Tok Him turut mengucapkan selamat bersidang kepada perwakilan tiga sayap PUTRA iaitu Wira, Wiranita, Wirawati, bahagian dan cawangan seluruh negara. Beliau berharap semua kekal mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan serta sentiasa mematuhi Perlembagaan parti sepanjang persidangan dan bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19. 

Sebagai rekod, PUTRA dalam usia yang singkat iaitu sekitar dua tahun sahaja telah membuat pelbagai pencapaian luar biasa, antaranya memperolehi sijil sah untuk penubuhan 95 daripada 158 bahagian di seluruh negara dan tegas lantang mempersoal dan mempertikai sebarang salah laku atau kepincangan yang berlaku di negara ini.

Secara konsisten mereka mendesak kerajaan dalam isu-isu khusus berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini agar kerajaan tidak bertindak sewenang-wenangnya demi maslahat umat dan juga tadbir urus dan tata kelola kerajaan yang baik semata-mata untuk negara dan rakyatnya.