HASANAH BUAT LAPORAN POLIS INSIDEN KECURIAN WANG MEIO DI SPRM

399
SHARES
2.3k
VIEWS

Bekas Ketua Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO) iaitu Datuk Hasanah Abd Hamid hari ini tampil membuat satu laporan polis bagi membersihkan nama beliau daripada dikaitkan dengan insiden kehilangan wang bernilai puluhan juta ringgit dalam mata wang USD daripada simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kehilangan wang tersebut menimbulkan tanda tanya serius dan kini ia telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob oleh Menteri Undang-undang (JPM) bagi cadangan ‘merehatkan’ Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki.

Berikut merupakan laporan polis tersebut yang bertarikh 24 September 2021 untuk hebahan umum.

Pada 15 September 2021 lebih kurang pada jam 2.19 petang ketika berada di alamat (dipadamkan), saya telah mendapat mesej daripada aplikasi Whatsapp tentang isu penahanan tiga pegawai SPRM direman dan tular di media sosial yang dikaitkan dengan saya mengandungi unsur fitnah dan tidak benar.

Laporan ini menyatakan bahawa saya telah membuat laporan polis untuk tujuan mendapatkan kembali wang tersebut yang dikatakan telah hilang dan digantikan dengan wang palsu.

Wang yang disebut sebenarnya adalah hak milik pihak negara sahabat sebagai sebahagian daripada kerjasama dua hala dalam bidang pengganasan dan bukan hak milik saya atau Bahagian Penyelidikan.

Negara ketiga ini menyerahkan wang tersebut kepada pegawai-pegawai kanan Bahagian Penyelidikan dan ia memasuki negara ini secara sah. Operasi ini ialah operasi rutin yang rasmi dan sah.

Sebagai sebahagian daripada SOP wang tersebut telah disimpan di pejabat luar yang dipanggil ‘safe house‘.

Dalam konteks intelijen, ia pejabat rasmi dan sebahagian daripada _safe house_ ialah rumah yang disewa seperti kondominium atau banglo di beberapa negeri dan di negara luar.

Pejabat seperti ini digunakan juga untuk menyimpan fail-fail, peralatan teknikal dan juga sebagai tempat latihan teknikal dan perjumpaan dan operasi rahsia serta juga mesyuarat ‘back channel‘ dan rundingan rasmi yang bertaraf rahsia dan dipengerusikan oleh Bahagian Penyelidikan bagi pihak kerajaan.

Pegawai-pegawai Bahagian Penyelidikan telah memberi sepenuh kerjasama apabila SPRM mendapat laporan tentang wujudnya operasi ini dan mahu menyiasatnya.

Saya ingin tegaskan bahawa wang ini merupakan sebahagian daripada operasi rahsia yang tidak seharusnya didedahkan dan kesilapan kerajaan mendakwa saya adalah kerana sebab-sebab yang di luar bidang saya ketahui dan tidak perlu diulas ketika ini.

Bagaimanapun, setelah beberapa rayuan, satu siasatan semula telah diadakan dan pihak Pendakwa Raya berpuas hati bahawa terdapat bukti-bukti jelas bahawa saya tidak bersalah dan pihak kerajaan bersetuju memberi DNAA.

Keputusan mahkamah juga termasuklah memulangkan wang yang disita SPRM tersebut kepada pihak berkaitan.

Sepanjang perbicaraan wang tersebut memang dalam simpanan SPRM dan saya atau mana-mana pegawai Bahagian Penyelidikan tidak ada akses kepada wang tersebut.

Saya membuat laporan ini bertujuan memaklumkan bahawa saya tidak ada terlibat dalam sebarang usaha mendapat kembali wang tersebut dan mengesahkan wang tersebut berbentuk mata wang USD ialah hak milik negara ketiga yang namanya tidak perlu didedahkan untuk menjaga hubungan dua hala.

Saya juga tidak tahu menahu tentang penahanan 3 pegawai SPRM sehingga saya terbaca dalam media sosial mengenainya.

Saya juga memaklumkan bahawa saya tidak akan teragak-agak menyaman mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik saya, pegawai-pegawai yang terlibat dalam operasi berkenaan dan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri.

Saya akan bekerjasama dengan pihak polis untuk meneruskan siasatan seperti dimaklumkan oleh pihak YB Menteri dan JSJ.

(Laporan dibuat sendiri oleh Datuk Hasanah Abd Hamid di Balai Polis Presint 7, Putrajaya)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts