadar keseriusan dan kematian akibat varian tersebut.

Sungguhpun begitu, pelbagai negara mengetatkan sempadan masing-masing bagi menghadapi ancaman terkini tersebut yang memperlihatkan kadar jangkitan meningkat. Sekali lagi diingatkan, kadar jangkitan yang tinggi di setiap negara ini tidak menunjukkan kadar kematian yang tinggi atau lebih teruk berbanding varian sebelumnya.

Malaysia pula melalui Menteri Kesihatannya Khairy Jamaluddin terus-menerus dilihat ‘memaksa’ rakyat mengambil booster atau dos penggalak. Walaupun Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak memaksa sesiapa mengambil booster atau vaksin untuk kanak-kanak, tindakan membatalkan dua dos vaksin sebagai status lengkap dilihat menganiaya dan memaksa rakyatnya sendiri.

Tindakan ini juga jelas bertentangan dengan undang-undang yang dibuat dan ditetapkan sendiri oleh kerajaan. Rakyat melihat, tidak mustahil selepas ini status lengkap tiga dos vaksin akan dibatalkan lagi bagi memaksa rakyat mengambil booster kedua atau dos keempat pula. Kerajaan tidak sepatutnya dilihat memaksa dan menyulitkan, tetapi sepatutnya memudahkan rakyatnya.

Kerajaan juga sepatutnya menawarkan pampasan mengikut tempoh vaksin dan booster diambil, bukan bersikap lepas tangan dan menafikan wujudnya kematian ataupun komplikasi ekoran daripada mengambilnya.

Selain itu, SOP ketat di masjid dan surau dengan cubaan sesetengah pengerusi dan ahli jawatankuasanya yang hanya membenarkan tiga dos sebagai syarat kemasukan dilihat semakin menekan dan melampau. Sedangkan kemasukan ke kompleks atau pasaraya besar masih belum dilaksanakan tiga dos.

Lebih menghairankan, dalam masa yang sama Tan Sri Mahiaddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuka sempadan dengan mudah apabila berkata pelancong atau mereka yang pulang daripada luar negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin. Bukankah langkah kerajaan ini merupakan ‘signal’ bahawa pandemik Covid-19 sudah berstatus endemik?

Namun kenapakah SOP ketat masih dikenakan kepada jemaah masjid? Sama seperti dahulu, kerajaan yang kononnya mengaku Islam, termasuk yang dibarisi oleh Menteri-menteri PAS terlalu apologetik dengan isu yang melanda umat Islam apabila SOP dan penjarakan saf masih dikenakan, berbeza dengan situasi dalam kapal terbang yang memakan masa lebih lama namun dibenarkan duduk bersebelahan tanpa penjarakan.

Kenapakah pelaksanaan SOP dwi-standard dan tidak adil ini masih mahu dikenakan? Adakah konon kerana bagi mengelakkan fitnah ke atas institusi agama di negara ini? Konon tidak mahu masjid menjadi tempat penyebaran pandemik tetapi dalam masa yang sama kilang-kilang dibenarkan beroperasi penuh sejak dahulu lagi?

Belum lagi dikira operasi di stadium dan juga majlis-majlis pihak kerajaan yang kerap melanggar SOP yang mereka sendiri tetapkan. Walaupun penganjur majlis Keluarga Malaysia itu didenda tetapi hanya sekadar seribu ringgit, berbeza sebelum ini di mana tiga beranak didenda dua ribu ringgit kerana menziarahi kubur yang ketika itu tiada sesiapapun di sana. Inilah antara bukti penganiayaan dan pelaksanaan SOP dwi-standard yang berlaku sejak sekian lama. 

Kerajaan sepatutnya menjadi contoh agar rakyat tidak berani melanggar SOP bukannya menjadi ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Kerajaan tidak wajar mengetatkan SOP di masjid dan surau sahaja sedangkan banyak industri lain termasuk sempadan negara dibuka ruang seluas-luasnya.

Pihak kerajaan dan masjid juga diseru agar jangan lagi menjadi ‘penghalang’ dengan menetapkan pelbagai SOP dwi-standard sehingga membuatkan umat semakin jauh daripada masjid. Jangan menghalang umat ke masjid dengan SOP remeh-temeh yang berpandukan ‘fatwa’ WHO bukannya Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW yang sepatutnya dirujuk. Seperti mafhum hadis, mudahkanlah umat, jangan disulitkan. 

Dalam Islam, tidak wujud “pembudayaan norma baharu” seperti dicanangkan, namun yang ada hanyalah sunnah Baginda SAW yang diikuti oleh semua umat Islam sejak ribuan tahun dahulu lagi. Rujuk sahaja kitab mana sekalipun akan konsisten memperkatakan hal yang sama, kecuali ada yang menjadikan WHO sebagai ‘kitab’ rujukannya.

Malah ada hadis Rasulullah SAW yang melarang umatnya pergi atau keluar daripada kawasan wabak namun Baginda tidak pernah berkata agar amal-amal di dalam kawasan tersebut perlu dihentikan atau amalan sunnahnya diubah mengikut SOP – yang diacuankan mengikut akal manusia dan bukannya wahyu daripada Allah seperti semua hadis Nabi SAW. 

Wujud juga salah faham mengenai hadis larangan memakan bawang apabila ke masjid kerana hakikatnya ia bukan hadis “larangan ke masjid” seperti difahami yang dijadikan contoh oleh sesetengah ustaz dan asatizah. Hadis ini sebenarnya adalah mengenai “larangan memakan benda-benda berbau”, sebelum menunaikan solat berjemaah di masjid yang dikhuatiri mengganggu jemaah untuk bersolat. Selain itu amalan bersugi juga kerap dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat R.Anhum.

Maka berhati-hatilah dalam berkata-kata dan menjadikan hadis Nabi sebagai contoh yang salah kerana dikhuatiri akan menjadi fitnah ke atas Baginda SAW. Sanggupkah kita bertanggungjawab dan bertemu Baginda di akhirat kelak dalam keadaan di dunia ini kita telah memfitnahnya?

Kesimpulannya, semoga usaha dakwah yang bermaksud mengajak manusia kepada Allah SWT ini tidak lagi dibatasi oleh SOP ciptaan manusia yang membuatkan umat semakin menjauhi rumah-rumahNYA. Jika hadirpun mungkin tidak dibenarkan masuk kerana tidak cukup dos, jika cukup sekalipun dihalang kerana tidak mengambil booster. Atau dihalang kerana lupa membawa sejadah – yang akhirnya menatijahkan umat mencipta pelbagai alasan untuk tidak lagi ke masjid dan surau bagi mengimarahkan rumah-rumah Allah. 

Jika kita masih berfikir SOP ini untuk mengelakkan fitnah ke atas agama, rasanya apa yang sedang berlaku yang bertentangan dengan usaha dakwah inilah hakikatnya fitnah ke atas agama. Bagi umat Islam, walaupun terpaksa akur dengan SOP, walaupun terpaksa diikuti semata-mata atas dasar ‘kanun’ yang ditetapkan pemerintah, namun jangan sekali-kali kita redha dengan apa yang ditetapkan. Ikut namun jangan redha. 

Wallahualam, In Sha Allah semoga umat Islam di seluruh dunia diberikan taufik dan hidayah serta dibenarkan menunaikan solat berjemaah dan menghidupkan amalan-amalan di rumah-rumah Allah mengikut cara Baginda Rasulullah SAW.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts