PINDAAN UNDANG-UNDANG ADALAH JAWAPAN KEPADA MASALAH PERKAHWINAN KANAK-KANAK DI MALAYSIA

351
SHARES
2.1k
VIEWS

Perkahwinan di bawah umur merupakan suatu adat dan kebiasan bagi masyarakat dahulu di Malaysia. Masyarakat berpendapat bahawa perkahwinan kanak-kanak ini seolah-oleh pilihan yang paling sesuai dalam menyelesaikan pelbagai masalah sehingga membentuk satu norma sosial.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 1,856 kanak-kanak telah mendirikan perkahwinan pada tahun 2018. Jumlah ini meliputi pelbagai etnik dan komuniti yang tinggal di bandar mahupun di kawasan pendalaman. Perkahwinan kanak-kanak boleh didefinisikan sebagai sebarang perkahwinan rasmi atau tidak rasmi antara kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dengan orang dewasa atau kanak-kanak lain.

Terdapat pelbagai implikasi yang akan berlaku kepada mangsa perkahwinan kanak-kanak seperti berlakunya keciciran dari sesi persekolahan, komplikasi semasa mengandung dan melahirkan anak, serta mengalami perkembangan emosi yang terganggu.

Apabila menyentuh isu perkahwinan dan perceraian melibatkan orang Islam, undang-undang yang terpakai ialah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri. Walau bagaimanapun, kebanyakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam meletakkan umur minimum bagi pekahwinan ialah lelaki berumur lapan belas tahun dan ke atas, serta perempuan berumur enam belas tahun dan ke atas.

Merujuk kepada Jadual Kesembilan, Senarai Kedua, Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk meminda enakmen ini hanya terletak di bawah kuasa Badan Perundangan Negeri. Manakala, bagi perkahwinan dan perceraian yang melibatkan orang bukan Islam, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) terpakai. Akta ini turut menggariskan bahawa umur minimum bagi perkahwinan ialah lelaki berumur lapan belas tahun dan ke atas, serta perempuan berumur enam belas tahun dan ke atas. Isu yang acap kali dibincangkan adalah apabila terdapat had umur perkahwinan yang berbeza-beza bagi orang Islam mengikut enakmen negeri masing-masing, serta penetapan umur perkahwinan yang rendah, iaitu enam belas tahun bagi perempuan.

Terdapat keperluan untuk Parlimen dan Badan Perudangan Negeri meminda dan menyelaraskan undang-undang berkaitan dengan had umur bagi perkahwinan di Malaysia. Menurut Montesquieu, seorang ahli falsafah aliran pemikiran sosiologi, proses perundangan adalah dipengaruhi oleh keadaan sosial masyarakat. Teori sosialogi ini turut disokong oleh Eugen Ehrlich yang berpandangan bahawa perkembangan undang-undang bukan berlaku dalam perudangan mahupun keputusan mahkamah sahaja, tetapi juga dalam masyarakat.

Jika perkahwinan bawah umur berlaku pada tiga puluh tahun dahulu, ia bukanlah perkara yang luar biasa kerana perkara tersebut acap kali berlaku di kalangan masyarakat di negara kita. Namun, masyarakat sekarang sudah cakna bahawa perkahwinan kanak-kanak melanggar hak asasi. Oleh yang demikian, badan perundangan perlu mengambil langkah yang proaktif dalam meminda had umur bagi undang-undang perkahwinan dan perceraian di Malaysia.

Oleh yang demikian, dengan wujudnya undang-undang menghadkan umur bagi perkahwinan di Malaysia, ini secara tidak langsung mampu mengurangkan dan mengawal kadar perkahwinan kanak-kanak di Malaysia. John Austin, seorang ahli falsafah teori pemikiran positivisme mendefinisikan undang-undang sebagai satu bentuk peraturan dan perintah yang digubal oleh pemerintah dan adalah menjadi kewajipan masyarakat untuk mematuhi peraturan-peraturan tersebut. Jika mana-mana individu gagal mematuhi peraturan yang telah digariskan, hukuman bakal dijatuhkan kepada pihak yang melanggarnya.

Maka, dengan adanya pindaan umur minimum bagi perkahwinan, besar kemungkinan ia akan membawa perubahan yang signifikan dalam masyarakat di mana amalan perkahwinan kanak-kanak akan beransur berkurangan.

Oleh Robiatul Adawiyah Saad

Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail

Fakulti Undang-Undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts