MAHIADDIN MENGAKU TIDAK CUKUP SOKONGAN DAN TIDAK IKUT PERLEMBAGAAN

436
SHARES
2.6k
VIEWS

Dalam perutusan terkini beliau sebentar tadi, Tan Sri Mahiaddin Yassin secara tidak sengaja telah mengaku bahawa beliau telah melanggar Perlembagaan kerana tidak meletakkan jawatan dan mengaku tidak mempunyai sokongan yang cukup untuk membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan beliau bahawa “Jika mengikut Perlembagaan, saya perlu meletakkan jawatan dan kerajaan Perikatan Nasional akan tumbang” ini telah disiarkan meluas di kaca televisyen dan media lainnya, yang tidak lagi boleh beliau nafikan dan telahpun diketahui oleh seluruh dunia.

Selain itu amat mengejutkan apabila Mahiaddin berkata jika beliau melepaskan jawatan, adakah masalah semua akan selesai? Soalan ini dengan mudah boleh dijawab oleh rakyat iaitu, “Semua masalah in Sha Allah akan selesai kerana punca masalahnya sudah tiada”. 

Inilah naratif paling tidak masuk akal digunakan PMO yang memperlihatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa hatta membelakangkan Perlembagaan.

Sudahlah tidak masuk akal, PMO juga menambah parah kenyataan Mahiaddin apabila beliau berkata “tiada parti atau Ahli Parlimen lain yang mempunyai majoriti ketika ini” – seolah-olah kerana itulah beliau perlu kekal, sedangkan mengikut Perlembagaan, Perdana Menteri yang perlu menunjukkan bukti masih mempunyai majoriti, bukannya pihak yang lain.

Kemudiannya terpulang kepada kebijaksanaan YDP Agong dan Raja-raja Melayu untuk membuat keputusan dan melantik Perdana Menteri lain “yang pada hemat baginda” mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan.

Persoalannya siapakah yang tidak cerdik menyediakan teks ucapan yang menjerat diri Perdana Menteri ini? Bagaimana seorang Perdana Menteri sebegini masih boleh dibiarkan memerintah sedangkan sebelum ini beliau juga melanggar Perlembagaan dengan derhaka titah YDP Agong dalam isu perbahasan Ordinan Darurat dan pembukaan Parlimen?

Kenyataan ini tentunya disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan tidak mungkin Perdana Menteri berfikir dan bertindak sendiri menyediakan teks ucapan. Justeru adakah penyedia teks ucapan beliau sengaja ‘mendedahkan’ beliau tiada sokongan dan tidak ikut Perlembagaan? Bukankah ini tindakan sabotaj terhadap ketua sendiri?

Atau sudah tiada jalan lain untuk ‘pusing-pusing’ kerana pasukan media dan komunikasi PMO seperti biasa segagal-gagalnya memelihara kehormatan dan maruah Perdana Menteri sehingga terpaksa mengaku beliau tidak ikut Perlembagaan? 

Mungkin juga PMO sebenarnya telah bosan dengan kerenah Perdana Menteri dan Menteri Kabinetnya yang cacamarba, yang berterus terang akan melakukan penyogokan politik serta penjajaran baharu dengan parti pembangkang seperti DAP dan PKR di mana demi kekal berkuasa mereka sanggup menjilat ludah sendiri.

DAP dan PKR juga akan menjilat ludah sendiri jika mereka menerima cadangan menyokong Perdana Menteri ini dan tidak akan dipercayai lagi oleh rakyat Malaysia hatta pengundi-pengundinya sendiri.

Dilema PAS pula, adakah mereka akan menarik sokongan atau akan ada dalil baharu “walhalalku walharammu” selepas ini jika Perikatan Nasional bersama DAP dan PKR? Inilah saatnya PAS perlu membuat keputusan cerdik, sama ada untuk berterusan menyokong Perikatan Nasional yang mengaku tidak ikut Perlembagaan ataupun kembali kepada Perlembagaan dan taat kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. 

Justeru kini hanya YDP Agong boleh melantik siapa sahaja yang baginda fikirkan sesuai apabila Perdana Menteri telah mengaku tidak cukup sokongan dan tidak ikut Perlembagaan, atau baginda boleh melantik Perdana Menteri Interim yang akan membawa negara keluar daripada kemelut yang seperti tiada penghujungnya ini dan seterusnya memberi laluan kepada PRU-15. 

Rakyat ternanti-nanti apa kesudahannya drama opera “gila mengekalkan kuasa” Perikatan Nasional ini yang tentunya berbaloi apa terjadi di penghujung kisahnya. 

Cuma malang buat Mahiaddin, mempunyai pasukan PMO yang hanya “syok sendiri” dan tidak kasihankan dirinya selaku Perdana Menteri. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts