MALAYSIA PENUH DENGAN ‘PENYAKIT’ YANG TIDAK MAMPU DIUBATI

400
SHARES
2.4k
VIEWS

Isu demi isu, masalah demi masalah, bencana demi bencana menimpa negara tidak kunjung padam. Mungkin malapetaka atau kifarah akibat kelalaian, melampaui batas, asyok dengan duniawi melampau sehingga tidak dapat membezakan dosa dan pahala. 

Sejak kejatuhan BN dalam PRU Mei 2018 diambil alih oleh PH selama 22 bulan, diganti dengan PN 15 bulan, bertukar lagi sehingga sekarang. Iklim politik yang tidak menentu bercakaran sesama sendiri, ‘bergocoh’ sesama musuh maka tumbuhlah parti-parti politik baru bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Juak-juak, pengampu-pengampu serta broker-broker politik giat mencari makan untuk kepentingan perut sendiri bersama kroni.

Salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah tidak perlu dihurai sudah menjadi amalan biasa siapa saja berkuasa. Benar jadi salah dan salah jadi benar. Pelapor jadi salah yang melakukan kesalahan pula dipertahan. Ini realiti hari ini bagi mereka yang berkuasa. Pembohongan dijadikan retorik alasan memperbodohkan rakyat tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Bencana demi bencana, Covid-19 dengan pelbagai varian yang meragut ramai nyawa. Banjir, tanah runtuh, taufan, kebakaran sudah cukup memberi pembelajaran kepada rakyat Malaysia yang mempunyai akal budi untuk dijadikan iktibar dan pelajaran. Namun bukan semuanya sedar, mungkin dianggap sebagai bencana lumrah alam secara kebetulan.

Sampai bila terus berlaku ketidakpastian masa depan negara? Bencana politik oleh kerakusan kuasa yang dipelopori oleh kluster perosak bertopengkan kepuraan sedang menghumban negara ke dalam “longgokan sampah”. Rakyat jadi korban permainan ‘mempolitik’ setiap aspek kehidupan. Bencana politik menyebabkan kegagalan menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 walaupun lebih 90 peratus sudah divaksin namun jangkitan dan kematian terus meningkat. Apa puncanya, seolah tiada jawapan. Krisis ekonomi sedang menuju negara bankrup. Hutang negara makin bertimbun 1.3 trilion, hasil negara semakin merosot, kos sara hidup semakin meningkat, pengangguran terus bertambah, harga barang makanan terus melambung.. Apakah seterusnya akan berlaku?

Hanya rakyat yang boleh mengubati penyakit negara dengan menggunakan kuasa memilih pemimpin yang selayak boleh memimpin. Kecenderungan rakyat yang masih terpikat dengan pemimpin kluster perosak disebabkan taksub, dedak dan ‘terpukau’ oleh aura kepura-puraan sukar untuk memulihkan negara yang semakin tenat. Selagi segala kemungkaran menjadi biasa dan kebenaran ‘luar biasa’ maka selama itu rakyat akan menanggung derita.

Nasib negaraku Malaysia.

Terima kasih. 

PUTRA PERKASA NEGARA

Haji Nasir Othman

Pengerusi Perhubungan PUTRA Penang & ADT PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts