PUTRA GESA SELESAIKAN DAHULU ISU KEABSAHAN

399
SHARES
2.3k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN PUTRA MALAYSIA

13 Ogos 2021 | 4 Muharam 1443H 

1. Kita digemparkan oleh Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin hari ini. Akan tetapi PUTRA terkejut dengan isi kandungan perutusan beliau di mana kebanyakan perutusan cuba menawarkan konsep ‘bi-partisan’ semata-mata untuk mengekalkan kuasa.

2. Di dalam perutusan ini juga, beliau ada menyebut akan pihak yang menuntut undi percaya tidak mempunyai kesepakatan untuk calon Perdana Menteri sekiranya beliau mengambil keputusan berhenti dari kerajaan hari ini. Persoalannya di sini, mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(2)(a) menyatakan Baginda Yang Di-pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengurusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu. Di sini kita dapat melihat yang menentukan calon Perdana Menteri seterusnya adalah di bawah urusan Yang DiPertuan Agong, bukannya Tan Sri Mahiaddin.

3. Dengan akujanji akan tarikh pilihan raya akan diadakan selewat-lewatnya akhir Julai 2022 telah menunjukkan beliau terdesak dan hilang pertimbangan kerana menjanjikan sesuatu yang tidak pasti. Apakah jaminan beliau bahawa Malaysia tidak lagi berada dalam keadaan wabak Covid yang tinggi seperti hari ini? Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa di Jepun hari ini telah menular varian LAMBDA yang kebal daripada vaksin.

4. Pendek kata, hampir keseluruhan perutusan Perdana Menteri, adalah kenyataan yang berunsur rasuah secara terbuka kepada semua Ahli Parlimen. Ini secara tersirat, menunjukkan, bahawasanya Tan Sri Mahiaddin telah hilang majoriti dan terdesak dengan memberi pelbagai tawaran yang kononnya atas semangat ‘bi-partisan’ semata-mata untuk kekal berkuasa dan menutup segala kelemahan kerajaan sedia ada.

5. Justeru itu, PUTRA berpendirian tegas, agar Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin meletak jawatan secara terhormat sementara masih ada waktu lagi. Jangan cuba berdolak-dalik lagi dalam isu undi percaya ini, semakin lama beliau berdolak-dalik semakin teruk rakyat sengsara.

6. Jangan hina akal rakyat dengan memberikan ‘panadol’ yang akan melegakan kerunsingan ekonomi rakyat, ia sudah dicuba namun tidak berjaya menyelesaikan apa-apa masalah rakyat yang sedang berlaku sekarang.

7. Kasihanilah rakyat, Perdana Menteri adalah seorang yang berjiwa besar, cukuplah amanah yang tidak dilaksanakan dan cukuplah kesusahan dan tekanan yang terpaksa ditelan oleh rakyat.

Sekian.

Oleh Ashraf Bin Rosli

Ketua Penerangan PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts