WIRAWATI PUTRA SOKONG PeKT DITUTUP, SALUR DANA BAGI MEMBANTU RAKYAT

345
SHARES
2k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PERGERAKAN WIRAWATI PUTRA MALAYSIA

3 Januari 2022

1. Wirawati PUTRA menyokong penuh keputusan kerajaan berhubung penamatan khidmat anggota Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang berakhir di seluruh negara mulai hari ini, setahun lebih awal berbanding penggal yang dijadualkan pada 31 Disember 2022. Perkara ini dimaklumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dalam surat yang dihantar kepada anggota PeKT di seluruh negara. Rujuk; https://www.malaysiakini.com/news/605204

2. Negara kini berhadapan cabaran luar jangka dengan terjadinya fenomena seperti penularan wabak COVID-19 dan bencana banjir yang telah berlaku baru-baru ini di beberapa buah negeri sehingga meragut puluhan nyawa dan kemusnahan harta benda. Sangat wajar sekiranya penyaluran peruntukan kerajaan bagi tahun 2022 lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang lebih kritikal dan lebih menyeluruh untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ini, bukannya dibazirkan kepada pihak tertentu demi menjaga hubungan politik peribadi.

3. Dalam Belanjawan 2022, telah diluluskan sebanyak RM8.57 juta yang diperuntukkan kepada PeKT. Adalah baiknya jika peruntukan tersebut disalurkan kepada sektor-sektor kritikal yang memerlukan modal untuk membaikpulih ekonomi rakyat dan negara. Jangan dibazirkan wang negara untuk melindungi aktiviti atau kumpulan tertentu yang bersifat eksklusif semata-mata. Ini jelas menunjukkan salah guna kuasa dan perbuatan yang tidak bermoral jika ia dibiarkan begitu sahaja.

4. Wirawati menggesa semua kementerian meneliti mana juga agensi atau badan yang ditubuhkan tidak lagi relevan seperti PeKT dengan keperluan semasa untuk ditamatkan atau disatukan bersama mana-mana agensi yang bersesuaian bagi mengurangkan kos dan peruntukannya disalurkan kepada agensi yang lebih memerlukan. Mana-mana inisiatif kerajaan yang diwujudkan wajib bersifat inklusif. Lebih-lebih lagi jika ia dilihat sebagai alat penyaluran dana bagi menjaga kepentingan politik individu tertentu ia perlu dihentikan segera.

5. Wirawati PUTRA juga memberi teguran, jangan pula KPKT seperti “Harapkan pegar, pegar makan padi”. Berilah khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara dalam situasi negara yang ditimpa musibah ketika ini. Jadilah ‘bahu’ yang boleh disandarkan oleh rakyat dalam suasana duka dan hiba ini.

Sekian.

Oleh Nurhafizah Jamalludin

Naib Ketua Wirawati PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts