HARAPAN RAKYAT TERHADAP PERDANA MENTERI BAHARU

385
SHARES
2.3k
VIEWS

1. Rakyat yang menyokong Pakatan Harapan ‘bergembira sakan’ apabila UMNO-Barisan Nasional berjaya ditumbangkan dan ternanti-nanti perubahan dijanjikan yang dianggap mereka sebagai reformasi penuh negara dan kerajaan

2. Malangnya keterujaan mereka hanya seketika, apabila Pakatan Harapan gagal melaksanakan perubahan malah memerintah jauh lebih teruk daripada sebelumnya, sehinggakan manifesto sendiripun tidak mampu ditunaikan

3. Ini menyebabkan penolakan rakyat secara drastik, yang menuntut pembetulan dan pembelaan dilakukan, termasuklah PAS dan UMNO bergabung buat kesekian kalinya membentuk Muafakat Nasional demi membawa suara rakyat. Majoriti rakyat kemudiannya beralih arah dan menolak Pakatan Harapan

4. Satu negara bergembira seketika apabila Pakatan Harapan tumbang serta-merta apabila Perdana Menterinya Tun Mahathir Mohamad secara tiba-tiba meletakkan jawatan, di sebalik dakwaan tidak mahu menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cubaan terakhir bagi menyelamatkan Bersatu 

5. Ketika itu majoriti rakyat memandang tinggi Perikatan Nasional kerana dilihat berjaya mengawal Covid-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dan pemberian serta pengagihan bantuan dilihat prihatin rakyat dan berkesan. Populariti Tan Sri Mahiaddin Yassin juga melonjak ketika itu di sebalik kecaman Pakatan Harapan yang menggelarkannya sebagai kumpulan pengkhianat

6. Rakyat juga meletakkan harapan yang tinggi agar apa sahaja tindakan Pakatan Harapan sebelum ini dibetulkan semula (undo) oleh Perikatan Nasional terutamanya isu Tabung Haji dan pembelaan pembunuhan arwah Adib – apatah lagi melihat PAS juga bersama kerajaan dan tentunya perkara yang berkaitan maslahat agama dan umat Islam yang dirosakkan Pakatan Harapan akan mampu diperbetulkan

7. Namun panas yang disangka ke petang rupanya hujan di tengahari. Rakyat mula menyuarakan kecaman dan kritikan di sebalik kerisauan mereka melihat tindakan dan pelaksanaan kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat semakin membelakangkan rakyat dan negara. Malah apa yang sepatutnya dibetulkan (undo) tetap tidak dilakukan dan pelbagai agenda Pakatan Harapan tetap diteruskan.

8. Di bawah Perikatan Nasional, Tabung Haji tetap terkapai-kapai kelemahan, pimpinan kanan lantikan Pakatan Harapan tidak pula dihentikan dan lebih buruk kini ia cuba diletakkan di bawah Bank Negara Malaysia di sebalik retorik penubuhan RCI. Isu pembunuhan arwah Adib juga masih tidak mendapat pembelaan sebaiknya oleh kerajaan walaupun Mahkamah Koroner  mengesahkan beliau dipukul oleh perusuh sehingga menyebabkan kematiannya

9. Selain itu rakyat melihat sendiri bagaimana Perikatan Nasional melepaskan peluang pelaksanaan HSR bersama Singapura serta penjualan kepentingan negara dalam pelbagai syarikat masih diteruskan – semua ini dilihat rakyat sebagai cubaan meneruskan apa yang tidak sempat dilakukan oleh Pakatan Harapan sebelum ini

10. Ia diburukkan oleh pelaksanaan darurat yang pada awalnya tidak diperkenan oleh YDP Agong, tetapi tetap dicadangkan kemudiannya apabila kes positif Covid-19 mencecah 3,000 kes sehari. Lebih malang, kilang-kilang tetap dibenarkan beroperasi membuatkan kes semakin melonjak naik dan bukannya menurun. Pelaksanaan “Total PKP“, “full lockdown” hanyalah retorik dan separa masak menyebabkan kes melebihi 20 ribu kes sehari, 7 kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan darurat

11. Kerajaan sendiri dilihat memandang remeh dan melanggar SOP yang mewujudkan “Kluster Kayangan” yang dilihat terlalu ‘kebal’ SOP dan tetap ke sana-sini. Sebaliknya rakyat dikurung di rumah berbulan-bulan tanpa ketentuan dan tidak pasti apa yang kerajaan sedang lakukan. Menteri dan pemimpin politik termasuk segelintir selebriti dilihat terlalu kebal untuk dikenakan tindakan termasuk Perdana Menteri sendiri.

12. Kerajaan juga dilihat terlalu bergantung pada program vaksinasi namun dalam masa yang sama gagal mencari jalan keluar lebih baik untuk rakyat dan negara memulih dengan cepat. Kegagalan kerajaan mengakui kesan sampingan daripada pengambilan vaksin turut meragukan dan menghilangkan kepercayaan rakyat. Apa salahnya jika meletakkan tempoh tertentu dan jika berlaku kesan sampingan dalam tempoh yang dinyatakan maka rakyat akan menerima pampasan. Apa salahnya bersifat ihsan kepada rakyat sendiri malah ini akan menimbulkan keyakinan rakyat untuk membentuk imuniti kelompok bersama-sama. 

13. Memburukkan keadaan dan mengikis kepercayaan rakyat apabila ada pemimpin-pemimpin PAS dilihat semakin angkuh dan kerap mengeluarkan ‘dalil’ yang tidak sepatutnya bagi membela pemimpin-pemimpin mereka yang melanggar SOP. Tindakan melibatkan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) membela pemimpin yang melakukan kesalahan ini dilihat keterlaluan hatta oleh ahli-ahli PAS sendiri yang kini mula ragu-ragu dan terbuka mengecam pemimpin-pemimpinnya. Diburukkan lagi dengan tindakan beberapa pemimpin PAS mengecam kempen kibar bendera putih sebagai tanda rakyat memerlukan bantuan

14. Di sebalik pelbagai kegagalan dan apabila di ambang kejatuhan, Perdana Menteri dan Perikatan Nasional mencipta kejutan apabila mengajak pembangkang, DAP-Pakatan Harapan bersama-sama membentuk kerajaan ‘bi-partisan’. Terdedah juga rupa-rupanya sudah lama perancangan dilakukan malah di luar pengetahuan PAS. Ini membuktikan tuduhan “No Anwar, no DAP” yang dikenakan ke atas UMNO selama ini hanyalah fitnah dan Perikatan Nasional sendiri rupa-rupanya pihak yang bekerjasama dengan DAP-Pakatan Harapan.

15. Rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada Perikatan Nasional agar ‘undo‘ apa yang dilakukan Pakatan Harapan, kini mendapat jawapan kenapa ia tidak dilakukan dan malah diteruskan. Rupa-rupanya benar sangkaan rakyat selama ini bahawa Perikatan Nasional adalah seumpama Pakatan Harapan 2.0. Perkara ini terdedah dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada Jumaat lepas – yang menjadi titik penentu kepada kejatuhannya dan terpaksa meletakkan jawatan dengan penuh aib dan dicemuh ramai.

16. Di sebalik pemimpin-pemimpin PAS menyambut baik cadangan Perdana Menteri itu dan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan panjang lebar mengenai ‘rasional’ tahaluf atau kerjasama baharu bersama DAP-Pakatan Harapan ini, rakyat tetap menolak sekeras-kerasnya jajaran baharu tersebut hatta penyokong-penyokong PAS sendiri. Mereka bukan sahaja malu malah sukar berdepan dengan kecaman dan sindiran tajam di mana sahaja. Cuma UMNO terselamat sedikit apabila parti tersebut lebih awal mengambil keputusan keluar daripada Perikatan Nasional sebelum itu dan tidak lagi terpalit dengan rancangan “jajaran baharu” bersama DAP-Pakatan Harapan.

17. Justeru, siapa sahaja Perdana Menteri yang dilantik oleh YDP Agong selepas ini perlulah mengutamakan rakyat dan negara. Junjung tinggi Perlembagaan dan jangan sekali-kali derhaka terhadap titah YDP Agong seperti dilakukan Perikatan Nasional berulang kali. Cukup-cukuplah mengingkari baginda yang hanya mahukan kebaikan buat rakyat dan negaranya.

18. Ingatlah kuasa ini adalah bebanan dan amanah, bukannya ‘reward‘. Lebih dikhuatiri jika ia adalah ‘istidraj‘. Amir atau ketua itu adalah khadam bagi jemaahnya, atau dalam erti kata lain, seorang pemimpin itu berkhidmat untuk rakyat. Wujudkanlah sifat ihsan dan jangan ulangi apa dilakukan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional lakukan. Lebih baik apabila Perdana Menteri baharu berusaha membetulkan apa jua kesalahan dan kebejatan yang dilakukan sebelum ini – seperti yang diidam-idamkan rakyat seluruhnya

Kesimpulannya, jangan pula Perdana Menteri baharu tiba-tiba melantik semula menteri–menteri lama yang terbukti tidak tahu membuat kerja dan hanya mencatur politik untuk kekal berkuasa.

Lantiklah dalam kalangan pemimpin yang semata-mata berkhidmat dan mahu kebaikan kepada rakyat – bukannya asyik berpolitik dan bersikap angkuh apabila memegang kuasa, sehingga titah YDP Agongpun berani disanggah.

Selamat berkhidmat kepada Perdana Menteri kesembilan. 

 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts