PUTRA TITIWANGSA GESA KEMENTERIAN WILAYAH BERTANGGUNGJAWAB SOAL PEMBANGUNAN DI KAMPUNG BARU

354
SHARES
2.1k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA BAHAGIAN PUTRA TITIWANGSA

15 September 2021 | 8 Safar 1443H

PUTRA Titiwangsa terkejut dengan kenyataan Menteri Wilayah baharu yang dilihat zalim dan menekan pemilik dalam kenyataannya di Sidang Parlimen berkenaan usaha membangunkan Kampung Baru dengan pelan-pelan dan fasa baharu.

Pelbagai dasar dan pelan sebelum ini telah dibuat indah secara teori akan tetapi pelaksanaan tidak serupa seperti dirancang. Tanah tergadai kepada pemaju yang belum pasti mengikut pelan yang dirancang demi memastikan pemaju boleh mengaut keuntungan.

Kerajaan dikatakan tidak terlibat dengan proses jual beli tanah Kampung Baru, pihak yang terlibat untuk rundingan adalah di antara pemaju dengan pemilik tanah. Ini adalah satu sikap lepas tangan kerajaan terhadap tanah yang dirizabkan kepada orang Melayu tetapi kerajaan mahu pula campur tangan untuk merampas tanah walaupun hanya 50 peratus daripada pemilik tanah sahaja yang bersetuju.

Ini bukan sahaja zalim, ia juga pemerintahan kuku besi yang tidak prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat. Sedangkan kerajaan Pakatan Harapan dahulu walaupun telah mencapai 61 peratus pemilik yang bersetuju untuk membangunkan Kampung Baru juga tidak sewenang-wenangnya mengambil alih tanah.

Tanah Kampung Baru bukannya tanah sembarangan, atau tanah yang baharu diberikan pemilikan oleh kerajaan selepas merdeka, yang sewenangnya boleh dinyahwarta atau dilucutkan hak. Penama untuk satu-satu tapak tanah juga ada yang melebihi 50 orang yang berhak terhadap tanah tersebut.

Selain itu, pemilik-pemilik ini juga boleh memutuskan melalui rundingan bersama pemaju untuk menjual tanah mereka, tetapi perlu ada badan yang memantau dengan tegas supaya tiada pihak cuba menipu dan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan dan akhirnya merugikan pemilik.

PUTRA Titiwangsa percaya pembangunan amat diperlukan untuk menambahbaik kawasan Kampung Baru yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Tetapi, dengan membiarkan pemilik bakal dibuli oleh pemaju adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.

Menteri dan kerajaan, sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menjaga kepentingan dan kebajikan pemilik, lebih-lebih lagi mereka adalah orang Melayu. Penetapan nilai hartanah yang setimpal dengan lokasi dan aksesabiliti adalah amat penting.

Adakah Menteri berniat untuk membiar rakyatnya merempat di bumi sendiri? Tanah dijual mengikut nilai yang pemaju inginkan dikhuatiri akhirnya tidak berpihak kepada pemilik-pemilik tanah.

Sudah sampai masa, satu dasar penjualan hartanah diperhalusi berkaitan status tanah yang dirizabkan kepada orang Melayu agar setaraf nilainya dengan tanah pegangan bebas. Kenapa mesti tanah milik orang Melayu dijual beli dengan harga lebih rendah, sedangkan sistem perhubungan sangat baik dan lokasinya sangat strategik iaitu di tengah bandaraya Kuala Lumpur?

Menyentuh soal pembangunan di Kampung Baru, Menteri Wilayah wajar meneliti semula pembangunan yang tergendala hingga pemilik mengalami kesukaran untuk menetap di tanah mereka sendiri. Keprihatinan terhadap isu sebegini, wajib diberi perhatian dan diutamakan, bagi menambahbaik kehidupan penduduk.

Sebagai contoh, isu tanah mendap yang melibatkan 22 buah premis di Kampung Pindah sehingga kini masih belum ada tindakan yang diambil oleh kerajaan, Perbadanan Kampung Baru mahupun Jabatan Pengairan dan Saliran.

Projek Pembongkaran dan Penutupan semula terowong lencongan banjir JPS di bawah kediaman ini yang telah mendapat kelulusan dan peruntukan dijangka bakal selesai dalam tempoh 3 tahun sehingga Disember 2021 akan tetapi, masih belum dimulakan. Sedangkan, kos sewa sementara penduduk bagi tempoh 3 tahun sudah hampir tamat.

Sekian. 

Oleh Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Bahagian PUTRA Titiwangsa

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts