PUTRA GESA SPRM SIASAT ISU JALAN PEEL, DESAK BEKAS MENTERI WILAYAH BERI PENJELASAN

384
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PENGERUSI PERHUBUNGAN PUTRA WILAYAH PERSEKUTUAN

25 September 2021

PUTRA Wilayah Persekutuan terkejut dengan pendedahan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad dalam portal berita Malaysia Dateline berkenaan pemberian hak pembangunan tanah di Jalan Peel seluas 2.9 ekar kepada syarikat yang didakwa salah seorang pengarahnya bukan sahaja merupakan seorang jiran malah merupakan anak kepada kakak Tan Sri Annuar Musa yang pada ketika itu merupakan Menteri Wilayah Persekutuan.

Terbaru pula adalah penafian tentang beliau langsung tidak tahu menahu akan kewujudan nama individu yang beliau kenali dalam syarikat tersebut. Walaupun secara logik ini adalah satu kenyataan lepas tangan, tetapi ia masih merupakan satu dakwaan salah laku yang berat dan perlu diambil tindakan.

Syarikat yang didakwa juga dikatakan hanya mempunyai modal berbayar RM100 sahaja tetapi diberi hak membina 2.9 ekar bersamaan 126,324 kaki persegi yang jika nilai harga sekurang-kurangnya RM300 sekaki persegi, anggaran nilainya adalah melebihi RM37 juta. Bagaimana keputusan berikut boleh dibuat melainkan ada campur tangan pihak tertentu untuk memberi hak kebenaran membangun tersebut.

Justeru PUTRA Wilayah Persekutuan menggesa Menteri Wilayah Persekutuan kini dan bekas Menteri Wilayah iaitu Tan Sri Annuar Musa sendiri untuk tampil beri penjelasan berkenaan isu ini secara serius.

PUTRA Wilayah Persekutuan juga menggesa SPRM tidak berdiam diri dan perlu membuat siasatan segera berhubung kes ini. Integriti seorang pemimpin dilihat daripada setiap keputusan dan tindakan yang telah dilakukan, bukan dengan mengabaikan dan lari daripada sebarang dakwaan. Mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab dan disiasat secara menyeluruh tanpa ada pilih kasih walaupun mereka itu bertaraf menteri.

Kenyataan ini dibuat sejurus selepas Mesyuarat Perhubungan PUTRA Wilayah Persekutuan Bilangan ke-5 di ibu pejabat PUTRA di Kuala Lumpur. PUTRA Wilayah telah menerima dua lagi sijil kebenaran menubuh bahagian daripada Pendaftar Pertubuhan ROS dan Pengerusi Perhubungan Negeri telah menyerahkan kepada Dato’ Kamarul Airi Bin Arifin selaku Ketua Bahagian PUTRA Bahagian Setiawangsa dan Puan Ros Hanita Binti Mohd Basir selaku Ketua Bahagian PUTRA Wangsa Maju yang juga Ketua Wiranita PUTRA Malaysia. Dengan penyerahan ini maka telah wujud 9 daripada 12 bahagian bagi Wilayah Persekutuan tidak termasuk Labuan iaitu Putrajaya, Titiwangsa, Lembah Pantai, Segambut, Batu, Bandar Tun Razak dan Cheras.

Sekian.

Datuk Dr. Haji Aziz Jamaluddin Mhd Tahir 

Pengerusi Perhubungan PUTRA Wilayah Persekutuan

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts