BERAKHIR ERA MAHIADDIN DAN SINAR BAHARU BUAT MALAYSIA

408
SHARES
2.4k
VIEWS

Siri 11

Aduka Taruna

Mahiaddin Yassin akhirnya mencatatkan rekod Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia. Bukan itu sahaja, beliau akan dikenang sebagai Perdana Menteri paling gagal. Manusia merancang, mencatur dan bermuslihat namun tidak akan mampu mengatasi ketentuan Allah SWT. 

Setelah melakukan pelbagai langkah untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau, akhirnya Mahiaddin meletakkan jawatan pada Isnin lepas (16 Ogos). Antara usaha beliau untuk survival politiknya sejak dari awal lagi adalah seperti berikut, yang kebanyakannya mengaitkan UMNO:

• Keengganan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO sebaliknya mewujudkan sistem menteri kanan.

• Melantik menteri-menteri Kabinet daripada kalangan UMNO tanpa merujuk sepenuhnya kepada pandangan dan nasihat kepimpinan UMNO. Menerapkan strategi pecah dan perintah ke atas UMNO.

• Walaupun mendapat kuasa membentuk kerajaan dengan bantuan UMNO, Mahiaddin terus mencatur “Scheme Of Things” untuk menggugat UMNO bagi memperkasa dan meluaskan tebaran pengaruh Bersatu.

• Piilihan raya negeri Sabah adalah antara bukti manipulasi politik Mahiaddin. Ini termasuk mendapatkan kerusi mudah menang serta pelantikan Ketua Menteri daripada Bersatu meskipun UMNO menang lebih banyak kerusi.

• Bersatu juga terus berusaha memancing ahli-ahli UMNO di bahagian dan cawangan. Bersatu yang sebelum itu menambah banyak kerusi Parlimen melalui strategi mengumpan Ahli-ahli Parlimen UMNO lompat parti, tidak boleh dipercayai.

• Mahiaddin masih mahu menjadi Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) jika PN menang PRU15. Ini cuba menafikan hak parti lain dalam komponen PN, yang dijangka menang lebih banyak kerusi.

• Percaturan Mahiaddin melemahkan dan menggugat Muafakat Nasional (MN) yang dibina oleh UMNO dan PAS. Akhirnya PN menjadi dominan dan PAS memilih untuk lebih menyokong Bersatu berbanding UMNO.

• Bersatu mahu mengambil lebih banyak kerusi Parlimen UMNO dalam PRU-15 dengan menggunakan pelbagai taktik dan tekanan. Ini kerana menyedari UMNO mempunyai kekuatan akar umbi yang lebih menyeluruh di Semenanjung dan Sabah.

• Merayu mendapatkan sokongan BN/UMNO bagi meluluskan pembentangan Bajet 2021 pada tahun lalu. Selepas BN/UMNO menyokong dan bajet lulus, Bersatu terus melakukan banyak perkara yang membelakangi UMNO.

• Begitu juga apabila BN/UMNO termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Tun Razak menyokong proklamasi darurat di Parlimen, Mahiaddin dan Bersatu masih mahu menggugat UMNO.

Ada lagi tindak-tanduk beliau yang membawa padah kemudian hari.

Kesalahan paling besar Mahiaddin untuk kekal berkuasa di sebalik kedudukan yang goyah di Dewan Rakyat, adalah seperti berikut:

• Melaksanakan perintah darurat yang bercanggah dengan amalan dan semangat demokrasi. Menjejaskan imej Malaysia.

• Menggantung persidangan Parlimen.

• Menerima Azmin Ali dan pasukannya menyertai Bersatu. Imej Bersatu terjejas teruk kerana isu moral dan akhlak Azmin.

Mahiaddin ketika berada dalam kerajaan PH, sama-sama bersubahat tidak mengambil tindakan ke atas kes semburit Azmin Ali yang menggemparkan negara.

• Kegagalan mengambil tindakan ke atas bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz ekoran skandal menerima wang rasuah dari Jho Low sebagaimana terdedah di Singapura.

• Mahiaddin didakwa mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengambil tindakan ke atas Najib iaitu membayar cukai pendapatan yang tidak masuk akal. Ini dilihat satu lagi penganiayaan dan mencetuskan simpati rakyat.

• Mahiaddin kerap mendakwa beliau tidak melayan tuntutan Zahid dan Najib serta beberapa pemimpin UMNO agar campur tangan bagi membebaskan dan menggugurkan kes pendakwaan ke atas mereka di mahkamah.

Bagaimanapun hal ini dinafikan acap kali terutama oleh Najib yang menegaskan beliau mahu menempuh proses perbicaraan sehingga ke akhirnya bagi mendapatkan sendiri keadilan.

(Namun pada masa yang sama ramai tahu Mahiaddin antara perancang konspirasi selain Tun Mahathir Mohamad dengan menggunakan kaedah pendakwaan terpilih ke atas musuh-musuh politik. Najib dan Zahid antara mangsa mereka.

Sebab itu ramai pemimpin yang lompat parti menyertai Bersatu tidak didakwa. Ini termasuklah campur tangan Mahiaddin dengan tidak mengambil tindakan ke atas Azmin, Zeti dan beberapa lagi termasuk pemimpin PKR Xavier Jayakumar dan pemimpin UMNO Tajuddin Rahman walaupun kes terhadap mereka begitu ketara dan amat serius).

• Bersungguh-sungguh mahu membunuh karier politik Zahid dan Najib sehingga tangan kotornya bersama Hamzah Zainuddin, Azmin Ali, Takiyuddin Hassan dan Annuar Musa boleh dihidu dan dilihat. Kegelojohan dan keghairahan mereka membawa padah. Dendam kesumat Mahiaddin terhadap Najib dan Zahid menjadi senjata makan tuan.

• Campur tangan dalam soal pentadbiran dan pemilihan UMNO dengan menyalahgunakan kuasa ke atas Pendaftar Pertubuham (ROS).

Bukan setakat itu, ada lagi senarai utama kesalahan lebih dahsyat yang mengheret Mahiaddin ke dalam gaung iaitu seperti berikut:

• Kerap mengelirukan, berdolak-dalih dan tidak bercakap benar termasuk ke atas Yang di-Pertuan Agong. Ini termasuk isu tidak cukup majoriti, isu pembukaan Dewan Rakyat dan isu pembentangan usul penamatan darurat di Parlimen.

• Ternyata Mahiaddin telah mengheret Kabinetnya melakukan penderhakaan ke atas YDPA. Perbuatannya itu tidak boleh diterima sama sekali.

• Menuduh UMNO cuba mengadakan jajaran baru dengan DAP dan PKR. Hakikatnya Mahiaddin mengakui pada sidang akhbar pada akhir minggu lalu kerajaan telah menawarkan kerjasama 7 perkara termasuk habuan kepada DAP dan Pakatan Harapan (PH). Malah rundingan dengan beberapa Ahli Parlimen DAP termasuk Tony Pua telah diadakan lebih awal.

• Sidang akhbar itu telah mendedahkan hakikat bahawa beliau tidak mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat.

Jadi kenapa Mahiaddin mahu salahkan pihak dan orang lain sedangkan beliau sendiri adalah liabiliti dan punca utama dari awal lagi.

Mahiaddin lupa hakikat bahawa beliau mendapat kuasa melalui pengkhianatannya terhadap PH. Pun begitu, tingkah lakunya seolah-olah kerajaan yang diterajui, mendapat mandat daripada rakyat.

Dari segi pentadbiran negara juga, Mahiaddin akan dikenang sebagai pemimpin yang gagal dan tidak bijak dalam menguruskan ekonomi krisis iaitu pandemik Covid-19.

Kisah kegagalan Mahiaddin terlalu panjang untuk disenaraikan. Cukup sekadar menyebut beberapa aspek dan perkara.

Antaranya lonjakan kes kematian Covid-19 melonjak daripada 550 kes pada Januari 2021 sebelum darurat kepada lebih 20,000 kes harian pada akhir Ogos. Jumlah kes keseluruhan turut meningkat berganda-ganda yang kini mencatat rekod melebihi 1.5 juta kes.

Kegagalan mendapatkan bekalan vaksin lebih awal sebagaimana negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand adalah juga menjadi persoalan selain isu harga dan ‘komisen’ besar. Setelah menerima pelbagai tekanan dan kritikan, barulah kerajaan pimpinan Mahiaddin mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara.

Yang pasti, berlaku pelbagai kelemahan dalam pengurusan pandemik itu di bawah kerajaan PN. Selain ekonomi yang merudum, nilai mata wang ringgit dan saham jatuh manakala ramai pelabur lari. Hutang negara melonjak tinggi berpuluh bilion termasuk pinjaman RM11 bilion yang tidak diumumkan seminggu sebelum Mahiaddin meletakkan jawatan.

Di samping itu, rakyat tidak cukup makanan sehingga terpaksa mengibarkan bendera putih, pengangguran berleluasa, pertambahan mendadak kes bunuh diri, puluhan ribu usahawan gulung tikar dan ramai rakyat jatuh miskin.

Meskipun kerajaan melancarkan bantuan tertentu tetapi ia tidak memadai dan menyeluruh. Sebahagian yang diumumkan dengan bangganya sebagai bantuan seperti i-Sinar dan moratarium adalah hak dan milik pencarum serta peminjam.

Moratorium itu pula tidak automatik kepada peminjam yang memerlukan dan masih mengenakan faedah yang menguntungkan bank. Strategi yang silap selepas pelaksanaan PKP secara rambang dan begitu lama, merumitkan kehidupan rakyat.

Apatah lagi dengan pelbagai kecelaruan dalam penguatkuasaan SOP termasuk banyak isu dua darjat melibatkan kelompok kayangan iaitu menteri dan orang kenamaan.

Pilihan raya negeri Sabah yang berpunca daripada tekanan Parti Bersatu antara punca utama kes Covid-19 melonjak semula selepas menyaksikan penurunan yang stabil.

Apabila mengamati semua aspek, Mahiaddin sepatutnya lega beliau meletakkan jawatan sekarang. Jika tidak, keadaan negara terutama ekonomi dan keselamatan rakyat akan berada pada situasi jauh lebih buruk. Tidakkah beliau sedar bahawa sudah berlegar tuduhan ‘pembunuh’ dan ‘penjenayah’ selain label ‘kerajaan gagal’ yang diberikan kepada PN pimpinan Mahiaddin?

Kisah kegagalan Mahiaddin bukan lagi dongeng atau mimpi tetapi ia nyata. Sepatutnya beliau berundur dan memohon maaf secara bersungguh-sungguh lebih awal kepada rakyat Malaysia.

Tidak perlu beliau asyik berselindung di sebalik kata-kata mahu membantu rakyat dan negara menangani Covid-19 sedangkan ia mantera untuk terus berkuasa.

Realitinya negara dan rakyat terus ditimpa mudarat besar. Pernahkah dan berapa kali Mahiaddin dan menteri kanannya melawat keluarga-keluarga yang kehilangan insan tersayang akibat jangkitan wabak itu? Sehari selepas beliau berundur, harga pasaran saham naik, masyarakat niaga dan para dagang ceria manakala majoriti rakyat lega. Ia adalah sinar baharu buat Malaysia untuk bangkit semula di persada dunia.

Hakikatnya rakyat sudah cukup menderita dan negara terjejas teruk. Akibat kerosakan itu kerana kegagalan Mahiaddin dan Kabinetnya, usaha pemulihan Malaysia selepas ini bukan mudah dan akan mengambil masa yang panjang.

Menjadi harapan juga agar Perdana Menteri yang baharu akan mengambil pelbagai langkah pembetulan. Ini termasuk banyak kepincangan selain salah guna kuasa yang pasti akan terdedah.

Mahiaddin tidak boleh mendabik dada menggambarkan pentadbirannya cemerlang sebagaimana yang cuba disampaikan pada sidang akhbar terakhirnya. Beliau asyik menghina musuh politiknya terutama Najib. Namun ternyata Najib kini jauh lebih popular di samping diiktiraf Perdana Menteri yang lebih cemerlang dan hebat.

Akhirnya penghinaan juga yang mewarnai penghujung karier politik beliau sementara Najib terus disanjung ramai. Allah SWT memberi penghormatan dan penghinaan kepada sesiapa sahaja yang diinginkan dan pada bila-bila masa yang dimahukanNYA.

Mahiaddin boleh cuba menutup segala kelemahan dan kepincangan pentadbirannya tetapi realiti tetap realiti. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Selain apa yang telah disaksikan selama ini di bawah kepimpinannya, pasti ada lagi banyak yang ‘misteri’ tersembunyi belum diketahui. Masa akan membuktikan.

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik dan sosial yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat)

Siri-siri sebelum ini;

Siri 1: “Kegagalan PN: Siapa yang perlu bertanggungjawab?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23069/

Siri 2. “Kisah anti-vaksin, isu Perdana Menteri baru dan harapan kepada YDP Agong” di pautan;

https://editormalaysia.com/23149/

Siri 3: “Isu nama Mahiaddin, mesej Raja-Raja dan apakah nasib PM?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23232/

Siri 4: “Kisah mi segera, perihal Zuraida, agenda Nazri Aziz, tindak balas Zahid dan isu Parlimen serta Ivermectin” di pautan;

https://editormalaysia.com/23280/

Siri 5: “Mahiaddin liabiliti PN, ketegasan Agong, pergolakan parti dan bom jangka” di pautan;

https://editormalaysia.com/23423/

Siri 6: “Mampukah Muhyiddin bertahan dan kecundangkah Zahid?” di pautan;

https://editormalaysia.com/23554/

Siri 7: “Kisah teladan menteri, PM dan Hadi terus dikecam, isu Tabung Haji, nasib Anwar dan game plan Mahathir” di pautan;

https://editormalaysia.com/23609/

Siri 8: “Menanti PM berundur dan kabinet mohon maaf, isu Syed Saddiq serta populariti Najib” di pautan;

https://editormalaysia.com/23637/

Siri 9: “Penderhakaan Muhyiddin, siapa bersubahat, rakyat bangkit di jalanan dan isu PM Interim” di pautan;

https://editormalaysia.com/23703/

Siri 1.: “Isu majoriti Perdana Menteri, lompat katak, taktik kotor, menteri UMNO dan tolak MCA-MIC” di pautan;

https://editormalaysia.com/23780/

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts