KEPENTINGAN UNTUK MASYARAKAT MEMAHAMI KONSEP KEADILAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG 

506
SHARES
3k
VIEWS

Dunia berteknologi tinggi kini dilihat dapat banyak memberi manfaat kepada manusia di seluruh dunia. Di Malaysia khususnya, masyarakat kini lebih cakna dengan keadaan sekeliling, justeru menjadi satu norma baharu bagi mereka untuk mengulas sesuatu isu yang timbul dengan cara memberikan komen di laman media sosial seperti Facebook dan Twitter. Namun begitu, menjadi kebimbangan apabila komen-komen yang diberikan oleh masyarakat adakalanya melampaui batas. Sebagai contoh, komen yang berunsur kebencian dan kata-kata kesat yang mampu menjatuhkan air muka seseorang.

Isu-isu keadilan dalam perundangan juga tidak terkecuali daripada menjadi buah mulut pengulas-pengulas di ruangan komen media sosial ini. Keputusan hakim bagi kes-kes yang menjadi perhatian masyarakat seringkali dipersoalkan oleh orang awam tanpa mengetahui cara sebenar penghakiman ditentukan. Sebagai contoh, kes buli arwah Zulfarhan, di mana mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas tuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Ramai dalam kalangan netizen Malaysia yang memberi pandangan bahawa hukuman yang diberikan adalah tidak adil dan tidak setimpal dengan tindakan tertuduh sehingga ada yang mengatakan bahawa sistem keadilan di Malaysia telah ‘musnah’.

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa terdapat perkaitan yang penting antara undang-undang dan masyarakat. Secara amnya, tujuan undang-undang diwujudkan adalah untuk menjaga hak setiap individu. Menurut Karl N. Llewellyn melalui penulisannya “Law-Jobs Theory”, setiap kumpulan dalam satu masyarakat mempunyai keperluan yang tersendiri, dan undang-undang diwujudkan untuk memenuhi keperluan-keperluan ini untuk kelangsungan hidup kumpulan tersebut. 

Penting untuk masyarakat sedar bahawa konsep keadilan di bawah undang-undang adalah satu perkara yang subjektif. Manusia yang dilahirkan daripada latar belakang yang pelbagai menyebabkan sering berlaku perbezaan pandangan berkenaan konsep keadilan. Institusi perundangan dan kehakiman khususnya diwujudkan untuk mengurangkan jurang perbezaan yang wujud yang boleh menyebabkan ketidakadilan berlaku.

John Rawls dalam penulisannya yang bertajuk “A Theory of Justice” beranggapan bahawa banyak perkara boleh dianggap sebagai tidak adil termasuk juga keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah. Namun begitu, beliau berkata keadilan sosial mempunyai hubung kait dengan struktur asas sebuah masyarakat. Struktur asas merujuk kepada cara sebuah kerajaan mengawal institusi-institusi sosial yang utama dalam membahagikan hak-hak dan kewajipan setiap individu. Institusi-institusi utama ini termasuk perlembagaan, sistem politik, rancangan atau peraturan-peraturan ekonomi dan sosial yang terpakai untuk mengawal semua lapisan masyarakat. Struktur asas masyarakat ini akan meletakkan garis panduan yang adil bergantung kepada situasi dan keadaan sesuatu perkara. 

Kesimpulannya, masyarakat sewajarnya mengambil langkah berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang komen di laman media sosial. Mahkamah sudah pasti telah membuat segala pertimbangan sebelum mengeluarkan sesuatu keputusan yang dilihat adil bagi semua pihak. Perlu diingat bahawa komen yang berlebihan dalam mempertikaikan keputusan yang diputuskan oleh mahkamah akan mencalarkan dan menjatuhkan martabat institusi kehakiman.

Oleh Nur Husna Azizan

Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail

Fakulti Undang-Undang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts