PERUTUSAN PRESIDEN PUTRA SEMPENA PRN MELAKA

356
SHARES
2.1k
VIEWS

KENAPA PUTRA DITUBUHKAN DAN BERTANDING PRN MELAKA? 

1. SIFAT DAN PERILAKU PEMIMPIN MELAYU ISLAM BERTAMBAH BURUK. RETORIK AGENDA MELAYU DAN ISLAM HANYA MAINAN SENTIMEN POLITIK MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI DAN BANGSA SENDIRI MAKIN TERTINDAS.

2. Pemimpin-pemimpin Melayu sendiri dan parti-parti Melayu termasuk Parti kononnya Islam dalam semua Parti Blok(gabungan), seolah-olah hendak menghilangkan hak Melayu dan melupakan asas Perlembagaan Negara. Apakah kaum-kaum lain yang miskin, tidak dibantu? Sehingga ada yang sanggup hendak mengusik Perkara 153 Perlembagaan Negara?

3. Inilah contoh Ahli Parlimen Melayu Islam yang sudah hilang jati diri. Ada kala lebih membela kaum lain dari kaum sendiri untuk mendapat undi semata- mata. Hak dan maruah bangsa tidak dipedulikan, cuba lihat Ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun lain kaum, betapa lantang dan beraninya mereka memperjuangkan kepentingan kaum mereka walaupun jelas bertentangan dengan asas Perlembagaan Negara. Adakala sampai bersifat kurang ajar dan angkuh.

Parti-parti Melayu dan Islam yang hipokrit terus apologetik, malu alah dan days. Semua sudah jadi liberal tidak bertempat. Semua bercakap sama rata walaupun bangsa sendiri dan Bumiputra makin merempat. Kononnya naratif baru? Anjakan untuk memusnahkan bangsa sendiri. Cukuplah, pinjaman Amanah Ikhtiar, Pinjaman TEKUN untuk mengangkat martabat bangsa, yang mana juga dinikmati oleh lain-lain kaum? Ini sekadar “roti dan keju”, cukupkah dengan MARA sahaja? Bagaimana dengan pembahagian KEK EKONOMI NEGARA?

Adakah bangsa Melayu dan peribumi  di negara ini hanya layak di duduk rumah PPRT atau FLAT Bandaraya sahaja? Kaum lain mahu menambah cabutan khas judi berganda jumlahnya kenapa diluluskan? Malah mahu guna nama TIMAH untuk minuman keras juga diluluskan. Jika ada bantahan, sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Wahai pemimpin yang tiada harga diri dan maruah yang tunduk kepada kehendak kaum lain dan tidak malu pada Allah dan jauh sekali gerun kepada bangsa sendiri.

4 Adakah kita dengar suara yang tegas dan berterusan hendak sekolah satu aliran? Adakah kita mendengar suara yang lantang dan menggila menggesa dana tambahan untuk sekolah-sekolah tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat? Terlalu banyak isu-isu ekonomi, pendidikan, perumahan, pekerjaan dan bertimbun lagi kesusahan Melayu dan peribumi tidak dipedulikan.

Ia hanya sekadar sambil lewa dan dibuat seperti tidak berlaku dan biasa sahaja. Bila tiba pembentangan Rancangan Pembangunan RMK setiap 5 tahun dan Belanja wan negara setiap tahun, ia hanya sedap didengar namun tidak dirasai ke tulang kaum peribumi apatah lagi bangsa Melayu. Ramai yang mahu menjadi pahlawan dan wira kepada kaum lain, berbanding kepada kaum sendiri.

Sebagai contoh dengarlah ucapan Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan. Ada pernah kita dengar pemimpin-pemimpin bukan Melayu mahu melepaskan kelebihan apa yang mereka ada untuk orang Melayu? Contoh betapa susahnya orang Melayu untuk mendapat pekerjaan dengan syarikat-syarikat perniagaan milik lain-lain kaum.

Ada pula syarat kena pandai bahasa mereka? Kaum mereka yang tidak mahir bahasa kebangsaan tidak menjadi masalah. Kakitangan Amanah Ikhtiarpun katanya melatih pegawainya untuk pandai bahasa kaum mereka bagi memudahkan kaum mereka berurusan dengan Amanah Ikhtiar. Tidakkah sakit hati apabila kita mendengar hal-hal seumpama ini berlaku ketika ini?

5. Hakikatnya Melayu bakal hilang segalanya jika pemimpin-pemimpin seperti ini bertambah dan terus dipilih oleh orang Melayu untuk duduk di dalam DUN atau Parlimen. Melayu kena pilih calon-calon Melayu daripada parti Melayu yang tegas, berani serta mempunyai jati diri daripada calon-calon yang bersih dan bermoral.

6. Sesiapa sahaja yang mengusik dan cuba mengubah Fasal 151,152, 153 dan asas Perlembagaan negara yang dipersetujui melalui perjanjian kontrak sosial adalah musuh kepada orang Melayu. Tidak ada tolak ansur. Mereka berkata kononnya tidak usik, malah menyokong, tetapi cuba kita perhati dan lihat ucapan-ucapan mereka, desakan-desakan dan tekanan yang dilakukan, serta resolusi-resolusi mereka yang semakin melampau. Lihat sahaja tekanan agar kerajaan meluluskan sijil UEC?

Malangnya kerajaan pula memberi peruntukan kepada program-program yang bercanggah dengan Perlembagaan negara. Semuanya menjadi ‘double standard‘ dan dasar-dasar negara jadi berkecamuk kerana ketidaktegasan para pemimpin Melayu yang sudah hilang jati diri. Ada pemimpin Melayu terus besar kepala dan seronok bila mendapat tepukan daripada lain-lain kaum.

Justeru, lahirlah PUTRA dalam suasana politik berkecamuk dan kuasa politik serta nasib orang Melayu dan peribumi menjadi tanda tanya dalam menghadapi masa depan yang amat menakutkan. PUTRA lahir “suci dalam debu” tatkala keadaan politik yang semakin meruncing dan kotor.

Politik rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan wang, keborosan dalam perbelanjaan, tidak menghormati “rule of law” menjadi amalan, mengakibatkan hutang negara sudah mencecah 1.3 trilion. Tidak cukup dengan beban hutang negara, kini simpanan rakyat di dalam KWSP semakin menyusut apabila bersara nanti, lebih dari 75 peratus tidak mungkin dapat menampung kehidupan masa depan akibat baki yang tidak mencukupi dan majoritinya adalah orang Melayu dan Bumiputera. Ada pemimpin Melayu menyembunyikan simpanan di luar negara seperti yang terdedah dalam Pandora Papers bernilai berbilion-bilion ringgit.

Negara Malaysia mampu memberi pendidikan percuma kepada semua kaum dari peringkat rendah sehingga ke universiti, perubatan percuma dan berkualiti untuk semua rakyat dan rumah kediaman percuma bagi golongan B40 untuk semua kaum. Negara kaya dengan pelbagai hasil tetapi gagal diurus tadbir dengan baik dan tidak ada ketelusan. Yang kaya bertambah kaya dan yang miskin terus papa kedana apatah lagi apabila berlaku ancaman Covid-19.

PUTRA bukan parti rasis atau bersifat perkauman tetapi kami tidak bersikap hipokrit dan mahu menjadi parti yang bersifat berterus-terang dan telus. PUTRA bertekad untuk membetulkan keadaan yang tidak betul supaya semua kaum rakyat Malaysia seimbang dalam semua aspek kehidupan terutama pembahagian kek ekonomi negara, dasar-dasar yang satu, tiada double standard dan unggul demi kelangsungan keselamatan negara dan rakyat. Kaum peribumi yang majoritinya 70 peratus merupakan kaum asal wajib dihormati dan kehidupannya mesti selesa dahulu sebelum hendak memberi muka kepada pihak lain atau merobek hak bangsa yang terjamin dalam Perlembagaan.

Inilah asas perjuangan PUTRA dan penyertaan di PRN Melaka di lima DUN adalah langkah permulaan masuk ke gelanggang sebagai persiapan untuk PRU ke-15 kelak. PUTRA merupakan kuasa ketiga dan tidak terikat dengan mana-mana pihak. PUTRA tidak akan menjual bangsanya sendiri dan mempermainkan Islam demi untuk politik yang hanya mencemar agama kerana menunggang parti politik yang bertopengkan Islam.

PUTRA adalah payung bagi seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keselamatan dan kesejahteraan yang bersih dan bermoral.

Selamat bangsa majoriti peribumi, selamat semua kaum dan Malaysia sejahtera.

Saya merayu undilah calon-calon PUTRA bagi PRN Melaka pada 20 November 2021 di DUN Pengkalan Batu, Duyong, Paya Rumput, Sungai Rambai dan Gadek. Undi anda semua amat dihargai dengan ucapan jutaan terima kasih.

PUTRA PERKASA NEGARA

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden Parti PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts