TIADA PILIHAN DAN JALAN KELUAR, KECUALI LETAK JAWATAN – TOK HIM

428
SHARES
2.5k
VIEWS

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI PUTRA

27 Julai 2021

1. Parti PUTRA bersama seluruh rakyat Malaysia terkejut dan dikejutkan dengan pengumuman Menteri Undang-undang di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021, iaitu Kabinet pada 21 Julai 2021 telah memutuskan untuk menamatkan atau tidak melanjutkan Darurat selepas 1 Ogos 2021 yang mencetuskan kontroversi undang-undang dan krisis Perlembagaan kerana cara keputusan dibuat telah menimbulkan berbagai masalah dan persoalan.

2. Jika benarlah Kabinet membuat keputusan pada 21 Julai 2021, kenapa tidak segera mengeluarkan kenyataan rasmi pada tarikh tersebut dan menyatakan ia mendapat perkenaan oleh DYMM YDP Agong? Kenapa tidak dikeluarkan kenyataan atas nama YAB Perdana Menteri daripada PMO sebagaimana SOP yang sepatutnya? Tetapi pengumuman hanya dibuat oleh Menteri yang bertanggungjawab pada undang-undang di Dewan Rakyat secara mengejut yang telah menimbulkan berbagai persoalan dan kontroversi. Caranya tidak betul.

3. Sebelum dan selepas 21 Julai, dalam menanti tarikh 26 Julai untuk Parlimen bersidang, riuh-rendah mendesak agar Rang Undang-undang Darurat mesti dibentang, dibahas dan diundi untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat. Jikalau benar keputusan Kabinet diwartakan pada 21 Julai 2021, tidaklah sampai YB Ketua Pembangkang, mantan Perdana Menteri YB Tun Mahathir, YBM Tengku Razaleigh Hamzah (Ahli Parlimen paling lama) dan lain-lain Ahli Dewan Rakyat serta berbagai desakan dari NGO-NGO serta pemimpin masyarakat, tidaklah nampak dipermainkan dan diperbodohkan oleh Kerajaan PN termasuklah YAB PM sendiri.

4. Permainan sandiwara politik dalam keadaan rakyat dan negara berada seperti telur di hujung tanduk kerana pandemik Covid-19, tidak boleh diterima dan dimaafkan sama sekali. Untuk Parlimen bersidangpun rakyat kena desak bertubi-tubi, ahli-ahli Parlimen desak dan akhirnya DYMM YDPA Agong sendiri kena bertitah. Inipun sekadar sidang lima hari sahaja yang dikatakan sebagai sesi taklimat.

APAKAH SEMUA PERMAINAN INI? HANYA UNTUK KEKALKAN KUASA ATAS HARGA YANG TERPAKSA DIBAYAR DENGAN MEREMEHKAN SERTA MEMIJAK KELUHURAN UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGARA SERTA SEPERTI MENDERHAKA KEPADA DYMM YDP AGONG DAN RAJA-RAJA MELAYU APABILA DIBUAT DENGAN CARA TIDAK BETUL. 

5. Sungguh MEMALUKAN juga apabila Ahli-ahli Kabinet daripada UMNO/BN yang turut sama membuat keputusan pada 21 Julai 2021 tidak memaklumkan kepada Presidennya. Presiden UMNO pula pada 25 Julai 2021 mengeluarkan kenyataan Ahli-ahli Kabinet dan yang memegang jawatan dalam GLC mesti keluar dari kerajaan jika darurat diteruskan selepas 1 Ogos 2021. Arahan dibuat mesti menolak Rang Undang-undang Darurat apabila dibentang di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021. 

Sedangkan Ahli Parlimen yang ada dalam kabinet sudah tahu pada 21 Julai 2021 lagi. TPM pun sampai hati tidak berbisik pada Presidennya. Betul-betul lucu dan mempersendakan Presiden parti mereka sendiri. Mungkin kerana UMNO tidak keramat lagi bagi yang memegang jawatan?

6. Kemelut dan krisis akan berterusan. Tiada penyelesaian dan bertambah kusut. Tiada lagi cara yang terbaik demi kemaslahatan rakyat dan negara, iaitu YAB Perdana Menteri mestilah segera mengundur diri secara terhormat. Beliau adalah tokoh lama dalam arena politik negara. Pernah menjadi Menteri Besar Johor begitu lama, Menteri Kabinet juga agak lama, Timbalan Perdana Menteri dan kini Perdana Menteri. Sudah menikmati segala-galanya dan sudah mencurah bakti pada negara dan rakyat.

Setiap yang bermula pasti akan ada penghujungnya bila tiba waktu. Yang hidup pasti juga akan mati bila ajalnya tiba. Apatah lagi dalam dunia politik demokrasi. Penjawat awam juga kena bersara bila tiba umur pencennya. PUTRA yakin YAB Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin meletakkan kepentingan rakyat dan negara lebih dari segala-galanya.

Sebagai tokoh yang beriman, berilmu dan matang, pemimpin harus mendahului kepentingan negara dan rakyat. Ikutlah langkah Tun Abdullah Badawi yang jelas mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tetapi melepaskan jawatan kerana BN kalah pada PRU-12, tetapi masih mendapat sokongan walaupun hilang 2/3 majoriti.

Ahli-ahli UMNO dan Mahiaddin sendiri desak supaya Tun Abdullah meletakkan jawatan Perdana Menteri demi kepentingan UMNO. Tun Abdullah akur dan undur diri. Politik negara terkini, majoriti rakyat yang mendesak supaya PM ke-8 agar berundur. Bukan setakat ahli satu parti.

7. Suasana sekarang jauh lebih serius daripada situasi tahun 2008 atau selepas PRU-12 dan PRU-13. Sokongan di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya, ancaman Covid-19 terus menggila tanpa reda, ekonomi negara merudum, rakyat terus menderita dan ramai yang bunuh diri. Ia lebih serius daripada tragedi 13 Mei 1969. Rakyat dalam ketakutan dan masa depan negara dalam keadaan cemas. Lagipun Kerajaan Perikatan Nasional bukanlah kerajaan yang mendapat mandat rakyat pada PRU-14. Ini hakikatnya. Kenalah telan walaupun pahit. Ia Kerajaan KUDETA POLITIK.

PARTI PUTRA adalah sebuah parti Politk juga bertanggungjawab demi memelihara kelangsungan survival rakyat dan negara. Inilah sebabnya PUTRA lahir untuk kesinambungan perjuangan rakyat untuk rakyat agar tidak menang sorak, negara hancur, tetapi perjuangan tegas dengan prinsip moral bersendikan Perlembagaan negara dan Demokrasi Berparlimen.

Berundurlah YAB PM ke-8 secara terhormat sebelum terlambat. PUTRA tegaskan ini bukan hal peribadi tetapi kepentingan rakyat dan negara wajib diutamakan. Inilah masa dan saat keputusan bijak seorang yang mahu diingati dalam lipatan sejarah sebagai salah seorang negarawan negara. 

PUTRA juga melahirkan rasa kesal di atas sikap beberapa kerat Ahli-ahli Parlimen DAP yang menjerit ketika YAB PM mengajak Ahli-ahli Parlimen beragama Islam menghadiahkan bacaan Al-Fatihah untuk mangsa Covid-19. Perbuatan ini adalah terkutuk. Ia akibat emosi yang tidak sepatutnya berlaku.

Salam ikhlas, 

Dato Paduka Dr Ibrahim Ali

Presiden PUTRA

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts