ADAKAH SAH PEMBATALAN DARURAT SECARA SENYAP-SENYAP OLEH KERAJAAN?

375
SHARES
2.2k
VIEWS

Oleh Isham Jalil

Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150 (3) disebut:

Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

Ada dua perkara material (penting) di sini:

Pertama, “Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen..

Ini merujuk kepada pengisytiharan darurat dan ordinan-ordinan darurat yang perlu dibentang (oleh itu dibahas dan diluluskan) di Parlimen.

Kedua, “..dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

Ini merujuk kepada pengungkaian (atau penarikan-balik atau pembatalan) proklamasi darurat tersebut, di mana jika ia dibatalkan maka Majlis Parlimen tidak perlu lagi membahas untuk mengungkaikannya.

Inilah yang cuba dibuat oleh Kerajaan semalam iaitu supaya Parlimen tidak perlu bahas dan undi untuk batalkan darurat apabila kerajaan telah batalkan terlebih dahulu.

Namun demikian, ada dua perkara yang masih menjadi masalah kepada kerajaan sekarang berkenaan hal ini:

PERTAMA, keperluan utama perkara dalam Perlembagaan di atas iaitu pembentangan proklamasi dan ordinan darurat masih tidak dibuat di Parlimen.

Namun Kerajaan akan kata, sebab darurat telah dibatal buat apa hendak bentang lagi proklamasi?

Namun demikian mereka tidak boleh lepaskan diri semudah itu. Mereka masih perlu bentang.

Ini kerana pembatalan darurat oleh kerajaan tidak menjejaskan apa-apa yang dilakukan sebelumnya iaitu semasa darurat, oleh itu mereka masih perlu bertanggungjawab ke atas tindakan-tindakan mereka semasa darurat kepada Parlimen.

Jika tidak, ia akan membuahkan suatu ketetapan baru (atau precedent) yang bahaya: Iaitu kerajaan boleh isytihar darurat, kemudian tidak perlu bentang di Parlimen untuk kelulusan proklamasi atau ordinan, kemudian buat sesuka hati atau salah guna kuasa, dan kemudian batalkan darurat sebelum perlu bentang atau jawab di Parlimen, dan bila YDP Agong tegur, mereka (kerajaan) kata Agong perlu ikut nasihat mereka.

Dalam hal ini, tidak ada langsung kebertanggungjawaban dan semak imbang. Ini bukanlah apa yang penulis-penulis Perlembagaan maksudkan semasa Perlembagaan ini ditulis semasa Merdeka.

KEDUA, siapa yang sebenarnya ada kuasa untuk membatalkan darurat? Adakah jemaah menteri dan Perdana Menteri boleh batalkan sendiri? atau adakah mereka perlu menghadap YDP Agong berkenaan hal ini?

Dan bolehkah Perdana Menteri yang tidak tentu sokongan majoriti ke atasnya oleh itu tidak pasti kesahihannya terus menasihati Agong dan menggunakan sumber-sumber kerajaan?

Inilah persoalan-persoalan yang perlu dijawab dan ditentukan, iaitu kesahihan Perdana Menteri yang telah membelanjakan beratus bilion wang rakyat tetapi gagal menangani COVID-19 dengan keadaan wabak menjadi semakin buruk.

Adakah kita mahu benar dia terus belanjakan lagi beratus bilion untuk Bajet 2022 pula?

Keadaan negara dan rakyat kini amat teruk sekali dalam menghadapi wabak COVID-19 ini di tangan kerajaan yang tidak cekap dan hanya gigih berpolitik untuk mengekalkan kuasa.

Dasar-dasar kerajaan terbukti telah gagal untuk menangani wabak ini malah menjadikannya semakin teruk. Untuk ubah keadaan ini segera, kita perlu ubah dasar-dasar ini segera.

Dan kita tidak boleh harap orang atau menteri yang sama untuk ubah dasar-dasar gagal yang mereka buat sendiri.

Contohnya, dalam jawatankuasa pengurusan rumah kelompok, flat, kondominium dan sebagainya, jika pihak pengurusan yang dipilih berprestasi buruk, sampah tidak dikutip, pencuri selalu masuk, longkang tersumbat, kekotoran merata-rata, kita tukar pengurusan tersebut segera, bukannya biarkan ia berterusan.

Dan kita tidak kata, “Takpalah, pihak pengurusan tidak gagal, mereka hanya masih belum berjaya“.

ISHAM JALIL
27 Julai 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/1019429058812618/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts