PESTA “MENYEMBELIH KATAK” DI PRN MELAKA

384
SHARES
2.3k
VIEWS

Dalam agama, Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenai sifat-sifat munafik iaitu jangan berdusta dalam berkata-kata, jangan memungkiri berjanji dan jangan khianat jika diberi amanah. Di Pilihan Raya Negeri Melaka yang baru sahaja tamat ini jelas menunjukkan rakyat sendiri benci dan menghukum ahli-ahli politik ‘katak’ yang berdusta dalam berkata-kata, yang memungkiri janji dan juga khianat amanah yang diberi.

Apapun dalil dan hujah yang diberikan, tindakan khianat dan melompat parti ini amat dibenci oleh pengundi-pengundi yang memberi mandat kepada parti atau gabungan yang mereka percaya tidak akan mengkhianati mereka walaupun parti sendiri kalah pilihan raya. Lebih malang jika ada parti yang sanggup menerima “katak-katak politik” ini dan berbangga dengan mereka sedangkan mereka ini adalah pengkhianat yang sanggup menikam belakang rakan sendiri.

PRN Melaka ini menjadi penanda aras penolakan dan hukuman rakyat terhadap “katak-katak politik” ini dan rakyat serta pengundi-pengundi di sana seolah-olah ‘berpesta’ bagi menghukum pengkhianat sebegini yang berleluasa dalam Bersatu dan Pakatan Harapan.

Selain itu, hipokrasi Bersatu kononnya “demi penyatuan ummah” dengan PAS jelas terdedah apabila sanggup menghulur tangan kerjasama dengan DAP dan Pakatan Harapan sebelum ini sebagai talian hayat apabila Tan Sri Mahiaddin Yassin hampir kehilangan jawatan Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa parti tersebut sanggup melakukan apa sahaja.

Bukan sahaja “katak-katak politik” diterimanya malah dalam masa yang sama mengamalkan penyogokan atau rasuah politik melalui “scheme of thing” yang juga telah dibocorkan dan diketahui ramai. Sepatutnya mereka yang menerima imbuhan politik ini malu dengan pendedahan tersebut apatah lagi bagi yang beragama dan mendukung perjuangan Islam.

Sungguhpun begitu, semoga pesta “menyembelih katak” di PRN Melaka ini menjadi iktibar untuk semua bahawa janganlah gunakan alasan penyatuan ummah untuk membenarkan tindakan anda untuk menghalalkan cara yang bertentangan dengan agama. Dalam Islam, untuk mendamaikan dua saudara yang bertelagah bukanlah dengan memihak kepada salah satu daripadanya. Jika tindakan ‘memihak’ ini dilakukan, ini jelas satu pengkhianatan apatah lagi jika pihak satu lagi itu tetap taat dengan ketetapan partinya serta Piagam Muafakat Nasional yang termeterai sejak sekian lama.

Sebaliknya damaikanlah dengan mencari jalan tengah dan bukannya memilih untuk menjadi seteru kepada saudara seIslam yang lain. Namun Alhamdulillah, penyokong-penyokong dan akar umbi nampaknya masih utuh bersama dalam mendukungi aspirasi penyatuan ummah dalam Muafakat Nasional serta menggagalkan penyatuan ummah yang palsu sehingga mampu menang besar dan bergaya di PRN Melaka.

Semoga menjadi iktibar untuk semua dan jangan lupa bahawa rakyat membenci dan menolak “katak-katak politik” walau di parti manapun mereka berada.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts