TABUNG HAJI TIDAK WAJAR DILETAK SAMA TARAF DENGAN BANK-BANK

365
SHARES
2.1k
VIEWS

1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meneliti kenyataan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan Tabung Haji (TH) pada petang semalam. Kami amat terkejut dengan 2 perancangan yang sedang dibuat oleh MOF yang memerlukan satu penjelasan lanjut:-

PERTAMA, meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Tindakan ini boleh meletakkan beberapa risiko ke atas kedudukan TH sendiri seperti berikut:

i. BNM adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan. Apa yang akan berlaku sekiranya TH tertakluk di bawah BNM dan Menteri Kewangan pada ketika itu tidak memahami maqasid kewujudan TH seperti mana yang telah berlaku sebelum ini?

ii. Meletakkan TH di bawah BNM akan memberikan kesan kepada jaminan simpanan pendeposit. Hari ini, simpanan pendeposit TH dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan. Berbeza dengan simpanan bank yang hanya diberi jaminan maksimum RM250 ribu sahaja. Malah isu semakan ketetapan jaminan ini pernah dibincang antara Menteri Kewangan dan Menteri Agama pada awal tahun ini.

iii. Meletakkan TH di bawah BNM akan menyebabkan polisi-polisi TH perlu diluluskan terlebih dahulu oleh BNM sebelum dilaksanakan. Contohnya penambahan subsidi haji.

KEDUA, tindakan menilai semula model operasi TH dan semakan Akta TH 1995. Kami tidak begitu faham atas tujuan apa Akta ini perlu disemak semula. Sekiranya yang mahu disemak adalah ketetapan jaminan Kerajaan (sepertimana status FB Menteri Agama), maka ia akan merugikan umat Islam dan TH.

2. Walaupun ketiadaan jaminan itu akan membolehkan Kerajaan mengurangkan liabiliti kewangan negara, tetapi ia akan memberikan ‘disadvantage’ kepada TH. TH kehilangan satu tarikan utama bagi pendeposit kerana kedudukannya sudah sama taraf denga bank-bank biasa yang lain.

3. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar sebarang usaha pindaan atau cadangan melibatkan TH ini mestilah dinilai secara bersama dengan pemegang-pemegang taruh yang lain terutama NGO dan wakil-wakil rakyat.

4. Kerajaan jangan sama sekali terburu-buru melakukan perubahan terhadap TH. Sebarang tindakan yang dilihat memberikan kerugian kepada pendeposit akan menyebabkan ‘backlash’ daripada umat Islam dan merosakkan imej Kerajaan secara keseluruhan!

5. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sudah memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri mengenainya dan akan terus memantau dengan dekat perkembangan isu ini bagi memastikan kepentingan umat Islam dan kemurnian falsafah kewujudan TH terus terpelihara!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

16 Julai 2021

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts