PERKHIDMATAN PUSAT PERLINDUNGAN BAYI DI MALAYSIA DARIPADA PERSPEKTIF JURISPRUDENS

404
SHARES
2.4k
VIEWS

Pusat perlindungan bayi atau ‘baby hatch‘ merupakan perkhidmatan yang telah diasaskan oleh sebuah pusat kebajikan, OrphanCare pada Mei 2010. Objektif perkhidmatan ini dijalankan adalah untuk mengurangkan kes pembuangan bayi sekaligus bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Melalui perkhidmatan baby hatch ini, si ibu atau penjaga boleh meninggalkan bayinya di dalam kotak baby hatch yang disediakan, di mana kotak tersebut telah dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang amat baik demi menjaga keselamatan bayi tersebut.

Bagaimanakah perkhidmatan baby hatch beroperasi? Setelah bayi ditinggalkan di dalam kotak yang disediakan, pintu baby hatch yang ditutup akan terkunci secara automatik. Di bawah tilam baby hatch juga dipasang sensor, justeru sistem penggera dalam bangunan akan berbunyi secara automatik sebaik sahaja bayi diletakkan di atas tilam.

Selain itu, terdapat juga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam baby hatch yang membolehkan pihak pengurusan melihat keadaan bayi tersebut dari dalam bangunan. Selepas bayi tersebut diletakkan di dalam baby hatch, si ibu dikehendaki untuk mengisi borang khas yang telah disediakan bagi memudahkan proses mendapatkan keluarga angkat untuk bayi yang ditinggalkan dilakukan.

Manakala, sekiranya si ibu berubah fikiran dan ingin mengambil semula bayinya, beliau boleh memaklumkan staf yang bertugas menerusi alat interkom yang terdapat di luar kotak baby hatch. Oleh itu, dapat dilihat bahawa perkhidmatan baby hatch membawa maslahat yang amat besar memandangkan ia dapat menjamin keselamatan bayi yang ditinggalkan.

Baby hatch daripada perspektif perundangan dan jurisprudens

Menurut penjelasan daripada Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM), perbuatan meletakkan bayi di baby hatch bukan satu perbuatan jenayah. Ia berbeza daripada jenayah membuang bayi atau mayat bayi yang terkandung dalam Seksyen 317 dan 318 Kanun Keseksaan.

Justeru itu, persoalannya ialah adakah perkhidmatan baby hatch ini dianggap bermoral, ataupun hanya memburukkan keadaan apabila ia dianggap seolah-olah menggalakkan perbuatan membuang bayi?

Moraliti didefinisikan sebagai sebagai suatu peraturan yang menentukan sama ada sesuatu perkara betul atau salah, ataupun norma yang diterima masyarakat. Melalui sesi soal jawab yang telah dilakukan oleh Astro Awani pada tahun 2016, orang ramai bersetuju dengan inisiatif baby hatch, namun bimbang dengan risiko peningkatan masalah sosial.

Jika dikaitkan dengan konsep Maqasid Syariah pula, perkhidmatan baby hatch perlu dilakukan. Hal ini kerana, Maqasid syariah bertujuan untuk menjamin kemaslahatan dan menghindari kemudaratan. Baby hatch dikatakan dapat menjamin kemaslahatan dengan menjaga keselamatan bayi yang tidak diingini selepas kelahirannya serta menghindari kemudaratan dengan menyelamatkannya daripada dibuang ke tempat berbahaya seperti tong sampah dan semak-samun, yang boleh membahayakan keselamatan mereka sehingga menyebabkan kematian. 

Berkaitan dengan kerisauan masyarakat berkenaan peningkatan masalah sosial pula, perlu diingatkan bahawa baby hatch bukanlah bertujuan untuk menggalakkan aktiviti hubungan seks sebelum berkahwin dan menggalakkan aktiviti pembuangan bayi. Namun, perkhidmatan ini hanyalah sekadar jalan penyelesaian yang bersifat perikemanusiaan terhadap bayi yang baru dilahirkan dan kepada mereka yang terdesak tetapi masih ingin memastikan bayi tersebut berada dalam persekitaran yang selamat serta boleh dipelihara oleh mereka yang lebih berkemampuan.

Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya memperluas usaha dan kempen dalam memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan perkhidmatan baby hatch ini agar lebih banyak nyawa bayi yang tidak bersalah dapat diselamatkan.

Oleh Siti Hajar Afiqah Binti Kamarulzaman

Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan bin Ismail

Fakulti Undang-Undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts