“KABINET MAHIADDIN” TANPA MAHIADDIN?

368
SHARES
2.2k
VIEWS

Rata-rata rakyat kecewa dengan pengumuman senarai kabinet yang dibuat semalam oleh Perdana Menteri ke-9 Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana dilihat sama seperti kabinet Perikatan Nasional cuma berbeza sedikit tanpa banyak perubahan.

Apa yang amat mengecewakan ialah Menteri MITI Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz masih dikekalkan di sebalik pelbagai masalah rakyat yang berlaku hari ini. Banyak yang berpunca daripada mereka berdua terutamanya jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat akibat daripada kilang masih dibenarkan beroperasi dan isu bantuan kepada rakyat seperti pemberian KWSP dan moratorium yang dilihat hanya membela bank-bank dan bukannya rakyat.

Selain itu, Menteri KDN juga dikekalkan sedangkan beliau terpalit dengan isu besar mencatur anggota kanan PDRM dengan istilah “budak kita” sedangkan pasukan keselamatan tersebut perlu diasingkan dan tidak boleh dipengaruhi langsung oleh mana-mana ahli politik. Selain itu, bagi parti UMNO pula, tentunya dengan mengekalkan Hamzah ini menimbulkan keresahan di sebalik dakwaan menggunakan ROS untuk mengharamkan UMNO, apabila permohonan menangguhkan pemilihan akibat pandemik Covid-19 ditolak oleh ROS.

Rujuk pautan; https://www.google.com/amp/s/umno-online.my/2021/08/07/usaha-haramkan-umno-scheme-of-thing-ppbm-terbaru/amp/

Selain itu, lantikan bekas Penasihat Perdana Menteri Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan, menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, juga menguatkan spekulasi bahawa kabinet ini mengikut telunjuk Perdana Menteri lama, Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Ini kerana tidak sampai sebulan beliau menjawat jawatan penasihat bertaraf menteri, kerajaan Perikatan Nasional tumbang apabila Mahiaddin meletakkan jawatan. Oleh itu seolah-olah Faizal perlu diberikan jawatan lain oleh Ismail untuk ‘compensate‘ jawatan lama beliau tersebut.

Lantikan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan juga menguatkan hujah bahawa lantikan UMNO dalam kalangan mereka yang pro Mahiaddin dan Perikatan Nasional, malah pegawai khas beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Arau, Seruandi Saad, turut dilantik menjadi Senator bagi tempoh tiga tahun sehingga 2024 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.

Sungguhpun begitu, ada sedikit khabar gembira apabila Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi menggantikan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang digugurkan daripada senarai Kabinet, menampakkan sedikit cahaya bagi isu Tabung Haji apatah lagi Timbalan Menteri Agama yang dikekalkan iaitu Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary, yang diketahui amat gigih berusaha untuk mengembalikan maruah dan memulihkan Tabung Haji selama ini.

Walaupun Zulkifli sudah membuat pernyataan maaf kepada barisan agensi agama di bawahnya sebelum ini di laman Facebook-nya jika ada terkasar bahasa, namun rakyat lebih mengharapkan beliau meminta maaf kepada umat Islam di negara ini kerana gagal memulihkan Tabung Haji sepanjang beliau mempunyai kuasa untuk melakukannya. 

Wujud juga tanggapan bahawa melalui kabinet baru ini, Ismail berkompromi dengan Perikatan Nasional iaitu dengan tidak meletakkan Timbalan Perdana Menteri yang sebelum ini diuar-uarkan akan diberi kepada Hamzah atau Azmin, maka jawatan lama mereka akan dikekalkan. Inilah bentuk ‘kompromi’ yang terpaksa dikorbankan oleh Ismail walaupun rata-rata rakyat mengecam kabinet  kitar semula ‘PN 2.0’ ini.

Apapun, diharapkan 100 hari yang ditetapkan oleh Ismail akan segera dipatuhi oleh semua kabinetnya dan jangan ada lagi yang  bercuti lama di luar negara, membuka ‘pintu belakang’ walaupun pintu depan telahpun ditutup, melanggar SOP sesuka hati ataupun membuat ‘drama’ menyakitkan hati memakan mi segera kononnya menteri sudah cukup susah apabila tidak mengambil gaji selama tiga bulan – sedangkan elaun masing-masing sudah cukup besar berbanding purata gaji rakyat di negara ini. 

Justeru, para Menteri Kabinet ada 100 hari untuk buktikan diri masing-masing secara kolektif mampu membawa negara keluar daripada kemelut pandemik dan ketidaktentuan ekonomi.

Perlu diingat, rakyat mungkin masih boleh bersabar untuk 100 hari lagi dan memberi peluang kepada mereka namun jika masih berterusan membuat perkara yang merepek dan bersikap ‘kayangan’ tanpa boleh ditegur, nantikan sahaja amarah dan ‘amukan’ rakyat yang akan diterjemahkan di PRU-15.

Tidak perlu retorik berterusan, cukup dengan buktikan kerajaan baharu “Keluarga Malaysia” ini tidak gagal seperti Perikatan Nasional. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts